Sabtu, 3 November 2012

Dimensi Negara - 1 Murid 1 Sukan

Manfaat Dasar 1M1S


          Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

                Pada pendapat saya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan.

                Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini demikian kerana kerajaan sedar semakin ramai rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang mengidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan mengidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa.

                Selanjutnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 54 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli suka mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

                Seterusnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi “ulat buku” kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Masa yang ada diisi dengan mengikuti kelas-kelas tuisyen di luar sekolah demi memastikan diri mereka mampu bersaing dengan rakan-rakan dalam bidang akademik. Bagi golongan ini, aktiviti sukan hanyalah untuk pelajar-pelajar yang tidak cemerlang dalam bidang akademik seperti mereka. Oleh itu, mereke lebih suka melayari internet dan berinteraksi dengan kawan-kawan melalui laman web sosial apabila ada masa lapang daripada turun ke padang dan gelanggang untuk bersukan.

                Akhir sekali, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan.

                Konklusinya, Dasar 1 Murid 1 Sukan membawa banyak kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap samba lewa, bak kata pepatah, “sekadar melepaskan batuk di tangga”. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti. ‘’MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA’’

Dimensi Negara


Keselamatan dan ketenteraman awam adalah amat penting kepada pembangunan sesebuah negara. Bincangkan peranan semua pihak dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman negara terus terjamin.

            Meminjamkan kata-kata daripada pepatah Arab yang bermaksud,  “Kasih akan watan sebahagian daripada iman” membuktikan bahawa tanggungjawab terhadap negara adalah menjadi suatu kewajipan yang mutlak kepada setiap orang. Kasih akan negara membawa maksud kesanggupan untuk menjaga dan melindungi negara daripada sebarang ancaman yang boleh memporak-perandakan keamanan dan ketenteraman dalam negara. Dalam konteks negara kita Malaysia, setiap warganegara dituntut agar memberikan komitmen yang tinggi untuk mempertahankan tanah air daripada sebarang ancaman. Kejayaan negara sama ada dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial adalah bergantung kepada sejauh mana kesanggupan rakyat untuk melindungi negara daripada sebarang anasir perosak.  Dengan hal yang demikian, semua lapisan masyarakat hendaklah menyumbangkan peranan dengan berdasarkan kapasiti masing-masing demi melahirkan sebuah negara Malaysia yang aman, selamat, dan makmur.

            Dalam konteks keamanan yang hakiki, tanggungjawab yang utama hendaklah dipegang oleh pihak pemerintah yang telah dipilih oleh rakyat sebagai pemimpin negara. Pemimpin ialah saf depan yang perlu melindungi negara daripada sebarang ancaman sama ada luar mahupun dalam negara. Kegagalan pemimpin mempertahankan solidariti negara boleh menyebabkan sistem pemerintahan menjadi kucar-kacir, kesejahteraan rakyat akan terancam, malahan sistem ekonomi dan siasah negara akan terbantut. Hal yang demikian dengan jelas dapat dilihat di beberapa wilayah di dunia, seperti di Timur Tengah, negara-negara Afrika, Asia Tengah dan wilayah Balkan yang tidak pernah kebah daripada peperangan. Sebenarnya, pemimpin menanggung amanah yang besar untuik merancangkan strategi pertahanan negara dengan mengenal pasti siapakah kawan dan siapakah lawan? Oleh itu, jalinan kerjasama politik dan diplomatik sama ada dengan tetangga mahupun di luar wilayah hendaklah dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Selain itu, para pemimpin hendaklah peka dan sentiasa berwaspada terhadap segala perubahan senario politik, sama ada wilayah, serantau, mahupun antarabangsa dengan mengamalkan sikap berjaga-jaga dan berwaspada, bak kata pepatah Melayu ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis.

            Pasukan keselamatan merupakan sayap kanan dan jentera kepada agenda keselamatan sesebuah negara. Dalam siasah merekalah segala strategi pertahanan negara diprogramkan. Semua selok belok dan strategi musuh sama ada dalam mahupun luar perlu diketahui dengan lengkap oleh pasukan keselamatan. Pasukan keselamatan yang terdiri daripada angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerak Am dan RELA adalah bertanggungjawab menjadi benteng hadapan negara daripada sebarang ancaman musuh dari luar dan dalam. Tindakan pantas dan cekap mereka diharap dapat membendung gejala ancaman keselamatan terhadap negara yang ditunjangi oleh angkara pemerdagangan manusia dan kemasukan pentadang asing tanpa izin (PATI) yang mencurah-curah. Pada hari ini perbatasan negara sama ada laut mahu pun darat telah ketara bocor. Di mana-mana pintu masuk sempadan negara dipenuhi ‘lubang-lubang tikus’ yang sebenarnya menjadi ancaman kepada negara. Oleh itu, sama ada angkatan bersenjata mahupun polis bentuklah sinergi  yang benar-benar berkesan agar keselamatan negara terus terjamin.

            Selain itu, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hendaklah lebih peka terhadap kepentingan dan keselamatan negara. Pada masa ini terdapat sekurang-kurangnya enam puluh NGO di Malaysia yang berdaftar dan bergiat secara aktif. Matlamat perjuangan semua NGO adalah untuk memperoleh pembelaan yang saksama terhadap kelompok atau pun berjuang untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan. Pertubuhan seperti Mercy’s Malaysia, ABIM, Persatuan Bulan Sabit dan sebagainya adalah cukup ikhlas bergerak untuk melaksanakan kebajikan. Namun demikian, tidak kurang pula NGO yang diwujudkan untuk menjadi mata dan telinga terhadap isu-isu politik, ekonomi dan sosial masyarakat. Sebarang ketidakadilan yang dirasai akan mendapat tentangan daripada pertubuhan seperti ini. Walau bagaimanapun, wujud pula NGO yang cuba berselindung di sebalik nama pertubuhan untuk kepentingan kelompok sahaja. Mereka bergerak secara sulit dan terdapat kegiataan yang boleh merosakkan imej negara terutama di luar negara. Kini beberapa NGO  sedang disiasat oleh pihak berkuasa atas beberapa aktiviti yang bertentangan dengan dasar negara.  Sepatutnya, dalam situasi keselamatan negara yang tidak stabil bukan agenda peribadi yang menjadi keutamaan tetapi keselamatan negara perlu didahulukan.

            Dalam menggalas amanah menjaga kestabilan negara, golongan pedagang dan korporat juga hendaklah memainkan peranan yang aktif. Golongan ini hendaklah lebih iltizam untuk memakmurkan negara dengan cara memanfaatkan segala hasil mahsul. Khazanah alam Malaysia yang sangat kaya perlu dimanfaatkan untuk maslahat semua. Pada hari ini korporat dan GLC seperti Petronas, FELDA, Tabung Haji (LUTH) dan banyak lagi telah menyumbangkan pendapatan yang besar kepada negara. Sebaliknya, Sikap pedagang yang menjadi lintah darat demi tembolok sendiri sepatutnya tidak mendapat tempat di bumi Malaysia. Namun begitu, terdapat segelintir golongan pedagang yang terlalu rakus untuk mengaut keuntungan. Mereka sanggup mengorbankan harta alam seperti bukit bukau, hutan belantara dan mencemarkan samudera demi keuntungan. Sementara itu, tidak kurang pula yang telah menjadi kaya-raya mula beranggapan negara sendiri tidak strategik untuk mereka dan rela melaburkan modal di negara luar. Inilah golongan yang tiada iltizam untuk membela tanah air sendiri dengan sikap menggunting dalam lipatan dan pepat di luar rencong di dalam.

            Manakala benteng yang terakhir untuk keselamatan negara ialah rakyat jelata. Inilah golongan terbesar yang pastinya apabila bersatu mampu menjanakan kekuatan sama ada politik, ekonomi, dan sosial. Sebagai rakyat yang bernaung di bawah panji-panji kedaulatan negara, semua pihak hendaklah berusaha dengan lebih gigih untuk memperkukuh ketahanan negara. sebarang aktiviti yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara seperti perhimpunan haram dan adu domba hendaklah dijauhi. Setiap rakyat hendaklah memberikan sumbangan dalam kapasiti masing-masing sama ada sebagai penjawat awam, pekerja swasta, usahawan, dan golongan belia hendaklah memiliki suatu sikap iaitu sayang dan patriotik akan negara. Mutakhir ini, pelbagai ancaman dalam bentuk penyebaran berita palsu, penyeludupan dadah, pelacuran, dan penggubahan wang haram telah menjadi api dalam sekam dan duri dalam dagingterhadap keamanan negara. Anak-anak remaja negara sedang berhadapan dengan bahaya besar apabila dianggarkan satu juta yang menjadi penagih dadah. Ke manakah akhirnya pria dan pertiwi bangsa ini kesudahannya? Sesudahnya golongan ini sudah pasti membawa malapetaka kepada negara yang tercinta.

            Kesimpulannya, kestabilan dan solidariti sesebuah negara adalah terletak di atas empat paksi yang utama iaitu, para ilmuwan yang bijaksana, para pemimpin yang adil, hartawan yang pemurah, dan sokongan serta doa daripada rakyat jelata. Oleh itu, tiada pihak yang terkecuali malah iltizam semua pihak dituntut untuk memberikan kerjasama agar maruah negara tidak tercemar dan sekali gus keamanan yang telah kita kecapi selama ini dapat dikekalkan.

Dipetik daripada blog: ishakmdshah.blogspot.com (Terima Kasih)

Khamis, 1 November 2012

Ramalan Novel 2012

Salam sejahtera kepada anak-anak didik yang dikasihi. Untuk soalan 4 iaitu novel, harap calon memberi tumpuan kepada aspek kajian berikut:

1. Sinopsis
2. Nilai (Contoh nilai kasih sayang, ketabahan)
3. Latar - latar tempat, masa dan masyarakat.
4. Plot - Kesudahan cerita, konflik
5. Peristiwa yang menarik dalam novel dan sebab-sebabnya.

Sabtu, 27 Oktober 2012

peribahasa dan cogan kata untuk tema karangan

Salam sejahtera,
Kepada anak-anak didik yang akan menduduki peperiksaan SPM 2012, berikut ialah peribahasa, cogan kata dan kata-kata hikmat yang bersesuaian dengan tema karangan.

01. TEMA BUDAYA MEMBACA
  •  Ilmu pelita hidup
  • Membaca jambatan ilmu
  • Jauh berjalan luas pengalaman, banyak membaca luas pengetahuan.
  • Bangsa membaca bangsa berjaya
  • Membaca memerdekakan minda.
  • "Saya sanggup dipanggil sebagai pemboros kerana membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan saya untuk membeli buku". Mantan Perdana Menteri India - Nehru.
  • Orang yang tidak membaca umpama katak di bawah tempurung.
  • Socrates:"Bertambah banyak aku tahu, bertambah sedarlah betapa tololnya diriku".
02. TEMA SEMANGAT KEJIRANAN
  • Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.
  • Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
  • Muafakat membawa berkat.
  • Tidak mahu menjaga tepi kain orang lain.
  • Anak orang anak sendiri
  • Beranak seorang mendidik ramai.
  • Bagai aur dengan tebing
  • Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
  • Hamka:"Kalau anda memberi sesuatu kepada jiranmu,bermakna memberi sesuatu kepada dirimu sendiri". 
03.  AMALAN MENABUNG
  • Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
  • Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
  • Berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak.
  • Ingat sebelum kena, berjimat sebelum habis.
  • Sediakan payung sebelum hujan.
  • Ikut hati mati, ikut rasa binasa.
  • Victor Hugo: "Tabungan adalah kebijaksanaan menghadapi bahaya".
04. PELANCONGAN
  • Jauh perjalanan luas pengalaman.
  • Budi bahasa budaya kita.
  • Kecil tapak tangan, nyiru sama tadahkan.
  • Negara Bersih, Rakyat Sihat .
  • Datuk Seri Ng Yen Yen: Pada tahun 2010 seramai 2.2 juta pelancong telah melawat Malaysia; Perbelanjaan  RM6 bilion.
  05. KEMALANGAN JALAN RAYA
  • Biar lambat asalkan selamat.
  • Malang tidak berbau.
  • Sudah terhantuk baru tengadah.
  • Nasi sudah menjadi bubur.
  • Alah bisa tegal biasa.
  • Hadis Nabi: Sabar itu sebahagian daripada iman. 
06.  BANGUNAN BERSEJARAH
  • Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.
  • Hanya jauhari mengenal manikam.
  • Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
  • Genggam bara api biar sampai jadi arang.
  • Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
  • Voltaire: "Sejarah manusia tak lain tak bukan hanyalah gambaran masa dahulu sebagai pengajaran masa sekarang.
07. KELUARGA
  • Bapa borek anak rintik.
  • Bagaimana acuan begitulah kuihnya.
  • Anak umpama kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkannya. Jika dilukis dengan warna pelangi, maka cerahlah masa depannya. Jika ditumpahkan dengan warna hitam, maka gelaplah masa depannya.
  • Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
  • Tidak mahu menjadi seperti kata peribahasa,'Ketam menyuruh anaknya berjalan lurus'.
  • Ibu bapa sebagai  idola kepada anak-anak mereka.
  • Peribahasa Bahasa Arab: 'Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu'.
08. NEGARA / CINTAKAN NEGARA / PATRIOTISME
  • John F.Kennedy: "Jangan bertanya apakah sumbangan negara untuk anda. Sebaliknya bertanya apakah sumbangan anda untuk negara".
  • Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
  • Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
  • Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
  • Biar putih tulang, jangan putih mata.
  • Ibarat telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua.
  • Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
  • Seberkas lidi kuat kudratnya berbanding dengan sebatang lidi yang mudah dipatahkan.
  • Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tidak terputus, tepung tidak berselerak.  

Jumaat, 26 Oktober 2012

Karangan Dimensi Keluarga

Anak-anak yang dikasihi,

Isi-isi yang berikut tetap boleh digunakan untuk menjawab soalan dimensi kedua iaitu KELUARGA. Sesuaikan isi mengikut kehendak soalan.

1. PEGANGAN AGAMA YANG KUKUH.

    "Orang yang kurang pegangan agama umpama sebuah bahtera yang belayar di tengah samudera tanpa   jurumudi. Nescaya bahtera berkenaan akan tenggelam atau tidak akan sampai ke destinasinya."

   "Orang yang ada pegangan agama dapat membezakan intan dengan kaca, halal dengan haram, syurga dengan neraka, baik dengan buruk, pahala dengan dosa".

     "Orang yang ada ilmu tetapi tiada pegangan agama umpama Orang Kelainan Upaya (OKU)", kata Albert  Einstein.

2. MENGAMALKAN GAYA HIDUP SIHAT

     "Otak yang cerdas berada dalam badan yang cergas".

      "Rakyat Sihat, Keluarga Bahagia, Negara Sejahtera".

3. MEMBINA INTELEK DAN MENINGKATKAN ILMU PENGETAHUAN

     Ilmu pengetahuan adalah satu perkara yang sangat luas bidangnya dan sememangnya tidak mampu dikuasai semuanya oleh manusia. Dalam al-Quran Allah S.W.T. telah Mengumpamakan ilmu itu sebagai lautan luas, yang mungkin mampu diperolehi oleh manusia hanyalah setitis daripadanya. Walaupun begitu peri pentingnya ilmu pengetahuan itu tidak boleh dinafikan, sehingga pencariannya dikategorikan sebagai satu tuntutan yang fardhu. Rasulullah s.a.w. menyebutkan melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Maiah dari Anas:

Maksudnya: Daripada Anas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Menuntut  ilmu itu wajib ke atas tiap-tiap orang Islam.” (Riwayat Ibnu Majah)
Dalam konteks membina ‘syurga’ dalam rumahtangga, kesedaran terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan sangat mustahak. Ibu bapa selaku ketua keluarga mempunyai peranan yang besar dalam mencorakkan anak-anaknya. Bermula di peringkat bayi, malah sejak dari dalam kandungan lagi, sehinggalah mereka remaja dan seterusnya dewasa, pendidikan perlu diberikan mengikut tahap dan peringkat masing-masing. Kemudahan-kemudahan pelajaran yang sedia ada seperti tadika, sekolah, maktab dan pusat pengajian tinggi seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya.
4.
AKTIVITI BEREKREASI DAN BERIADAH

     Memberi peluang kepada ahli keluarga berbincang dan bertukar-tukar pendapat dan mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah yang dihadapi oleh anak. Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat mewujudkan tradisi makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu pada cuti hujung minggu. Malam ialah waktu yang agak sesuai untuk menghadapi makanan secara bersama-sama keluarga kerana semua ahli keluarga pada waktu itu telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam bidang pekerjaan dan pelajaran. Makan bersama-sama  keluarga boleh mengeratkan lagi rasa kasih sayang mawaddah antara anggota keluarga.

5. MENGEKALKAN KEDAMAIAN DAN KERUKUNAN RUMAHTANGGA

  • Tolong-Menolong dan Bantu-Membantu Dalam Keluarga
  • Hubungan Kejiranan Yang Baik
  • Menunaikan Tuntutan Fardhu Kifayah ( Maksud fardhu kifayah dalam konteks kesejahteraan         keluarga ialah semua ahli keluarga khususnya anak-anak hendaklah dilatih dengan asas-asas kemahiran hidup ataupun ilmu-ilmu teknikal yang ada hubungkait dengan alam rumahtangga.)

6. KEDUDUKAN KEWANGAN YANG SEMPURNA

  • kedudukan kewangan penting untuk menangani segala keperluan asas.
  • Tanggungjawab ayah untuk memastikan keperluan material dipenuhi.
  • "Ada wang semua jadi".

kesimpulan:


“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksud kaya hati seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup terhadap nikmat yang dimiliki. Dari hadith ini nyatalah bahawa harta benda bukan ukuran kebahagiaan seseorang, tetapi kebahagiaan itu sebenarnya terletak di hati. Dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur, sangka baik terhadap orang lain dan sebagainya. Jelaslah bahawa dalam sesebuah rumahtangga kebahagiaan hati adalah sesuatu yang amat perlu.



ASEAN - Usaha Menjadikan Kawasan Pelancongan Bertaraf Dunia


Industri pelancongan mampu menjana kemajuan ekonomi  sesebuah negara
di dunia.  Bincangkan usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh ASEAN untuk
 menjadikan negara serantau kawasan pelancongan bertaraf dunia.

1.Pengenalan
Industri pelancongan merupakan salah satu sektor yang memberi pulangan yang lumayan
 kepada pendapatan sesebuah negara.
a.       Menurut statistik Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 
(UNWTO). 
b.       Pada tahun 2010 seramai 940 juta  orang pelancong   bertebaran di seluruh dunia.
c.       Hasil pendapatan pada tahun 2010 ialah  US919  bilion.
d.      Prancis menjadi destinasi pertama tumpuan  pelancong

ASEAN mampu muncul sebagai kawasan pelancongan bertaraf dunia.

Faktor

i.       Kebudayaan yang unik
 ii.      Alam semula jadi yang eksotik
 iii.     Bangunan bersejarah
 iv.     Pendidikan bertaraf dunia
 v.        Perkhidmatan perubatan  bertaraf dunia
 vi.    Agropelancongan
 vii.    ASEAN  mempunyai fiil dan budaya hidup yang hampir sama.

ANTARA USAHA DAN KERJASAMA YANG BOLEH DILAKSANAKAN:

1. JALINAN KERJASAMA ANTARA SYARIKAT
     PENERBANGAN DAN PELANCONGAN ASEAN
a.  Mewujudkan perjanjian persefahaman.

b.  Syarikat penerbangan antara negara ASEAN 
     mewujudkan laluan  bersambung tanpa perlu
     pelancong dari luar ASEAN menempah sendiri  
     penerbangan mereka jika mahu melancong dari
     sebuah negara ASEAN ke negara ASEAN yang
     lain.

 c. Syarikat pelancongan mewujudkan kerjasama secara  kolaboratif.  

2. MEMPROMOSIKAN HASIL PRODUK PELANCONGAN NEGARA-NEGARA ANGGOTA 
DI NEGARA MASING-MASING
a.       Malaysia membantu negara-negara ASEAN yang  lain menjual produk pelancongan 
seperti batik dari Indonesia .

b.      Menyediakan maklumat tentang produk tersebut .

c.       Menggalakkan pelancong berkunjung sendiri ke negara Indonesia bagi mendapatkan
 pilihan yang lebih baik.

3. MEMANSUHKAN VISA LAWATAN ANTARA     ASEAN

a.       Rakyat di negara-negara ASEAN tidak perlu  mendapatkan visa lawatan apabila
 berkunjung ke  negara-negara ahli.

b.      Hanya menggunakan passport antarabangsa.

c.       Contoh: tiada pengunaan visa dan tempoh masa  bagi rakyat negara-negara ASEAN 
untuk melawat  Singapura dan rakyat Singapura pula tidak  dikenakan  cukai perjalanan apabila
 mahu ke luar dari negara mereka.

4. PENYERAGAMAN PENGGUNAAN PASPORT   ANTARABANGSA DI NEGARA-NEGARA ASEAN

a.       Kemasukan pelancong dari luar ASEAN hanya  menggunakan passport dan visa di negara 
pertama mereka masuk ke wilayah ASEAN.

 b.     Pelancong yang memasuki Malaysia sebagai  destinasi pertama, tidak perlu
 mendapatkan kebenaran masuk daripada pihak imigresen negara-negara ASEAN yang
 lain. Para pelancong bebas bergerak dan hanya melalui pemeriksaan  bagasi dan 
diri sahaja oleh pihak imigresen dan kastam setiap negara.

5. MEWARTAKAN  TAPAK-TAPAK WARISAN DUNIA  DI NEGARA-NEGARA ASEAN SEBAGAI
 TAPAK  WARISAN ASEAN YANG DIKONGSI BERSAMA- SAMA

a.       Lokasi-lokasi dan bangunan-bangunan serta tapak  geografi yang telah diisytuharkan oleh 
UNESCO sebagai tapak warisan dunia digazetkan sebagai Tapak Warisan ASEAN.

 b.     ANGKOR WAT di Viet Nam,  Bandaraya Melaka Bersejarah di Malaysia dan Candi 
Borobudur dijadikan aset milik bersama-sama negara ASEAN.

c.       Para pelancong dari luar ASEAN akan lebih mengenali ASEAN berbanding mengenali 
negara- negara ASEAN secara berasingan.

6. PUSAT PENDIDIKAN DAN PERUBATAN BERTARAF
    DUNIA

a.       Negara-negara ASEAN menaiktarafkan sistem pendidikan dan perubatan ke standard
 dunia  agar  menjadi pilihan rakyat antara negara ASEAN dan  dari luar ASEAN untuk 
belajar atau mendapat rawatan perubatan di sini.

 b.      Setiap negara ASEAN menetapkan tarif bayaran yang kompetitif dan mampu dibayar ,
 dengan cara ini, pelancong dari luar ASEAN akan  memilih  untuk mendapatkan perkhidmatan 
di sini terutama dari negara-negara dunia ketiga.

c.       Tenaga kerja yang bertaraf dunia boleh berkhidmat di mana-mana negara ASEAN yang 
menjadi pilihan mereka tanpa sekatan. 

 d.      Kesannya, di semua negara ASEAN ada pakar-pakar pendidikan dan perubatan yang 
berkualiti.
e.      Hal ini, menarik lebih ramai pengunjung dari luar ASEAN untuk mendapatkan perkhidmatan
 di  negara-negara ASEAN kerana kos perkhidmatan yang lebih murah berbanding
 di negara-negara   Eropah.

KESIMPULAN
a.       ASEAN mampu menjana pendapatan lumayan dari  sektor pelancongan
b.      Yang penting ialah kerjasama dan usaha gigih dan  promosi pemasaran yang berterusan
 diperlukan.