Ciri-ciri sesebuah karya sastera yang
dapat menarik minat masyarakat untuk membaca.
Mari kawan,
kita membaca,
Mari rakan,
timba ilmu dengan membaca,
Itulah
perjuangan, sahutlah seruan,
Jadikan
membaca gaya wawasan.
Bait lagu di atas jelas
menunjukkan betapa pentingnya budaya mambaca dalam kalangan masyarakat. Walaupun
begitu, ramai pihak terutamanya pencinta karya sastera meluahkan rasa
kekesalan mereka kerana bahan bacaan terutamanya karya sastera kini semakin
dipinggirkan dan diabaikan berbanding bahan bacaan picisan yang melambak di
pasaran ‘’bak cendawan tumbuh selepas hujan’’. Fenomena ini sangat
membimbangkan lantaran hasil karya sastera yang berkualiti daripada
penulis-penulis tersohor seperti A. Samad Said, Usman Awang, Othman
Puteh, dan Keris Mas bagaikan tiada nilainya pada pandangan masyarakat.
Walau bagaimanapun, kebangkitan penulis-penulis baharu yang menampilkan
gaya kontemporari dalam hasil penulisan mereka seperti Nisah Haji Haron, Faisal
Tehrani, Ramlee Awang Murshid, dan Hashim Latif telah berjaya mencuri
hati pembaca, terutamanya golongan remaja. Karya mereka yang menarik
menyebabkan bahan sastera kembali menjadi bahan bacaan yang digemari. Apakah
keistimewaan dan ciri-ciri hasil karya mereka sehingga berjaya mengubah
fenomena tersebut?
Pada pandangan saya, hasil
karya sastera yang menarik pasti dapat meninggalkan kesan yang mendalam pada
hati pembaca. Ciri-ciri sebuah karya sastera yang berkualiti dapat dilihat
dari beberapa sudut. Kajian yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
mendapati bahawa golongan yang mendominasi bahan bacaan ialah golongan remaja. Oleh
itu, bagi menarik minat mereka untuk membaca sesebuah karya haruslah
menampilkan tema permasalahan remaja. Konflik dalam percintaan, persahabatan, dan
kekeluargaan haruslah dibangkitkan berserta dengan revolusinya agar pembaca
dapat mengaplikasikan apa-apa yang dipelajari melalui bahan bacaan tersebut
dalam kehidupan seharian mereka. Remaja sangat menggemari bahan bacaan
yang bertepatan dengan gaya hidup mereka. Karya seperti ‘’Puteri
Kampus’’ oleh Aisya Sofea jelas mencerminkan gaya hidup remaja yang
sering memberontak apabila dikongkong oleh keluarga. Jadi tema sesebuah
karya pasti dapat menarik minat pembaca seandainya bertepatan dengan jiwa
mereka kerana mereka akan dapat menyelami perwatakan watak semasa membaca karya
tersebut dan menjiwainya sehingga akhirnya meninggalkan kesan yang mendalam.
Pada masa yang sama, sesebuah
karya itu akan menarik apabila jalan cerita yang ditampilkan tidak terlalu
meleret-leret dan menimbulkan beberapa unsur kejutan atau peristiwa yang tidak
diduga. Karya yang terlalu panjang dan meleret akan menimbulkan kebosanan
kepada pembaca sehingga akhirnya berkemungkinan mereka akan melangkau
sesetengah muka surat semata-mata untuk mengetahui pengakhiran cerita. Kesuntukan
masa menyebabkan mereka menolak untuk membaca kerana menganggap bahan bacaan
tersebut mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Penambahan unsur tragis
atau saspens merupakan perencah dalam sesebuah karya. Hal ini demikian
kerana sifat remaja yang gemar akan cabaran menyebabkan mereka tertarik untuk
menduga jalan cerita bagi sesebuah karya. Perbezaan tersebut akan menyebabkan
remaja semakin berminat untuk meneruskan pembacaan mereka sehingga helaian
terakhir. Dengan cara ini, barulah hasrat untuk membudayakan
pembacaan karya sastera dalam kalangan remaja akan terlaksana sekali gus
sisipan pengajaran akan meresap ke jiwa mereka. Oleh itu, sesebuah
karya yang menarik haruslah mempunyai jalan cerita yang menarik dan tidak
membosankan.
Seterusnya ciri-ciri sesebuah
karya sastera yang menarik ialah mengandungi unsur-unsur imaginasi. Dalam
era sains dan teknologi ini, saya dapat mengesan bahawa unsur tahyul
dan imaginasi masih menjadi pilihan pembaca. Jika kita lihat, sinetron ‘’Bawang
Putih Bawang Merah’’ yang ditayangkan oleh stesen televisyen TV3 telah mencapai
tahap yang tertinggi dalam senarai rancangan televisyen yang paling diminati. Pada
ghalibnya, masyarakat Malaysia pada hari ini gemar sesuatu yang bertentangan
dengan kehidupan normal. Gaya penceritaan seperti ini banyak terdapat
dalam hasil karya Nisah Haji Haron dan Ramlee Awang Murshid. Sebagai
contoh, cerpen ‘’Annyss Sophillea’’ karya Nisah Haji Haron
memuatkan kisah kehidupan manusia dari dua latar tempat yang berbeza, ditambah
dengan kehidupan haiwan mistik seperti unicorn. Karya Ramlee Awang
Murshid pula lebih menampilkan unsur surealisme seperti dalam karya ‘’Rahsia
Perindu’’ dan ‘’Tombiruo’’. Hasil karya seperti inilah yang sering menjadi
pilihan remaja pada hari ini kerana ada kelainannya. Oleh hal yang
demikian, penghasilan karya yang mempunyai jalan cerita yang unik atau
lain daripada yang lain pasti akan lebih menarik minat masyarakat untuk menjadi santapan
minda mereka.
Selain itu, hasil karya yang
menarik haruslah menampilkan gaya bahasa yang indah dan mudah difahami. Karya
sastera yang menggunakan laras bahasa klasik sangat tidak digemari oleh
pembaca, khususnya remaja kerana gaya bahasanya sukar dimengerti. Penggunaan
ayat yang mudah lebih meninggalkan kesan dalam hati pembaca berbanding ayat
yang panjang walaupun gramatis. Nisah Haji Haron contohnya, sering
menggunakan istilah sains dan teknologi dalam hasil penulisannya. Walaupun
begitu, istilah yang digunakan ialah istilah mudah yang sering terdapat dalam
mata pelajaran Sains di sekolah. Hal yang demikian menyebabkan remaja gemar membaca
hasil karya penulis ini kerana dapat mempelajari teknik pengaplikasian istilah
sains dalam penulisan. Maka tidak hairanlah apabila karya yang
menggunakan gaya bahasa yang indah dan laras bahasa yang mudah lebih mendapat
tempat dalam hati pembaca.
Di samping itu, nilai dan
pengajaran dalam sesebuah karya juga perlu diberi penekanan bagi
menghasilkan karya yang menarik dan bermutu tinggi. Karya sastera yang
seronok dibaca tetapi tidak meninggalkan sebarang pengajaran kepada pembaca
tidak ubah seperti bahan picisan yang sekadar menjadi hiburan murahan. Sesebuah
karya haruslah menampilkan nilai-nilai murni yang dapat memberikan kesan kepada
pembaca dan seterusnya secara tidak langsung membentuk jati diri pelajar bermoral
tinggi dalam usaha melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama. Karya
seperti ‘’Pewaris’’ oleh Rahimidin Zahari sarat dengan nilai-nilai
Islamik yang tinggi. Nilai seperti ketaatan, keinsafan, kejujuran, dan
keikhlasan yang ditampilkan mampu menyedarkan pembaca betapa langit itu tinggi
atau rendah. Pembaca dapat menghayati kebesaran dan kekuasaaan Tuhan melalui
Bagia Shaeif selaku watak utama dalam novel ini. Justeru, para penulis haruslah
menitikberatkan mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca , bukan
sekadar untuk berhibur, menitiskan air mata, atau berkhayal di alam
fantasi sahaja tanpa berpijak di bumi nyata. Dengan itu,sesebuah karya perlulah mengandungi
nilai-nilai yang baik supaya dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian
pembaca.
Sebagai intiha, dapatlah
dikatakan bahawa tidak mudah untuk mendapatkan karya sastera yang menarik. Penulis-penulis
muda yang semakin prolifik mengasah mata pena mereka kini sewajarnya lebih peka
akan kualiti bahan penulisan yang bakal diterbitkan untuk dijual dalam pasaran.
Seyogia, yang baik dijadikan teladan, yang
buruk dijadikan sempadan. Seandainya lebih banyak karya sastera yang
menarik dan berkualiti dihasilkan, maka sudah pasti budaya membaca dalam
kalangan generasi muda akan terus bercambah dan hasrat kerajaan untuk
mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan menjelang tahun 2020 tidak hanya
tinggal impian atau ‘’menanti kucing bertanduk’’. Perkara ini tidak
mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing
dan tidak hanya berpeluk tubuh mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku dengan
sendirinya.
1 ulasan:
Terima kasih Tuan atas perkongsian yang diberikan.. :-)
Catat Ulasan