Ahad, 6 November 2011


15. Kesan Kenaikan Harga Barang / Kesan inflasi

Dalam suasana ekonomi dunia yang berubah-ubah dan tidak menentu, golongan peniaga dan pengguna di seluruh negara merasai kesan kemelesetan ekonomi global dan kenaikan harga barang-barang keperluan harian yang sedang berlaku. Kesan dan kadar inflasi yang tinggi ini memberikan impak negatif kepada pengguna di Malaysia terutamanya apabila masalah inflasi ini menyumbang kepada kenaikan harga barang-barang keperluan harian seperti gula, minyak masak, dan tepung.

Inflasi banyak memberi kesan negatif kepada ekonomi dan penduduk sesebuah negara. Kadar inflasi yang tinggi akan meningkatkan kos hidup rakyat dan ini akan mengurangkan taraf hidup mereka. Agihan faktor-faktor pengeluaran juga tidak cekap dan akan merugikan ekonomi berkenaan. Bagi individu, inflasi akan mengurangkan pendapatan benar mereka. Keadaan ini menjadi serius jika kadar kenaikan harga atau kadar inflasi jauh lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan wang individu berkenaan. Pengurangan pendapatan benar akan berlaku dengan ketara kepada pekerja-pekerja yang berpendapatan tetap.

Sewaktu ekonomi menghadapi inflasi, kesan agihan amat dirasai. Bagi mereka yang menabung, yang menerima pencen, yang memiliki bon dan polisi insuran, nilai sebenar (dalarn ertikata kuasabeli wang) merosot. Hal ini berlaku kerana sewaktu inflasi, kadar faedah benar adalah rendah dan mungkin negatif berbanding dengan keadaan tanpa inflasi. Bagi mereka yang berhutang dan yang memberi hutang, agihan semula pendapatan juga akan berlaku. Bagi yang berhutang, mereka beruntung kerana nilai benar wang bayaran hutang yang dijelaskan sudah menurun berbanding keadaan sebelumnya. Yang memberi hutang pula akan rugi kerana nilai benar bayaran hutang yang diterima menjadi rendah daripada keadaan tanpa inflasi.

Inflasi juga akan memberi kesan kepada pelaburan dalam negara. Dengan meningkatnya paras harga, pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang dieksport boleh kehilangan daya saing. Dengan kehilangan daya saing ini, pendapatan eksport akan menurun dan ini akan mengurangkan pelaburan dalam industri-industri berkenaan. Syarikat-syarikat luar negara yang mempunyai pasaran yang lebih luas serta memiliki teknologi terkini yang mampu mengeluarkan barangan dengan harga yang lebih rendah akan menguasai pasaran dunia. Lantas, syarikat-syarikat tempatan yang menglaami inflasi akan hilang daya saing dengan syarikat-syarikat luar negara. Jelaslah bahawa inflasi akan memberi tamparan yang hebat kepada usahawan tempatan.


Rantaian kenaikan berkenaan menjadikan harga barang-barang keperluan turut naik yang mana menjadi bahan tunjang dalam menggerakkan aktiviti ekonomi. Hal ini termasuklah yang melibatkan kos pembuatan dan pemprosesan. Dijangkakan juga beberapa bulan terdekat ini harga utiliti seperti elektrik pula akan naik. Sekiranya ini benar berlaku, keadaan yang meruncing dan mendadak ini akan menyebabkan rakyat yang kurang bersedia untuk menghadapinya terbeban terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah seperti petani, buruh dan pengusaha kecil. Fenomena ini akan dianggap suatu yang amat membebankan. Selain daripada kenaikan harga bahan keperluan yang membebankan masyarakat, terdapat kesan kenaikan harga lain kerana melibatkan sumber bahan bakar ini. Antaranya ialah industri perumahan yang mana mengalami kesan tinggi terhadap kenaikan minyak. Bebanan kos perkhidmatan juga akan bertambah seperti tambang bas dan teksi kerana keperluan terhadap bahan bakar ini. Kesannya, tekanan harga yang tinggi ini terpaksa dihadapi oleh pengguna. Kehidupan masyarakat juga bertambah sukar. Dalam keadaan sekarang, masyarakat perlu mengambil pendekatan berhemah untuk menguruskan kewangan mereka.

Sebagaimana  yang kita lihat sekarang, peningkatan harga minyak yang tinggi tersebut akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang, terutama harga barang makanan. Bahan makanan, sama ada dalam bentuk mentah, separa proses atau siap diproses perlu diangkut dari tempat pengeluaran atau pemprosesan kepada tempat pemasaran. Kenaikan kos pengangkutan dan kos pemprosesan tentunya akan dipindahkan kepada pengguna dengan menaikkan harga barang yang diangkut. Memang kerajaan boleh campur tangan dengan mengumumkan dasar kawalan harga barangan, tetapi dari segi ekonomi, dasar campur tangan tersebut akan membawa kepada herotan ekonomi dan memberi lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Sememangnya, kenaikan harga barang memberikan impak yang sangat besar kepada kuasa beli masyarakat. Masyarakat kini perlu lebih berhati-hati apabila ingin berbelanja dan perlu mengambil langkah-langkah untuk mengatasi peningkatan harga barang. Dalam hal ini, semua pihak perlu bekerjasama untuk membendung masalah ini. Maklumlah tepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Diubahsuaikan daripada rencana http://www.talkjanz.com

16. USAHA PELBAGAI PIHAK UNTUK  
      MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

            Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

            Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.

            Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.


            Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.


            Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.

Dipetik daripada blok Cikgu Analyza. Terima kasih.

Tiada ulasan: