Jumaat, 26 Oktober 2012

Kepentingan Memelihara Bangunan Bersejarah


Gambar di bawah menunjukkan bangunan bersejarah. Huraikan pendapat anda tentang  kepentingan memelihara dan memulihara bangunan bersejarah. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Bangunan Bersejarah
1. Pengenalan:
            Tidak dapat dinafikan, warisan negara yang telah diabaikan dewasa ini ialah bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seantero negara.  Jika ditinjau secara umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang dipulihara akan disuaigunakan semula sebagai muzium, pejabat, tempat kediaman, premis perniagaan, dan kegunaan awam.Sejak UNESCO mengiktirafkan bandar Melaka dan Geogetown sebagai bandar warisan bersejarah, baru timbullah kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah. Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks Malaysia?

2.  PERENGGAN ISI 1 )
                Bangunan-bangunan bersejarah memang mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai. Melalui darmawisata ke tempat-tempat bersejarah, generasi muda dapat menghayati fakta-fakta sejarah yang dipelajari dalam buku teks Sejarah.Misalnya, pembinaan kota A Famosa (bermaksud “Yang Termasyhur” dalam bahasa Portugis) atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka terhadap penjajah. Dengan erti kata lain, fakta-fakta sejarah ini dapat memupuk nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda kita.

3.  PERENGGAN ISI 2
                Selain nilai sejarah, bangunan-bangunan bersejarah memaparkan seni bina awal yang begitu unik. Selain rumah kediaman, seni bina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf, dan seni bina makam atau pusara.Ciri-ciri seni bina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai Besar di Kelantan, Masjid Tengkera di Melaka, dan sebagainya. Pendek kata, seni bina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberikan nilai estetika yang begitu tinggi dan seharusnya dipelihara untuk pengekalan atau pelestarian identiti bangsa.

4.  PERENGGAN ISI 3
                Tidak ketinggalan juga, bangunan bersejarah dapat menyumbang kepada kerancakan industri pelancongan negara kita.Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang unik dapat menjadi tarikan pelancong.Tamsilnya, para pelancong yang berpendidikan akan terpesona oleh zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 apabila melihat Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul. Pendek kata, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

KESIMPULAN:  KCHP  (Kami Campur Hal Perempuan) Ayat Kesimpulan  /  Ayat Cadangan / Ayat Harapan / Ayat Penegasan
            Ijmalnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa bangunan bersejarah sangat bermakna kepada nusa dan bangsa.. Oleh itu adalah menjadi kewajipan pihak berkuasa untuk memelihara dan memulihara bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita. Sekiranya kerajaan bersungguh-sungguh dalam hal ini, sudah pasti bangunan-bangunan bersejarah akan menjadi tatapan generasi yang akan datang seperti kata peribahasa tak  lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Maklumlah bangunan bersejarah bangunan kebanggaan kita.

1 ulasan:

Losh0209 berkata...

i love the way you give exemples....especially that(kami campur hal perempuan).....