Jumaat, 26 Oktober 2012

Novel: Konserto Terakhir dan Papa

01. Unsur saspens digunakan dalam novel untuk menarik perhatian pembaca. Jelaskan unsur saspens yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari.

            Novel  yang saya kaji ialah novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Saspens bermaksud seseorang pembaca itu berada dalam keadaan tertanya-tanya atau ingin tahu akan lanjutan peristiwa berkenaan. Penulis, iaitu Encik Abdullah Hussain telah berjaya memasukkan beberapa unsur saspens ke dalam cerita Konserto Terakhir dan menjadikan jalan cerita lebih menarik.

            Antara peristiwa yang mengandungi unsur saspens termasuklah rancangan Hilmi setelah meninggalkan rumah Datuk Johari. Apabila Hilmi sudah tidak tahan dengan kerenah Datin Salmah, maka Hilmi menaiki bas untuk pulang ke kampung. Dalam konteks tersebut, pembaca teringin-ingin tahu apakah pekerjaan yang akan dilakukan Hilmi apabila tiba di kampung. Sebaliknya, semasa di Tanjung Malim, Hilmi menaiki teksi ke Kuala Lumpur. Pembaca teringin-ingin sekali lagi mengenai liku-liku hidup yang akan dilalui oleh Hilmi apabila dia tiba di Kuala Lumpur.

            Selain itu, unsur saspens juga boleh didapati ketika Encik Bakar dipanggil oleh Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik Bakar telah melanggar arahan Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional kerana menggunakan khidmat Hilmi untuk mengadakan persembahan di Hotel Titiwangsa. Pembaca tertanya-tanya sama ada Encik Bakar akan dikenakan hukuman yang berat oleh tatatertib apabila dia dipanggil oleh jawatankuasa persatuan itu kerana melanggar arahan mereka.

            Di samping itu, perjumpaan antara Hayati dengan Hilmi telah menyebabkan pembaca ingin mengetahui perkembangan lanjut tentang cerita Konserto Terakhir. Sebelum Hayati berangkat ke London dengan Mohsin yang sudah menjadi suaminya, Mamat telah mengatur perjumpaan Hayati dengan Hilmi di kebun bunga. Perkara utama yang pembaca ingin tahu ialah sebab-sebab Hayati ingin menemui Hilmi dan perkara yang hendak disampaikan oleh Hayati kepada Hilmi.

SASPENS DALAM NOVEL PAPA

  •   Pembaca tertanya-tanya tentang keadaan Marliana yang mengandung itu. Marliana masih meneruskan kebajikan itu walaupun menyedari bahawa risikonya amat tinggi terutama selepas mengalami masalah ketika melahirkan Julia dulu.
  •     Saspens ketika Intan Maliana berada di dalam bilik pembedahan di HUKM untuk melahirkan anak keduanya – pembaca tertanya-tanya tentang keselamatan Intan Maliana dan bayi yang bakal dilahirkannya – pembaca ingin tahu sama ada Intan Maliana akan menghadapi komplikasi yang sama ketika melahirkan Intan Julia atau sebaliknya
  •     Pembaca tertanya-tanya tentang kesudahan hubungan papa dan Aisyah. Julia menentang hubungan itu dan melihat hubungan mereka itu sebagai tidak elok atau curang kerana mama masih hidup.
  •  Pembaca tertanya-tanya nasib Marliana yang dalam keadaan koma itu. Sebaik sahaja melahirkan anak kembarnya, Marliana tidak sedar diri lalu pembaca ingin tahu sama ada Marliana akan pulih atau tidak.

02. Jelaskan tiga nilai murni yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari.

        Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Konserto Terakhir hasil karya Abdullah Hussain, terdapat beberapa nilai murni yang dapat diperoleh dalam novel tersebut.

          Antara nilai murni yang terdapat dalam novel termasuklah nilai kasih sayang. Contohnya, walaupun Pak Long Karim mengetahui Hilmi bukan anak kandungnya, dia tetap memeliharanya dengan penuh kasih sayang seperti anaknya sendiri. Dia hanya meminta Hilmi supaya pergi ke Kuala Lumpur untuk berdikari dan mencari pekerjaan di sana.
          Selain itu, terdapat juga nilai keikhlasan. Nilai keikhlasan dapat dilihat dalam watak Hilmi. Misalnya, Hilmi bekerja dengan bersungguh-sungguh sebagai tukang kebun di rumah Datuk Johari walaupun gaji yang dibayar hanya dua puluh ringgit sebulan, sedangkan Dr. Nathan sanggup memberi gaji yang lebih tinggi jika dia menjadi tukang kebunnya.

          Di samping itu, terdapat juga nilai bertanggungjawab. Nilai bertanggungjawab dapat dilihat dalam watak Hilmi. Buktinya, Hilmi menunjukkan sikap bertanggungjawab kepada Encik Bakar yang menjadi pemimpin ‘quartet’ di kelab malam Hotel Titiwangsa. Walaupun dia terlalu ingin untuk menghantar Hayati ke lapangan terbang namun niatnya itu diabaikan kerana dia bermain muzik pada malam itu. Malah, dia pergi ke tempat kerjanya sebaik sahaja selesai pertemuan dengan Hayati di kebun bunga pada malam Hayati hendak ke London.

Nilai murni dalam Novel Papa

  •  Nilai berdikari - Contohnya, Julia memilih untuk tinggal di kolej Pusat Matrikulasi UIA kerana tidak mahu menyusahkan keluarganya.
  •  Nilai kesabaran - Contohnya, Jeffri bersabar dan menerima ketentuan Tuhan apabila isterinya koma dan kedua-dua bayinya meninggal dunia.
  •  Nilai ketaatan - Contohnya, Julia taat kepada perintah papa dan mamanya. Dalam novel ini turut dipaparkan Intan Julia menunaikan solat seperti yang dituntut oleh agama.

03.  Jelaskan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari.

        Berdasarkan novel yang telah saya kaji iaitu Konserto Terakhir hasil nukilan Abdullah Hussain, terdapat beberapa latar masyarakat yang menggambarkan keadaan masyarakat terkandung dalam novel ini. 

        Antara latar masyarakat yang terkandung dalam novel ini termasuklahmasyarakat yang memiliki kesantunan dan budi bahasa yang tinggi dengan sesiapa sahaja. Gambaran masyarakat yang berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja dapat dilihat daripada perwatakan Hilmi yang lemah lembut apabila berhadapan dengan Datuk Johari dan Datin Salmah. Hilmi menghormati mereka dengan bersalaman dengan mereka apabila bertemu. Hilmi kemudian menyampaikan salam yang dikirimkan oleh keluarganya di kampung kepada Datuk Johari dan Datin Salmah.
           
     Selain itu, latar masyarakat yang senantiasa beribadat kepada Tuhan juga terkandung dalam novel ini. Latar masyarakat ini dapat dilihat apabila Hilmi tidak pernah meninggalkan sembahyang dan sentiasa mendirikan solat apabila tiba masanya. Walaupun terlalu sibuk, Hilmi masih mendirikan sembahyang. Ketika bekerja di rumah Datuk Johari, Hilmi senantiasa menunaikan sembahyang. Buktinya ialah Hilmi berhenti melakukan kerja perkebunan di belakang rumah Datuk Johari apabila hari sudah lewat petang untuk menunaikan sembahyang Asar.
          
    Di samping itu, terdapat juga latar masyarakat yang mengamalkan budaya ‘morning coffee’. Latar masyarakat ini dapat dilihat pada watak Datin Salmah dan rakan-rakannya seperti Datin Faridah, Datin Mariam dan lain-lain. Buktinya, Datin Salmah pergi ke rumah Datin Faridah kerana ‘morning coffee’ di sana apabila Hilmi mula tiba di rumah mereka. Dalam pertemuan secara tidak rasmi ini, isteri orang-orang besar ini membincangkan pelbagai hal, sama ada hal-ehwal semasa atau tentang diri dan keluarga masing-masing. Misalnya, Datin Mariam yang gemuk seperti tong dan suka mengunyah sirih selalu menceritakan hal-hal dukun.


04. Penulis sesebuah novel mengembangkan sesuatu peristiwa dengan pelbagai teknik plot seperti pemerian. Jelaskan kepentingan teknik pemerian berdasarkansebuah novel yang telah anda kaji.

       Berdasarkan novel yang telah saya kaji iaitu Konserto Terakhir hasil nukilan Abdullah Hussain, teknik pemerian banyak digunakan dalam novel ini. Terdapat beberapa kepentingan teknik ini dimasukkan oleh penulis  dalam hasil karyanya.

          Teknik pemerian menggambarkan keadaan fizikal watak kepada para pembaca. Teknik ini memberikan gambaran jelas keadaan Hilmi ketika mula sampai di rumah Datuk Johari. Buktinya ialah Hilmi mempunyai rambut sedikat ikal, anak matanya agak liar dan ketinggiannya ialah lima kaki lima inci. Pakaiannya agak miskin terbuat daripada bahan kain yang murah, seluarnya berkeredut dan bajunya sudah hilang warna asalnya.

        Selain itu, teknik pemerian juga memberitahu pembaca tentang perasan yang dialami oleh seseorang watak. Misalnya, teknik ini menggambarkan kesedihan Datuk Johari apabila Pak Long Karim memberitahunya bahawa Hilmi merupakan anak Datuk Johari dan bukan anaknya. Hal ini dapat dibuktikan dengan Datuk Johari berfikir tentang kekejamannya yang telah menyeksa isteri pertamanya dan Hilmi serta hal ini telah menyedihkannya. Air mata Datuk Johari berlinangan.

        Di samping itu, teknik pemerian memberikan penjelasan tentang reaksi watak terhadap sesuatu peristiwa kepada pembaca. Contohnya, Datuk Johari menerima panggilan daripada pihak hospital yang memberitahunya bahawa Hilmi telah meninggal dunia. Hanya sepatah perkataan yang dapat keluar daripada mulut Datuk Johari dan beliau jatuh dengan gagang telefon tergenggam erat di dalam tangannya. Datin Salmah yang terpekik dan menerpa kepada suaminya cuba untuk mengangkat Datuk Johari dengan pertolongan Mak Minah tetapi Datuk Johari telahpun meninggal dunia.

05. Jelaskan dua peristiwa yang berkaitan dengan konflik yang terdapat dalamsebuah novel yang telah anda kaji.

     Novel yang telah saya kaji ialah novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Dalam novel Konserto Terakhir, terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan konflik.

       Antara peristiwa yang berkaitan dengan konflik ialah peristiwa Hilmi menjaga rumah Datuk Johari semasa Datuk Johari dan keluarganya tiada di rumah. Hilmi cuba bermain dengan piano Hayati tetapi telah merosakkannya apabila dikejutkan oleh Mak Minah. Semasa Hayati ingin memainkan lagu ‘Blue Danube’, bunyi pianonya telah sumbang dan merajuk. Datin Salmah marah dan Mak Minah memberitahu Datin Salmah bahawa Hilmi yang bermain piano itu. Sebagai akibatnya, Hilmi telah dimarahi oleh Datin Salmah. Datuk Johari memaafkan Hilmi tetapi gaji Hilmi ditolak untuk membiayai kos pembaikian piano Hayati.

     Selain itu, peristiwa Hilmi balik lewat ke rumah juga merupakan peristiwa yang menimbulkan konflik. Hilmi pulang lewat kerana dia terlalu asyik belajar bermain piano di rumah Encik Bakar. Tanpa disedarinya hari sudah malam. Hilmi dimarahi oleh Datin Salmah kerana ayam Hilmi berkeliaran di dalam rumah dan memalukannya di hadapan tetamunya. Sebagai hukumannya, Datin Salmah melarang Mak Minah daripada memberi Hilmi makanan.
          

06. Konflik Novel Papa

1.     Intan Julia dengan Jeffri ( Rasylan)
      Jeffri~ menghalang Julia berjumpa dengan Rasylan~dendam     
       terhadap ayah Rasylan~kemalangan ibu bapanya~melarikan
      diri~Julia marah

2.     Julia dengan Jeffri dan Aisyah

Jeffri~berjumpa dengan Aisyah~dilihat oleh Julia~menganggap curang~ibunya yang koma~ditampar~menangis

 (b) Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, huraikan satu peristiwayang menggambarkan latar masyarakat yang prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh pihak lain.
         
          Novel yang telah saya kaji ialah novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain dan novel Papa, karya Deana Yusof. Beberapa watak dalam novel tersebut telah menunjukkan keprihatinan terhadap masalah watak lain. Terdapat beberapa peristiwa yang menggambarkan latar masyarakat yang prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh pihak lain.

          Antara peristiwa yang menggambarkan latar masyarakat yang prihatin dalam novel Konserto Terakhir termasuklah peristiwa Dr. Nathan memberikan tanah kepada Hilmi apabila Hilmi bertanya tentang tanah hitam yang berlonggok di halaman rumahnya. Dr. Nathan bukan sahaja enggan menerima wang Datuk Johari, malah dia sendiri datang ke rumah Datuk Johari untuk memuji kerajinan Hilmi dan mencadangkan kepada Datuk Johari dan Datin Salmah supaya memberikan gaji yang tinggi kepada Hilmi atas kerajinannya. Hal ini telah menunjukkan keprihatinan Dr.Nathan terhadap Hilmi.

          Manakala dalam novel Papa pula, peristiwa Cikgu Suzie berbual dengan Intan Maliana juga menunjukkan masyarakat yang prihatin. Cikgu Suzie menunjukkan keprihatinannya terhadap Intan Maliana apabila dia menasihati Intan Maliana supaya tidak mengandung lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana Cikgu Suzie mengetahui peristiwa komplikasi semasa Intan Maliana melahirkan Julia dan tidak menginginkan rakannya itu mengalami masalah yang sama.

          Demikianlah peristiwa yang menggambarkan latar masyarakat prihatin dalam novel Papa dan Konserto Terakhir.

07. Sesebuah novel dapat dijadikan bahan bacaan yang memberikan panduan hidup kepada pembaca. Berdasarkan sebuah novel telah anda kaji, jelaskan sebab-sebab novel itu dapat memberikan panduan hidup kepada pembaca.

Novel yang saya kaji ialah novel Konserto Terakhir yang dikarya oleh Abdullah Hussain. Terdapat beberapa sebab novel ini dapat memberikan panduan hidup kepada pembaca termasuklah novel ini mempunyai nilai dan pengajaran dapat dipelajari dan dicontohi oleh pembaca. 

Antara sebab novel ini dapat memberikan panduan hidup kepada pembaca ialah novel ini mendidik pembaca supaya mempunyai sikap tanggungjawab terhadap tugasan yang diamanahkan. Sebagai contoh, Hilmi menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai tukang kebun  dengan penuh dedikasi dan kreatif sehingga taman rumah Datuk Johari menjadi sangat cantik. Kawan- kawan ‘morning coffee’ Datin Salmah dan Dr. Nathan, jiran Datuk Johari telah memuji tanaman bunga dan kesegaran sayur-sayuran Hilmi.

Selain itu, novel ini mengingatkan pembaca supaya kembali kepada ajaran agama untuk mendapat ketenangan hidup. Sebagai contoh, Hayati ialah seorang gadis yang hidup dengan penuh kebebasan tetapi telah berubah dan berasa tenang setelah mula mendekati agama melalui ibadah solat dan mendalami buku-buku agama seperti Hidup Sesudah Mati.

Di samping itu, pembaca juga dapat mencontohi kesabaran seorang pemuda kampung. Hal ini dapat dilihat apabila Hilmi sanggup tinggal di rumah Datuk Johari walaupun dia selalu dihina dan dipandang rendah oleh Datin Salmah kerana Hilmi datang dari kampung dan tidak berpendidikan tinggi. Semua ini diharungi oleh hilmi semata-mata untuk mencapai cita-citanya sebagai ahli muzik.


08. Panduan hidup dalam novel Papa

1.                    Pembaca dapat mencontohi kesetiaan dan tanggungjawab kepada keluarga – Jeffri setia terhadap isterinya, Intan Maliana yang koma selepas mengalami komplikasi melahirkan anak kedua dan Jeffri bertanggungjawab membesarkan Intan Julia
2.                    Pembaca dapat mencontohi kepatuhan anak kepada bapa – Intan Julia patuh kepada bapanya yang tidak membenarkannya ke rumah Rasylan kerana Julia masih muda dan belum matang.

10. Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari,
      jelaskan satu teknik plot yang digunakan berserta contoh dalam
      setiap novel.   

            Dua buah novel yang telah saya kaji ialah Papa, karya Deana Yusof dan Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain. Beberapa teknik plot telah digunakan oleh pengarang masing-masing untuk menghasilkan novel yang lebih menarik.

            Dalam novel Papa, teknik plot saspens telah digunakan oleh pengarang. Saspens bermaksud seseorang pembaca itu berada dalam keadaan tertanya-tanya atau ingin tahu akan lanjutan peristiwa berkenaan. Contohnya, pembaca tertanya-tanya dalam novel Papa akan nasib yang akan menimpa Intan Maliana setelah doktor memaklumkan bahawa dia perlu menjalani satu pembedahan kerana ada komplikasi terhadap kandungannya.

            Dalam novel Konserto Terakhir pula terdapat teknik plot imbas kembali. Imbas sekali ialah lintasan-lintasan dan bayangan atau ingatan watak-watak terhadap sesuatu yang telah terjadi atau yang telah dialami. Contohnya, semasa Datuk Johari menemui Hilmi di bilik yang diberikan kepadanya, Datuk Johari telah bertanya tentang masa Hilmi bertolak dari kampung. Hilmi menceritakannya dan pada masa yang sama Datuk Johari teringat kisahnya dahulu yang pernah berlaku di kampung tersebut iaitu melarikan diri selepas perkahwinannya dengan seorang gadis kampung.


Teknik Plot Novel Papa

1.                    Dialog – pertuturan / perbualan antara watak dalam novel. Contoh: perbualan Jeffri dengan Rasylan tentang latar belakang Rasylan. Rasylan memberitahu Jeffri bahawa dia merupakan anak angkat Datuk Mustakim yang diambil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

2.                    Monolog – tutur kata atau pengucapan oleh watak secara sendirian. Contoh: Jeffri berkata kepada isterinya, Intan Maliana yang sedang koma bahawa Intan Julia telah mendapat keputusan SPM yang baik dan dia hendak memohon kemasukan ke matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa.

11. Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari, huraikan
     peleraian plot novel-novel tersebut.
             
         Novel yang saya kaji dalam tingkatan 4 ialah novel Papa, karya Deana Yusof dan  novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain iaitu novel tingkatan 5.. Kedua-dua buah novel ini mengandungi peleraian dalam plot masing-masing.

Dalam peleraian novel Papa, Intan Julia mendapat tahu bahawa papanya, iaitu Encik Jeffri berhasrat berkahwin lagi. Pada peringkat awal, Intan Julia tidak dapat menerima kehadiran Mak Cik Aisyah, iaitu bekas pelajar papanya semasa di universiti. Sikap penyayang, baik hati dan bertolak ansur Mak Cik Aisyah meruntuhkan semua prasangka Intan Julia. Sebaik-baik sahaja Intan Julia dapat menyesuaikan diri dengan ibu tirinya, tanpa diduga pada suatu hari mamanya tersedar daripada koma tetapi hanya seketika. Semasa mamanya sedar, papa terus bercakap dengannya dan memberitahu bahawa wanita yang ada di sisinya ialah isteri mudanya. Mama Intan Julia seolah-olah tidak merestui. Namun begitu, umur mama Intan Julia tidak panjang, saat itu juga dia menghembuskan nafas terakhirnya. Jeffri yang selama ini keras hati akhirnya menangis atas pemergian isteri tersayangnya.

Dalam peleraian novel Konserto Terakhir, Hayati telah mengambil alih tempat Hilmi untuk memimpin Pertunjukan Orkes Perdana yang dikenali sebagai ‘Hilmi Potpuri’. Hal ini disebabkan Hilmi terjatuh ketika hendak keluar dari rumahnya dan dimasukkan ke hospital. Persembahan Hayati berjaya mendapat sambutan yang hangat daripada penonton di dewan. Ketua pengarah RTM kemudian membawa Hayati ke hospital untuk melawati Hilmi. Di hospital, Pak Long Karim, iaitu abang sepupu Datuk Johari menerangkan kepada Datuk Johari dan Datin Salmah bahawa Hilmi terhutang budi kepada mereka berdua kerana membiayai perbelanjaan Hilmi belajar muzik dan menguruskan perkahwinannya dengan Azizah. Dia juga membuka rahsia bahawa Hilmi ialah anak kandung Datuk Johari. Datuk Johari dan Datin Salmah menjadi sebak apabila mendengar berita itu. Selepas itu, Datuk Johari sekeluarga mendapat berita bahawa Hilmi meninggal dunia sebaik sahaja mereka meninggalkan hospital. Datuk Johari terjatuh dan dia juga meninggal dunia di pekarangan rumahnya.

12.Berdasarkan  sebuah novel  yang  telah  anda pelajari ,
     jelaskan dua kritikan sosial yang cuba diketengahkan oleh pengarang
    dalam novel tersebut.

            Novel yang saya pelajari ialah novel Konserto Terakhir karyaan Abdullah Hussain.Terdapat beberapa kritikan sosial yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam novel  tersebut.

            Antara kritikan sosial termasuklah sikap masyarakat yang memandang rendah atas keupayaan orang lain atas sebab-sebab tertentu. Sikap ini dapat ditunjukkan melalui watak Datuk Johari. Contohnya, Datuk Johari tidak mahu menghargai kebolehan Hilmi yang sudah berjaya menjadi seniman agung. Walaupun dia diberi tiket untuk menonton Pertunjukan Orkes Perdana tetapi dia memulangkan tiket itu kepada orang yang memberinya kerana dia menganggap kebolehan dan bakat Hilmi tidak ke mana-mana. Hal ini disebabkan oleh Hilmi hanya lulus setakat darjah empat sekolah Melayu. Malah, dia tidak mahu menyebut nama Hilmi apabila Datin Salmah mengajaknya untuk menonton pertunjukan itu.
            Kritikan sosial yang seterusnya yang ingin diterangkan oleh Abdullah Hussain ialah sikap masyarakat yang mementingkan status dan kedudukan sosial. Sikap ini telah jelas dipaparkan oleh  watak Datin Salmah. Datin Salmah yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga kaya berasa amat bangga, sombong, dan mementingkan kedudukan. Misalnya, Datin Salmah mahu orang menghormatinya, malah dia suka orang menyebutnya ‘Datin’ ketika menyapa dan berbual dengannya. Oleh itu, apabila Hilmi memanggilnya dengan panggilan Mak Cik Salmah, dia rasa tersinggung. Di samping itu, apabila Mak Cik Minah melayani Hilmi dengan baik dan menyapanya dengan menggunakan perkataan ‘Encik’, Datin Salmah memarahi Mak Minah sehingga Mak Minah melongo apabila mendengar kata-kata Datin Salmah. Oleh itu, didapati Datin Salmah bukan sahaja tidak mahu melayani Hilmi dengan baik, malah juga melarang pembantu rumahnya memberi layanan yang baik dan berencik-encik kepada Hilmi. Datin Salmah melayani orang yang berdarjat dan berpangkat dengan baik dan memandang hina terhadap orang biasa dan orang miskin. Buktinya , dia memarahi Hayati kerana rapat dengan Hilmi walaupun Hilmi juga sepupu Hayati sama seperti Mohsin. Dia memberi layanan yang istimewa kepada Mohsin kerana Mohsin berpangkat dan kaya.

KRITIKAN SOSIAL NOVEL PAPA

1.  Mengingkari perintah Tuhan dan melakukan dosa – Encik Muaz al-Khalibi telah menodai pengemas biliknya sehingga mengandung, namun enggan bertanggungjawab. Sebagai akibatnya, pengemas rumah warga Indonesia itu meninggalkan Rasylan yang baru dilahirkan di tepi sebuah longkang besar.
2.    Iri hati dan mempengaruhi orang untuk membenci seseorang – Murni menghasut rakan       sekelas yang lain agar memusuhi Intan Julia.
3.      Dendam yang berpanjangan - Datuk Mustakim melanggar ibu bapa Jeffri ketika pulang dari      solat tarawih. Bapanya meninggal dunia manakala ibunya lumpuh. Jeffri berasa marah kerana Datuk Mustakim tidak berhenti selepas kemalangan itu walaupun dia menanggung kos rawatan ibunya hinggalah ibunya meninggal dunia. Rasylan mencadangkan agar papa Julia, Jeffri bertemu dengan Datuk Mustakim tetapi papa Julia enggan.

13.Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan  dua 
    peristiwa  yang dapat dikaitkan dengan nilai kemanusiaan.

      Novel yang saya kaji ialah Konserto Terakhir karya Abdullah Husain. Terdapat beberapa peristiwa yang melambangkan nilai kemanusiaan.
      
     Antara peristiwa tersebut ialah peristiwa Pak Long Karim menjaga Hilmi. Pak Long Karim sanggup menjaga Hilmi walaupun dia bukan anak kandungannya. Dia memeliharanya dengan penuh kasih sayang dan berharap dia dapat mencapai kejayaan dalam kehidupannya. Peristiwa tersebut melambangkan nilai kasih sayang.
             
      Selain itu, peristiwa Encik Bakar mengajar Hilmi tanpa mengharapkan sebarang balasan juga melambangkan nilai kemanusiaan. Encik Bakar sanggup mengajar Hilmi bermain alat muzik dan mengenal not-not muzik tanpa bayaran kerana dia seorang yang ikhlas. Dia mengetahui Hilmi mempunyai bakat untuk menjadi seorang ahli muzik termasyhur. Peristiwa tersebut melambangkan nilai keikhlasan.


PERISTIWA NILAI KEMANUSIAAN NOVEL PAPA:
1.                    Jeffri dan Intan Maliana saling menyayangi sehingga Julia menyatakan keakraban mereka seperti belangkas. Jeffri dan Intan Maliana juga amat menyayangi Intan Julia (Nilai kasih sayang)
2.                    Intan Julia memilih untuk tinggal di Kolej Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kerana tidak mahu menyusahkan keluarganya. Hal yang sama juga berlaku pada Rasylan yang mengurus segala urusan pendaftarannya sendiri di Pusat Marikulasi UIA. (Nilai berdikari)
3.                    Jeffri bersabar dan menerima ketentuan Tuhan apabila isterinya, Intan Maliana koma dan kedua-dua bayi kembar Siamnya meninggal dunia. (Nilai kesabaran)
14. Pilih dua buah novel yang anda pelajari. Bandingkan satu watak     
      sampingan daripada kedua-dua buah novel tersebut.
         Novel yang telah saya kaji ialah novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain dan novel Papa... (akhirnya kau tewas jua!), karya Deana Yusof. Kedua-dua novel ini mengandungi beberapa watak sampingan yang meyumbang kepada perkembangan plot novel masing-masing. Salah satu watak sampingan daripada novel Konserto Terakhir ialah Datuk Johari manakala satu watak sampingan daripada novel Papa ialah Encik Jeffri. Kedua-dua watak ini mempunyai persamaan dan perbezaan antara satu sama lain.
         Datuk Johari dan Encik Jeffri, yang dikenali sebagai Papa mempunyai ciri yang sama iaitu mereka merupakan penyayang. Dalam novel Konserto Terakhir, Datuk Johari merupakan seorang penyayang kepada keluarganya. Contohnya, Datuk Johari sanggup rajin bekerja supaya isterinya, Datin Salmah dan anaknya, Hayati dapat hidup dengan mewah. Encik Jeffri dalam novel Papa juga merupakan seorang penyayang. Buktinya, Encik Jeffri amat menyayangi isterinya walaupun terpaksa berkorban masa dan tenaga untuk menjaga isterinya, Intan Maliana yang berada dalam koma.
         Manakala, perbezaan perwatakan Papa dan Datuk Johari ialah Datuk Johari ialah seorang yang lebih mementingkan status daripada tali kekeluargaan manakala Papa ialah seorang yang mementingkan hubungan kekeluargaan. Contohnya, Datuk Johari berasa malu untuk menerangkan kepada orang lain bahawa Hilmi merupakan anak saudaranya dan bekerja sebagai tukang kebun di rumahnya. Hal ini disebabkan Hilmi merupakan seorang pemuda kampung dan bersekolah setakat darjah empat sekolah Melayu. Manakala, Papa pula seorang yang mementingkan ikatan kekeluargaan. Buktinya ialah Papa membawa Mak Cik Noraini yakni sepupunya tinggal dengannya selepas kematian suami dan anak-anaknya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada malam raya suatu ketika dahulu. Walaupun Mak Cik Noraini berkhidmat di rumah keluarga Jeffri sebagai pembantu rumah namun Papa menganggapnya sebagai ahli keluarganya. 
          Perbezaan yang lain antara dua watak ini ialah pegangan agama mereka. Papa merupakan seorang yang mengamalkan ajaran agamanya dan tidak meninggalkan solatnya. Buktinya, dia dan Intan Julia, anaknya pergi menjenguk Intan Maliana di biliknya selepas menunaikan solat Maghrib. Situasi ini berbeza dengan Datuk Johari dalam novel Konserto Terakhir. Datuk Johari pula seorang yang mengabaikan tanggungjawabnya sebagai penganut agama Islam. Dia tidak bersolat dan mempunyai sebuah bar mini di rumahnya.
15.Biasanya pelbagai emosi dirasai pembaca semasa menikmati    
    sesebuah  novel. Huraikan dua macam perasaan anda setelah    
    membaca salah sebuah daripada novel yang tersenarai.
Novel yang saya kaji ialah novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain. Novel ini mengisahkan seseorang pemuda kampung iaitu Hilmi yang telah ke bandar untuk mencari kerja dan akhirnya telah menjadi seorang pemain muzik yang berjaya. Pengarang telah merakamkan peristiwa-peristiwa yang dialami oleh Hilmi dan perasaan watak-watak yang terdapat dalam novel dengan sebaik-baiknya. Pembaca dapat merasakan pelbagai emosi ketika menikmati novel ini.
Sebagai pembaca, saya telah berasa kecewa akan layanan Datuk Johari dan Datin Salmah kepada Hilmi sewaktu dia tinggal di rumah mereka. Sejak mengetahui bahawa Hilmi merupakan pemuda dari kampung yang hanya belajar sehingga darjah empat di sekolah Melayu sahaja, Datin Salmah tidak menyukai Hilmi. Dia asyik menghina dan mengejek Hilmi. Contohnya, apabila Hilmi mengatakan kesanggupannya untuk bekerja sebagai kuli, Datin Salmah telah mengejeknya. Walaupun Datuk Johari tidak menghina Hilmi namun dia kurang membantu Hilmi dan berasa malu akan hubungannya dengan Hilmi.  Datuk Johari malu untuk menerangkan kepada orang lain bahawa Hilmi yang bekerja sebagai tukang kebunnya merupakan anak saudaranya. Layanan Datuk Johari dan Datin Salmah memang mengecewakan saya kerana mereka menunjukkan bahawa mereka sungguh mementingkan kedudukan atau status seseorang.
Selain itu, saya telah berasa gembira akan kejayaan Hilmi sebagai pemain muzik. Setelah banyak mengharungi cabaran, Hilmi akhirnya telah menjadi pemain muzik terkenal dalam negara dan pernah memberikan persembahan di Festival Muzik di Tokyo. Sepanjang penglibatannya dalam dunia muzik, banyak orang telah mendorong dan membantunya termasuklah Hayati, Mamat, Encik Bakar dan lain-lain lagi. Tamsilnya, Encik Bakar telah mengajar Hilmi secara percuma selepas mengetahui bahawa Hilmi mempunyai bakat dalam muzik. Hilmi juga telah banyak berusaha sehingga berjaya menggubah beberapa lagu yang diminati ramai dan diberi peluang untuk memimpin Hilmi Potpouri. Usaha diri sendiri dan bantuan orang lain telah menghasilkan kejayaan Hilmi sebagai pemain muzik terkenal. Kesemua ini menimbulkan perasaan gembira dalam pembaca apabila melihat kejayaan Hilmi yang begitu menggembirakan.

Tingkatan 4

P1: Novel Papa – karya Deana Yusof – kisah hidup Intan Julia 
P2: Perasaan marah – ayah Intan Julia, Jeffri – mengahwini Aisyah – tidak mempedulikan perasaan Julia – mementingkan diri sendiri – Intan Maliana – koma  
P3: berasa sedih – Intan Maliana – sedar daripada komanya – mengetahui bahawa Jeffri telah memperisteri Aisyah – marah – meninggal dunia – harapan Julia dan Jeffri – keluarga bahagia – lenyap  

16. Setiap watak utama dalam mana-mana novel pasti akan berhadapan   
      dengan pelbagai dugaan kehidupan. Berdasarkan dua buah novel   
      yang anda pelajari, huraikan cara watak utama menangani     
     satu konflik yang dihadapi dalam setiap novel.
          Novel yang telah saya kaji ialah novel Papa, karya Muhammad Yusof dalam Tingkatan Empat dan novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain dalam Tingkatan Lima. Pengarang kedua-dua buah novel ini telah menarik perhatian para pembaca dengan menimbulkan konflik yang terpaksa dihadapi oleh watak utama bagi kedua buah novel ini .
          Dalam novel Papa, watak utamanya ialah Intan Julia. Intan Julia telah menangani konflik dengan bapanya, Encik Jeffri dengan rasional, iaitumendekatkan diri kepada Tuhan yakni dengan bersolat. Konflik itu timbul apabila Encik Jeffri tidak membenarkan Intan Julia berkawan rapat dengan Rasylan kerana asal keturunan Rasylan tidak diketahui. Intan Julia tidak bersetuju dengan arahan bapanya itu, lalu Encik Jeffri menampar muka Intan Julia. Walau bagaimanapun, Intan Julia tetap tabah menghadapi cabaran ini dengan sering bersembahyang. Intan Julia juga cuba untuk tidak berkawan terlalu rapat dengan Rasylan pada ketika itu.
          Dalam novel Konserto Terakhir pula, watak utamanya ialah Hilmi. Hilmi menyelesaikan konfliknya dengan membuat keputusan untuk keluar dari rumah dan berhenti bekerja sebagai tukang kebun di rumah Datuk Johari. Sebenarnya, Hilmi menghadapi konflik dengan Datin Salmah apabila Hilmi tinggal di rumah Datuk Johari. Datin Salmah sering mengkritiknya dan cuba mencari kesalahan Hilmi. Datin Salmah juga bersikap agak kasar dengan Hilmi. Contohnya, pada suatu malam yang Hilmi balik lambat ke rumah, Datin Salmah tidak memberikan makanan kepadanya dan memarahinya. Hilmi menghadapi konflik ini dengan meminta bantuan Mamat untuk menulis surat kepada Datuk Johari agar membenarkan Hilmi pulang ke kampungnya dan berhenti bekerja di rumah Datuk Johari.
17.Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu nilai
     keberanianyang terdapat dalam novel.
          Dua buah novel yang telah saya pelajari ialah novel ‘Papa’ karya Deana Yusof dan ‘Konserto Terakhir’ karya Abdullah Hussain. Dalam kedua-dua novel ini, pengarang dengan bijaknya telah menyelitkan pelbagai nilai murni bagi dijadikan teladan pembaca. Antara nilai yang terdapat dalam kedua-dua novel ini ialah nilai keberanian.
          Dalam novel ‘Papa’, nilai keberanian jelas dipaparkan oleh watak Intan Maliana. Intan Maliana merupakan isteri Jeffri dan juga ibu kepada Intan Julia. Walaupun dia pernah mengalami komplikasi apabila melahirkan Intan Julia, Intan Maliana tetap ingin meneruskan kandungan kembarnya demi kebahagiaan suaminya, Jeffri. Dia memaparkan nilai keberanian apabila masih tegas dengan keputusannya untuk mengambil risiko yang besar bagi melahirkan anak kembar tersebut walaupun telah ditegur dan dinasihati. Akhirnya, kedua-dua anaknya meninggal dunia dan dia pula jatuh koma.
          Dalam novel ‘Konserto Terakhir’ pula, watak Hilmi memaparkan nilai keberanian. Hilmi datang dari kawasan kampung. Dia juga hanya berpendidikan hingga darjah empat sekolah Melayu. Walau bagaimanapun, Hilmi menunjukkan nilai keberanian apabila dia membuat keputusan hendak ke bandar untuk mencari pekerjaan atas permintaan ‘bapa’nya, Pak Karim. Hilmi tetap berani mengembara ke bandar dengan kemampuan dan kemahirannya yang rendah dan akhirnya, dia berjaya manjadi pemuzik yang terkenal atas keberaniannya.

1 ulasan:

Unknown berkata...

terima kasih untuk nota...:)