PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK
MASYARAKAT PENYAYANG
Pada alaf
baharu ini, ibu bapa diberikan peranan yang penting kepada masyarakat
dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan obligasi
yang wajib dipikul oleh ibu bapa. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat hari
ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan dalam hal
yang bersangkut-paut dengan pembentukan masyarakat penyayang. Mantan
Perdana Menteri Malaysia ke-5 iaitu Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi memberitahu
bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali. Masyarakat
penyayang merupakan masyarakat yang anggotanya mengamalkan sikap yang
sayang-menyayangi, hormat-menghormati, bantu-membantu, dan nilai murni yang
lain. Masyarakat seperti ini menjadi impian negara kita untuk merealisasikan
Wawasan 2020. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah-langkah pragmatik
yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk membentuk masyarakat penyayang.
Peranan ibu bapa yang paling signifikan ialah ibu bapa perlu memberikan kasih
sayang kepada anak-anak. Ibu bapa seyogianya membesarkan
anak-anak dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh.
Namun begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal
ini kerana ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidup dan kekayaan.
Oleh itu, ibu bapa seharusnya lebih banyak meluangkan masa dengan anak-anak
mereka pada alaf globalisasi ini. Kasih sayang ibu bapa dapat
dilihat melalui kesanggupan ibu bapa meluangkan masa bersama dengan anak-anak.
Pada masa itu, ibu bapa harus berkongsi masalah anak-anak dan menjadi pendengar
setia kepada setiap luahan hati anak-anak. Contohnya, ibu bapa boleh membawa
anak-anak mereka bercuti semasa cuti sekolah untuk mengeratkan hubungan dan
mengurangan tekanan anak-anak dalam aspek pembelajaran. Dengan ini, bibit-bibit
kasih sayang akan mekar dalam jiwa anak-anak. Jadi, impian ibu bapa atau negara
untuk membentuk masyarakat penyayang akan tercapai jua.
Selain itu, ibu bapa sewajarnya memberikan didikan agama yang sempurna kepada
anak-anak semenjak kecil lagi bak kata pepatah, melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Akan tetapi, ibu bapa kini terlalu
mengagung-agungkan kemodenan sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka
dalam mencurahkan didikan agama kepada nanak-anak. Hal ini berlaku kerana
mereka beranggapan bahawa didikan agama tidak penting dalam arus kemajuan
teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan
agama kepada anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap agama
amat mementingkan hubungan baik dengan Pencipta, sesama manusia dan alam
sekitar. Hai ini akan tercapai dengan adanya nilai kasih sayang dalam
kehidupan. Misalnya, mereka perlu menggalakkan anak-anak mengikuti kelas agama
supaya anak-anak akan menjadi insan yang penyayang. Di samping itu, mereka
seharusnya memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika
anak-anak itu masih dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam
melahirkan generasi yang penyayang akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti
melalui didikan agama yang teguh.
Seperkara lagi, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada
anak-anak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk
seperti menjadi pendera, perogol dan sebagainya. Oleh itu, ibu bapa perlu
menjadi entiti mithali kepada anak-anak yang masih belum
keras ubun-ubunnya sejak kecil lagi kerana melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu
bapa perlu menunjukkan sikap yang penyayang kepada anak-anak sejak kecil lagi
seperti sering membawa anak-anak menziarahi orang tua di kampung. Lama-kelamaan
generasi muda akan mengikut tabiat yang positif ini dan masyarakat penyayang
akan dilahirkan. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan
masyarakat yang penyayang pada alaf globalisasi ini.
Jika kita tinjau dari perspektif yang berbeza pula, ibu bapa juga harus menjaga
keharmonian rumah tangganya. Hal ini dikatakan demikian kerana kerharmonian
rumah tangga dapat mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia dan hidup dengan
penuh limpahan kasih sayang. Ikatan kasih sayang yang teguh daripada ibu bapa
sudah pasti dapat membentuk jiwa anak-anak dengan nilai kasih sayang dan sekali
gus mereka akan mencontohi sikap penyayang ibu bapa mereka kerana kepimpinan
melalui teladan. Ibu bapa seyogianya memastikan hubungan kekeluargaan sesama
ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang. Hal ini dapat
dipraktikkan dengan mengelakkan sebarang pergaduhan dan pertengkaran di hadapan
anak-anak yang masih belum keras ubun-ubunnya dan
sentiasa menghormati pasangan hidup masing-masing. Dengan adanya sikap
toleransi dan hormat-menghormati ditambah lagi dengan kasih sayang maka impian
kita untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dapat direalisasikan.
Bukan itu sahaja, ibu bapa juga haruslah melibatkan anak-anak dalam aktiviti
masyarakat. Ibu bapa seyogianya mendekatkan anak-anak mereka dengan
masyarakat setempat bagi mewujudkan hubungan yang baik dengan masyarakat.
Dengan ini, anak-anak akan dapat mengenali ahli komunitinya dengan lebih dekat
lagi dan perasaan sayang akan timbul dalam sanubari mereka kerana kata
orang, tak kenal maka tak cinta, sudah kenal baru jatuh cinta. Contohnya,
ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan
tempat tinggal atau solat berjemaah di surau atau di masjid. Bukan itu sahaja,
keprihatinan ibu bapa tatkala jiran kita ditimpa musibah dengan menghulurkan
sedikit sumbangan sama ada dari sudut fizikal, material dan sokongan sudah
tentu dapat membuka mata anak-anak untuk membuat perkara yang sama apabila
mereka dewasa kelak. Secara implisitnya, perasaan kasih sayang akan mekar dalam
kehidupan masyarakat kita. Sesungguhnya, hubungan silaturahim yang
erat mampu melahirkan masyarakat yang penyayang.
Secara deduksinya, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam melahirkan
masyarakat yang penyayang. Namun begitu, tindakan mengharapkan ibu bapa
semata-mata juga tidak akan berkesan kerana tepuk sebelah tangan
takkan berbunyi. Setiap individu dalam
kalangan masyarakat harusnya mengambil inisiatif untuk melakukan anjakan
paradigma bagi merealisasikan pembentukan masyarakat penyayang
dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan cara ini, masyarakat kita akan dipandang
tinggi sebagai sebuah bangsa yang bukan sahaja maju dari aspek kebendaannya, malah
kaya dengan budaya penyayang. Secara tidak langsung juga, imej negara akan
harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai
masyarakat kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya bak kata
pujangga, “Sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya
masih utuh. Jika akhlaknya sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap.”
Dipetik dari blog cikgu Analyza. Terima kasih.
2 ulasan:
Smartnya Karangan cikgu...terima kasih Cikgu .
Karangan yang menarik,terima kasih :)
Catat Ulasan