PERANAN REMAJA DALAM MEMBANGUNKAN NEGARA
Lebih separuh abad kita menghela nafas
kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal tunjangnegara
masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti
remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras
dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana,
“Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari
ini.” Presiden Soekarno pernah mengungkap, “Berikan
saya 10 orang belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.”Ternyatalah
di sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan
bangsa. Oleh itu, setiap remaja perlu memainkan peranan mereka dengan penuh
tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.
Peranan signifikan remaja
ialah mereka perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dari
aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahatuntuk
melahirkan remaja yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelek
merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun
bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan
sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu
Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca
buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan
sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai
kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah
tempurung. Remaja juga tidak harus terbuai dalam dunia yangmengalpakan,
iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme.
Ingatlah peribahasa,ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tegasnya,
tanpa remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut.
Walau bagaimanapun,
kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin pembangunan negara jika
remaja kita tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental.
Remaja yang ingin membangunkan negaea perlu memiliki kekuatan fizikal dan
mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh
dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal
dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri
sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk
mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan
seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan,
beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak,
merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak
perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja kita harus
sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai.
Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat
bertepatan dengan sloganrakyat sihat, negara maju. Jadi, remaja
yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan
pembangunan negara.
Selain itu, remaja juga
mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita
harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah
memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas
pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri unggul. Selain menitikberatkan
ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan
kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi
rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu
mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja
yangdangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan
sosial. Dengan kata lain, remaja berkepemimpinan harus bersahsiah mulia,
berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara
yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.
Seperkara lagi, remaja
juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu
pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana
hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu
dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri
teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba
sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada
itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi
disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang
padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian
mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang
tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini,
penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan
atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek
kata, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan
pelapis negara yang kreatif dan inovatif.
Akhir sekali, remaja juga
dapat memainkan peranan mereka untuk membangunkan negara dengan memiliki sikap
keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini mempunyai sifat sedemikian,
mereka lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada
yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi kesan kepada negara kita. Mereka
dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Mereka akan
menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau
integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Mereka sentiasa
mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi
negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu
bangsa satu bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan remaja sudah pasti
dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan
penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.
Intihanya, semua remaja mempunyai
tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjana pembangunan negara
kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja
sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka
daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti
akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak
diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil
segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan
tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena
dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat
menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang
dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di
pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di
seantero dunia.
Dipetik dari blog cikgu Analyza. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan