Isnin, 14 November 2011

KEPADA SEMUA CALON SPM 2011, SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN. SEMOGA SUKSES MILIK ANDA. SAYA SENTIASA MENDOAKAN KEJAYAAN ANDA.

TERIMA KASIH.

Ahad, 13 November 2011

Kepentingan Pusat Sumber Sekolah (PSS)


  • Satu daripada kepentingan PSS ialah guru dapat menggunakan pelbagai kemudahan untuk meningkatkan pangajaran dan pembelajaran di bilik darjah. 
  • Selain itu, PSS menyediakan tempat untuk murid belajar secara kumpulan. 
  • PSS menyediakan pelbagai jenis bahan yang meliputi pelbagai bidang ilmu.
Peribahasa yang sesuai digunakan:
  • membaca jambatan ilmu
  • maklumat di hujung jari
  • PSS jendela untuk melihat dunia luar
  • bermuafakat membawa berkat

Perhatian: Sekiranya soalan ini keluar sebagai bahan rangsangan (Bahagian A), jangan lupa bahawa calon perlu mengembangkan isi yang dinyatakan dalam bahan rangsangan berkenaan. Isi yang dikemukakan di atas adalah sebagai panduan sahaja.

         

Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.  
Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.

Gunakanlah masa yang ada
Dengan sebaiknya
Kuatkanlah tekad di hati
Memajukan diri
Tiada kejayaan yang datang
Tanpa usaha yang gigih
Bersusah-susahlah dahulu
Bersenang kemudian
Jadilah warga yang berguna
Pada keluarga, masyarakat jua negara

Sebahagian daripada lirik lagu ‘Remaja’ persembahan kumpulan nasyid Unic,  saya petik untuk menggambarkan kemaslahatan peranan remaja pada masa ini. Lagu yang menyuntik semanagat ini menyeru  para remaja agar menggunakan masa dengan sebaiknya dan mempunyai azam yang kuat demi memajukan diri masing-masing . Melalui usaha yang gigih dan tabah tanpa mengenal jemu dalam bidang yang diceburi serta memiliki sahsiah yang terpuji , remaja akan menjadi warga yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan nusa. Isu ini begitu hampir dengan saya memandangkan saya juga  seorang insan yang bergelar remaja.  Justeru saya mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji agar memiliki ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara.

 Sebagai seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji, saya akan mendalami ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah. Tiada ilmu yang lebih mulia melainkan ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan Islam yang syumul. Perkara ini boleh dibuktikan melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains yang terkenal iaitu Albert Einstein  yang menyatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat bahawa ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah.  Saya akan mendalami ilmu agama dengan membaca dan memahami  Al-Quran,  dan mengkaji hadis. Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis itu pastinya akan menjadi sumber  primer saya bagi membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan dan penelaahan yang mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna seperti memahami nilai  yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Jelasnya, saya akan terhalang daripada menjadi penyumbang petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.

             Selain itu, modus operandi lain yang sepatutnya saya lakukan adalah dengan menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu bapa merupakan dua insan yang paling dekat dengan diri saya kerana sesudah saya dilahirkan di muka bumi ini, saya ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap saya bermula dengan ibu yang mengandungkan saya dengan jerih payahnya selama sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang dilakukan oleh bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup menjadi seperti Si Tanggang atau Si  Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Saya akan taat kepada ibu bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka dan hati yang lapang. Jika saya tidak bersetuju sekalipun, saya tidak akan memberontak dan meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah saya akan berbincang dengan cara yang paling baik atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sesuai dengan peribahasa buang yang keruh ambil yang jernih.  Jelaslah bahawa mentaati ibu bapa mampu menjadikan saya individu yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan moral.

            Di samping itu, prakarsa lain yang dapat saya laksanakan adalah dengan menghormati guru-guru. Sepanjang pembelajaran saya hatta sekalipun saya tidak lagi bergelar pelajar, saya akan menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada mereka kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu berdiri dan berpijak di bumi yang nyata menjadi insan yang sebaiknya dan berguna. Guru telah banyak berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak berjasa bermula daripada mereka mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Mereka tidak pernah mentertawakan kesalahan yang saya lakukan malah membetulkan setiap satu daripadanya lantas menepati mutiara kata cendekiawan Wellington iaitu, ‘Usah merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya tetapi bimbinglah ia ke jalan yang lebih baik”. Saya akan menerima dan menjadikan nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru sebagai insentif dan motivasi untuk saya berjaya menjadi insan berguna yang mampu mendaki menara gading. Justeru, dengan menghormati guru, saya mencetuskan rasa insaf dalam diri dan bertatih membentuk sahsiah diri yang terpuji.

            Dalam pada itu, saya akan menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan taulan. Secara perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan itu, saya akan menjaga atau memelihara hubungan yang baik dengan rakan tidak kira sama ada rakan saya berlainan agama, kaum mahupun warna kulit. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Saya akan memberikan pertolongan kepada rakan yang memerlukan bantuan kerana dia merupakan rakan yang baik dan telah membantu ketika saya dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini, saya perlu berbaik-baik dengan semua orang dan bekerjasama dalam semua bidang kerana yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kita digalakkan mencari teman yang baik dan meramaikannya seperti kata pepatah ‘berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.’ Apabila saya menjalinkan hubungan baik dengan rakan-rakan, masalah kebejatan moral tidak akan ada dalam kamus rutin hidup saya sejajar dengan visi saya untuk menjadi remaja yang mempunyai sahsiah terpuji.

            Peranan saya yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermoral . Seorang yang ingin mempunyai sahsiah diri yang terpuji tidak bisa melakukan perkara yang negatif yang mampu  keruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Saya tidak akan mudah terpedaya oleh hasutan syaitan yang membisikkan ‘kata-kata bermadu’ kepada anak Adam agar melakukan dosa. Saya sentiasa awas bahawa syaitan telah berjanji akan menyesatkan umat manusia. Saya tidak mahu terjebak dalam kancah yang serba ‘menyesakkan nafas’ dan boleh memusnahkan visi dan misi saya sebagai seorang Muslim yang cemerlang dan memiiki sahsiah yang terpuji. Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga batas-batas aurat dan menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita.

            Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak dalam  kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin berlandaskan lima prinsip yang saya pegang di atas, dengan izin Allah, saya dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji. Semoga isu kenakalan remaja akan lenyap agar tidak lagi menebarkan sayap negatif kepada generasi akan datang bak kata peribahasa ‘Sebab nila setitik rosak susu sebelanga’

Dipetik dan disesuaikan dari blog cikgu Mie. Terima kasih.




1. Ilmu pengetahuan dapat menjamin masa hadapan seseorang

- menjamin masa hadapan yang cemerlang
- jika seseorang berusaha bersungguh-sungguh, mereka akan memperoleh ilmu yang dipelajari
   keranausaha tangga kejayaan
- mereka boleh menimba ilmu pengetahuan daripada guru yang mengajar mata pelajaran sejarah
   di sekolah
- dapat mengetahui sejarah kejayaan seseorang tokoh
- akan menjadikan tokoh tersebut sebagai idola dalam usaha mencapai cita-cita

2. Seseorang akan mengetahui pelbagai bidang ilmu

- boleh mendapat ilmu dalam pelbagai bidang melalui mata pelajaran yang dipelajari di sekolah
   seperti sains, matematik, perdagangan, ekonomi dan sastera
- ilmu yang diperoleh boleh diamalkan dalam kehidupan seharian mereka
- seseorang akan berjaya jika mereka boleh menguasai ilmu pelbagai bidang yang dipelajari

3. Seseorang mampu menyelesaikan masalah

- dalam menjalani kehidupan seharian kita akan mengalami pelbagai masalah
- sentiasa berfikir secara positif atau optimis tentang sesuatu masalah dan tidak berfikir secara
   pesimis dan mudah pula berputus asa
- memiliki ilmu pengetahuan kerana ilmu pelita hidup - penerang kegelapan
- ilmu agama yang tinggi dapat menyelesaikan masalah tanpa tindakan yang terburu-buru
- kemahiran menyelesaikan masalah dengan berkesan boleh dikuasai

4. Ilmu pengetahuan mampu melahirkan insan bermoral

- boleh menjadi insan yang memiliki sahsiah terpuji
- kita akan mendapat panduan yang baik melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki
- seseorang yang berilmu akan dapat memanfaatkan nilai-nilai murni yang dipelajari dalam
   kehidupan seharian
- nilai saling menghormati, bertanggungjawab, bertimbang rasa dan menghargai
- akan menjadi insan yang berakhlak mulia jika kita berilmu pengetahuan

5. boleh mencipta inovasi baharu dalam pelbagai bidang kehidupan manusia hari ini

- akan memberikan kemudahan kepada kehidupan seharian manusia
- seperti telefon bimbit, komputer riba dan pelbagai alat canggih yang lain
- memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam teknologi

6. dapat memajukan diri dan negaranya sendiri

- untuk mendepani pelbagai cabaran, negara kita memerlukan pemimpin yang berilmu
   pengetahuan tinggi
- pemimpin yang berilmu akan membawa perubahan yang positif untuk kemajuan rakyat dan
    negara
hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih - para pemimpin perlu menguasai pelbagai ilmu
   terutamanya ilmu teknologi maklumat dan komunikasi

Kesimpulan:
            Dalam era ledakan teknologi maklumat, seseorang dengan mudah dapat menguasai pelbagai bidang. Hal ini dikatakan demikian kerana dikatakan maklumat berada di hujung jari. Oleh itu, rakyat Malaysia harus menguasai teknologi maklumat dan komunikasi agar dapat bersaing dengan negara-negara maju yang lain dan dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka. Seterusnya, dapat kita merealisasikan Wawasan 2020, iaitu melahirkan rakyat yang progresif dan saintifik.
Dipetik dan disesuaikan daripada blog cikgu analyza. Terima kasih.


Isnin, 7 November 2011


Jelaskan peranan ibu bapa dalam membentuk masyarakat penyayang.

            Pada alaf baru ini, ibu bapa memainkan  peranan yang penting dalam pembentukan masyarakat dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan isu ini. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan. Menurut mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr.Mahathir Mohamad  membentuk masyarakat penyayang amat penting dalam menuju ke arah negara maju. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk membentuk masyarakat penyayang.

            Sehubungan dengan hal itu, ibu bapa seharusnya memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Namun begitu, terdapat dalam kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini kerana, ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidup dan kekayaan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya meluangkan lebih banyak masa bersama-sama anak mereka pada alaf globalisasi ini. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka melancong semasa cuti sekolah untuk mengeratkan hubungan dan mengurangkan tekanan anak-anak dalam aspek pembelajaran serta ibu bapa. Jadi, impian ibu bapa atau negara untuk membentuk masyarakat penyayang akan tercapai jua.

            Sejajar dengan itu, ibu bapa sewajarnya memberi didikan agama kepada anak-anak semenjak kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebaliknya, ibu bapa mengagung-agungkan kemodenan sehingga mengabaikan anak-anak dalam didikan agama. Hal ini kerana, mereka beranggapan didikan agama tidak penting dalam arus kemajuan teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan agama kepada anak-anak mereka. Misalnya, ibu bapa hendaklah  menggalakkan anak-anak mengikuti kelas kifayah supaya anak-anak akan menjadi insan yang berakhlak mulia. Maklumlah orang yang mempunyai pegangan agama yang kukuh dapat membezakan antara kaca dan intan; halal dan haram; syurga dan neraka; baik dan buruk.

Di  samping itu, mereka seharusnya memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika anak-anak itu masih dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam melahirkan generasi yang berguna akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Jelas terbukti bahawa sifat yang disemai sejak kanak-kanak akan berkekalan sehingga ke akhir hayat seperti kata orang tua-tua dari buaian hingga ke liang lahat. Malahan, ibu bapa haruslah menyediakan semua keperluan atau kemudahan kepada anak mereka. Penyediaan tempat belajar yang sesuai amat penting. Begitu juga dengan hubungan ayah dan ibu yang mesra tanpa sebarang masalah sudah pasti akan memberi keselesaan kepada anak untuk menjadi manusia yang penyayang. Ringkasnya, sikap ibu bapa yang sebegini mampu melahirkan satu generasi muda yang penyayang di negara ini.

Seiring dengan itu, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Kata peribahasa bapa borek anak rintik. Namun demikian, terdapat dalam kalangan ibu bapa yang berperangai buruk. Sebagai contohnya, ada ibu bapa yang  menjadi penangih dadah, pencuri, penjengah, perogol dan sebagainya. Hal ini jelas membuktikkan bahawa  mereka akan mengalami kesempitan wang dan tekanan emosi. Bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Hal ini demikian kerana  ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang baik kepada anak-anak sejak kecil lagi. Umpamanya, mengamalkan nilai kasih sayang bukan sahaja sesama manusia tetapi antara manusia dan haiwan dan manusia dan alam sekitar. Lama-kelamaan tabiat ini  disemai dalam kalangan generasi muda. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat yang penyayang  pada alaf globalisasi ini.

            Tuntasnya, semua pihak sewajarnya memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan dan pihak swasta. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang terpenting untuk memupuk masyarakat penyayang. Justeru, peribahasa  bagai aur dengan tebing hendaklah diamalkan oleh semua warganegara Malaysia terutamanya generasi muda. Sememangnya salah satu daripada ciri Wawasan 2020, iaitu melahirkan masyarakat yang penyayang dapat direalisasikan. Maklumlah "rakyat sejahtera, negara makmur".



Lihat gambar di bawah dengan teliti. Kemudian huraikan peranan ibu bapa dalam memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak. Huraian anda hendaklah antara 200 - 250 patah perkataan.

  • Membawa anak ke perpustakaan.
  • Mewujudkan perpustakaan mini di rumah.
  • Ibu bapa sebagai teladan.
  • Membawa anak ke pameran buku
  • Menghadiahkan buku.


PERANAN IBU BAPA DALAM MEMUPUK AMALAN MEMBACA DALAM KALANGAN ANAK-ANAK.

Ayat pertama dalam kitab Al - Quran ialah Iqra, bermaksud “Bacalah Kamu”. Amalan membaca merupakan satu amalan yang mulia. Membaca amat penting dalam membentuk masyarakat berilmu. Setiap anggota masyarakat harus menjadikan membaca sebagai satu amalan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu berusaha untuk mewujudkan keluarga berilmu dengan menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak.

Salah satu usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak adalah dengan membawa anak-anak ke perpustakaan. Amalan ke perpustakaan akan menanam perasaan cinta dan sayang akan buku. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam pada setiap hujung minggu atau semasa cuti sekolah. Di sini, anak-anak boleh memilih pelbagai buku yang digemari. Lantas, anak-anak akan gemar membaca buku seumur hidup.

Selain itu, ibu bapa boleh mewujudkan perpustakaan mini di rumah. Perpustakaan ini dapat dijadikan tempat menyimpan buku dan majalah. Malahan, boleh menjadi tempat anak-anak membaca dan belajar. Perpustakaan mini di rumah mestilah dilengkapi dengan buku-buku yang bersesuaian dapat menarik minat anak-anak untuk membaca. Sebagai contoh, majalah, buku cerita dan surat khabar. Ruang perpustakaan ini juga mestilah dalam keadaan selesa. Lantaran itu, ibu bapalah memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik anak-anak mereka agar gemar membaca buku ketika berada di rumah.

Di samping itu juga, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak mereka.Tidak dapat dinafikan, contoh teladan yang baik dari ibu bapa mempengaruhi jiwa dan minda anak-anak. Sebagai contoh, sikap gemar membaca surat khabar, majalah, buku dan sebagainya patutlah diamalkan oleh ibu bapa dalam mengisi masa lapang. Lama-kelamaan, tabiat ini akan menjadi ikutan anak-anak. Bak kata peribahasa Melayu ‘bagaimana acuan, begitulah kuihnya’. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu menunjukkan contoh terbaik untuk dicontohi anak-anak.

Tambahan pula, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke pameran buku. Sehubungan dengan itu, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mengunjungi kedai buku ketika pergi ke pusat beli-belah. Dengan mengunjungi tempat-tempat tersebut, minat mereka untuk membaca akan dapat ditingkatkan, Di samping itu, mereka akan dapat mempelajari cara memilih bahan-bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan yang dijual adalah berkualiti. Harganya pula adalah berpatutan. Natijahnya, ibu bapa yang membawa anak-anak ke pameran buku atau kedai buku sebenarnya membawa kepada mewujudkan budaya suka membaca dalam kalangan ahli keluarganya.

Seterusnya, ibu bapa juga boleh menghadiahkan buku kepada anak-anak. Ibu bapa perlu memberikan hadiah atau ganjaran kepada anak-anak apabila anak-anak berjaya dalam peperiksaan dan sempena hari kelahiran. Anak-anak akan berasa gembira kerana kejayaannya dihargai oleh keluarga mereka. Hadiah berbentuk buku lebih sesuai untuk anak-anak. Ibu bapa boleh membelikan buku berbentuk pelajaran, novel ataupun komik mengikut kesesuaian umur. Amalan ini sepatutnya diterapkan sejak kecil lagi dalam kalangan anak-anak. Bersesuaian dengan peribahasa Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Kesimpulannya, terdapat beberapa peranan ibu bapa dalam usaha untuk memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak kerana membaca jambatan ilmu. Oleh itu,anak-anak yang rajin membaca akan menjadi pandai dan bakal pemimpin pada masa akan datang. 




Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my


            ISU obesiti semakin galak diperkatakan kebelakangan ini terutamanya melibatkan pelajar sekolah sehingga mendorong kerajaan mengeluarkan pekeliling untuk mencatat jisim indeks tubuh atau body mass index (BMI) di dalam laporan pelajar sekolah di negara kita. Makanan berkolesterol tinggi seperti roti canai, nasi lemak, makanan dan minuman ringan, jeruk dan sebagainya dicadang supaya tidak lagi dijual di kantin-kantin sekolah dan ditukarkan dengan menu-menu lain yang lebih berkhasiat serta sesuai untuk pemakanan kanak-kanak.

            Pensyarah Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Wan Iryani Wan Ismail berkata, isu ini telah membuka mata banyak pihak bermula daripada ibu bapa sehingga pihak kerajaan kerana menyedari bahaya yang bakal timbul daripada obesiti kepada individu dan masyarakat. Menurut beliau, masalah obesiti atau kegemukan ini mampu untuk diatasi jika masyarakat menyedari puncanya dan seterusnya melatih kanak-kanak seawal di bangku sekolah untuk mengamalkan gaya hidup serta pengambilan makanan yang sihat. "Antara faktor utama yang dikenal pasti menjadi penyumbang kepada masalah ini ialah pengambilan diet yang tidak seimbang seperti makanan yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula serta rendah kandungan zat mineral, vitamin dan nutrisi penting untuk tubuh seperti vitamin A, D, C dan kalsium. "Tidak dinafikan kebanyakan makanan seperti roti canai, nasi lemak dan makanan berkari mempunyai kandungan lemak, garam dan gula yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

            Ujarnya, ini diburukkan lagi dengan pengambilan makanan seperti burger, kentang goreng, gula-gula dan sebagainya yang mempunyai kandungan lemak trans. "Lemak trans yang biasanya terdapat dalam makanan yang diproses atau penggunaan minyak masak sama berulang kali mudah diperoleh melalui penyediaan makanan terutama makanan segera di mana proses berkenaan mampu mengubah struktur asal kimia lemak makanan daripada lemak cis yang mudah dihadam kepada lemak trans yang sukar diurai. "Jadi, cubalah beralih kepada makanan-makanan yang segar dan direbus ataupun yang menggunakan proses wap atau steam serta makanan seperti bijirin dan yang mengandungi omega-3 seperti ikan," terangnya.

            Tambah Wan Iryani, gula juga merupakan faktor penyumbang ke arah obesiti bahkan boleh menjurus kepada penyakit kencing manis atau diabetis. "Selain gula, masyarakat di negara ini juga sinonim dengan penggunaan monoglutamate sodium(MSG) yang berleluasa di dalam makanan ringan, masakan restoran dan masakan harian yang turut boleh menyebabkan obesiti. "Kandungan ion sodium yang tinggi akan menyukarkan proses perkumuhan dalam badan kerana ia akan mengurangkan kandungan air di dalam sel badan seterusnya menjejaskan hormon adeponektin yang penting bagi merangsang metabolisme lemak di dalam badan manusia. "Perubahan hormon ini akan menjurus kepada obesiti," jelasnya.

            Selain itu katanya, masalah obesiti ini berlaku disebabkan perubahan gaya hidup masyarakat kini seperti gaya kerja dan perubahan kemudahan infrastruktur yang semakin maju serta kurangnya aktiviti fizikal seharian. "Masyarakat dulu, walaupun mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak tetapi kadar penggunaan tenaga yang diperoleh daripada makanan tersebut adalah seimbang. Berbeza dengan masyarakat hari ini yang hanya duduk dan lebih menggunakan otak dalam kerja seharian mereka. "Hal ini menyebabkan makanan yang berlebihan terutama lemak di dalam badan yang tidak ditukar ke pada tenaga akan disimpan di dalam sel lemak yang menyebabkan obesiti," jelasnya
.
            Terangnya lagi, faktor seterusnya adalah genetik di mana kanak-kanak boleh mewarisi bilangan sel yang banyak daripada generasi sebelumnya. "Jadi tidak hairan jika ibu bapa yang obes biasanya akan melahir kan anak yang berpotensi tinggi untuk obes juga. "Walau bagaimanapun, perkara ini boleh dielak jika gaya hidup dan pemakanan dapat dijaga dari peringkat awal lagi," katanya. Wan Iryani memberitahu, masalah obesiti boleh diatasi dengan pengambilan ubat-ubatan tradisional dan moden, pembedahan (liposuction), mengamalkan diet yang seimbang hinggalah mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam atau hanya sekadar mengemas rumah. "Namun, pengguna perlu berhati-hati dalam pengambilannya kerana ubat-ubatan moden sekarang ini mempunyai kesan sampingan yang boleh merangsang pembentukan lemak yang berlebihan dengan mengganggu fungsi normal hormon badan. "Terdapat juga beberapa pendekatan baru yang telah diperkenalkan dalam mengatasi obesiti seperti rawatan akupuntur dan mengamalkan pergerakan yoga," jelasnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 6 November 2011


17. SYARAHAN: PERANAN PELBAGAI PIHAK UNTUK  
      MEMUPUK MINAT MEMBACA DALAM KALANGAN
      MASYARAKAT

            Mekar angsana pandang tak jemu,
        Bunganya luruh ke dalam raga;

Buku laksana lautan ilmu,
            Dasarnya penuh mutiara berharga.

            Terima kasih saudara pengacara majlis.  Yang Arif lagi bijaksana panel hakim, penjaga masa yang setia bersama waktunya  dan rakan-rakan yang dihormati. Assalamualaikum dan selamat pagi.

            Tajuk syarahan yang menjadi pilihan saya pada pagi ini ialah “Ke Arah Memupuk Minat Membaca dalam Kalangan Masyarakat”.  Sebelum mengemukakan pendapat saya, izin kan saya mendefinisikan tajuk syarahan saya pada pagi ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “Membaca” bermaksud suatu proses memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

            Pada pendapat saya, pihak kerajaan perlu lebih agresif dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Sebelum ini, banyak usaha dijalankan namun tahap pembacaan masyarakat masih rendah. Malahan, Kampung Buku  di Langkawi  yang diharapkan dapat menjadi daya tarikan untuk memupuk budaya membaca, dilaporkan terbiar dan tidak dimanfaatkan walaupun jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk membinanya. Oleh itu, usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai “Negara Pembaca” perlulah disambut baik oleh semua pihak.  “Negara Pembaca” yang dihasratkan ialah negara yang bukan sahaja memiliki rakyat yang suka membaca dan berasaskan ilmu pengetahuan, malahan diharapkan agar rakyat mempunyai kemampuan berterusan untuk belajar, membuat penyelidikan dan melakukan penemuan baru. Tuan-tuan dan puan-puan, dengan terealisasinya hasrat ini, maka terealisasilah juga “Dasar Buku Negara” yang berhasrat untuk menjadikan masyarakat Malaysia bukan sahaja suka membaca malah berupaya untuk  menghasilkan dan menerbitkan banyak buku yang sesuai dan berkualiti.

Tuan-tuan dan puan-puan,

            Selain dasar dan polisi kerajaan, prasarana yang sesuai dan mesra pengguna hendaklah dibangunkan. Kerajaan boleh membangunkan perpustakaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai dan mudah dikunjungi. Selain itu, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak juga perlu diperbanyak supaya gerakan ini dapat sampai ke seluruh ceruk rantau. Selain kerajaan, pihak swasta dan orang persendirian juga boleh membangunkan perpustakaan. Di Amerika Syarikat,  lending library atau circulating library ini dibangunkan dan dijadikan sumber perniagaan, iaitu dengan menjadikannya sebagai perpustakaan pinjaman berbayar. Usaha ini telah dipelopori oleh William Rind sejak tahun 1762 dan telah mendatangkan impak yang amat besar terhadap pembudayaan membaca dalam kalangan rakyat Amerika selepas itu.  Oleh itu, jelas bahawa pembinaan prasarana yang banyak dan meluas, membantu masyarakat kita membudayakan membaca.

Saudara dan saudari,,

            Pihak swasta juga perlu memainkan peranan untuk memupuk masyarakat membaca. Selain syarikat penerbitan menerbitkan banyak judul menarik dan mengusahakan penterjemahan buku-buku yang berkualiti dari luar negara, media massa turut memainkan peranan yang penting. United Kingdom, merupakan sebuah negara yang sememangnya berbudaya membaca dan keadaan itu bukanlah sesuatu yang terbina dalam sekelip mata. Pada tahun 2004, mereka telah mengadakan program BigRead yang merupakan satu program untuk mencari 100 buah buku paling popular di United Kingdom. Yang terpenting ialah program ini telah dilakukan secara bersepadu oleh pihak-pihak media, seperti TV, radio, Internet dan juga usahasama dengan beberapa buah kedai buku. Caranya mudah sahaja. TV UK, misalnya BBC 1, telah menyiarkan program yang mengulas 100 buah buku yang tersenarai pada setiap minggu. Pada masa yang sama, orang ramai akan mengundi buku-buku kegemaran mereka menerusi Internet. Toko-toko buku pula akan menjual buku yang tersenarai itu dengan melabel dan meletakkannya pada rak-rak khas yang tercetak BigRead di muka depannya. Cara ini umpama carta muzik di kaca TV kita. Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan, jika kita boleh menciplak banyak program tv realiti  berbentuk hiburan dari negara Barat, apalah salahnya jika kita menciplak idea yang sangat membina ini? Jika semua pihak swasta menggembleng tenaga, saya yakin dan percaya, di samping mendapat keuntungan, akan terlunaslah satu daripada tanggungjawab sosial mereka kepada negara iaitu memupuk budaya membaca. Hal inilah yang dikatakan situasi menang-menang, tuan-tuan dan puan-puan.

Hadirin yang dimuiakan,

            Erasmus Mundus, seorang tokoh akademik terkenal pernah berkata, ‘‘Sekiranya saya ada wang, saya akan membeli buku. Seandainya ada wang lebih baharu saya akan membeli makanan”. Apakah maknanya kata-kata itu, tuan-tuan dan puan-puan? Maknanya, Erasmus melebihutamakan buku, sedangkan kepentingan makanan datang kemudian. Pada Erasmus dan juga sebilangan besar masyarakat negara maju yang  lain, membaca itu  amat penting buat santapan minda. Bekas Perdana Menteri India, Nehru pernah berkata, “Saya sanggup dilabel sebagai pemboros kerana membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan saya untuk membeli buku”. Oleh itu, sebagai langkah yang keempat, kita perlulah memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli bahan bacaan. Masyarakat kita bukannya tidak mempunyai wang, mereka ada wang. Hampir setiap rumah, mempunyai radio dan televisyen, malah melanggan Astro. Bagi yang berkemampuan sedikit, mereka tidak lokek untuk berbelanja bagi memiliki produk penjagaan diri dan kesihatan, dan sebagainya. Cuma mereka tidak terbudaya untuk memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli buku.  Oleh itu, suatu gerakan besar-besaran perlulah dilakukan supaya, masyarakat kita, terbudaya untuk merancang perbelanjaan dengan lebih bijak dengan memperuntukkan sejumlah wang untuk pembelian buku. Diharapkan dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan masyarakat yang walaupun tidak kaya tetapi berminda kelas pertama. Sebenarnya, inilah modalnya  untuk kita menjadi negara yang maju dan kaya menjelang tahun 2020 ataupun 2058 sebagaimana yang disasarkan oleh Perdana Menteri kita.

Tuan-tuan dan puan-puan,

            Akhirnya, ialah peranan ibu bapa. Bagaimana acuan begitulah kuihnya manakala melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, penyuburan sikap suka membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi. Sebelum kanak-kanak boleh membaca, seharusnya mereka sudah dibiasakan dengan buku sama ada memegang, melihat atau menikmati buku secara bercerita. Berdasarkan kajian, 80 hingga 88% ibu bapa dapat mempengaruhi anak-anak untuk membaca. Ibu bapa bukan sahaja menjadi penggalak, malah perlu menjadi suri teladan. Mereka mestilah terlebih dahulu menunjukkan teladan yang baik dengan mengamalkan tabiat membaca. Sebagai permulaan, anak-anak boleh dibacakan “cerita untuk tidur” sebelum mereka tidur. Apabila usia bertambah, belikan buku-buku cerita yang menarik dan berwarna-warni untuk menarik perhatian mereka. Menjelang usia remaja pula, ajaklah anak-anak berbincang tentang bahan bacaan yang dibaca oleh mereka atau yang dibaca oleh ibu bapa. Jika ini dilaksanakan, saya yakin dan percaya, anak-anak ini akan terus menghargai buku dan ilmu seterusnya merealisasikan gagasan pembelajaran sepanjang hayat. Keadaan ini sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat berminda kelas pertama yang mampu menggegarkan dunia dengan tahap keilmuan yang tinggi.

Saudara dan saudari.

            Tahukah anda berapa judul buku yang menyaksikan matahari setiap hari? Setiap 30 saat, setiap hari, sekitar 4000 buku baharu diterbitkan di seluruh dunia. Hal ini bermakna, pada setiap tahun, sekitar 1.5 juta judul baharu menemui pembaca. Sejak mesin Gutenberg dicipta pada 1450, sebanyak 50 juta judul buku telah diterbitkan di planet bumi. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk membaca semua buku itu, anda perlu hidup 250,000 tahun! Malah, kalau pun anda hanya membaca judulnya sahaja, anda memerlukan masa selama 15 tahun!  Bermakna, setiap hari, begitu banyak ilmu yang ditemukan lantaran ilmu tersebut semakin  berkembang dari hari ke hari.  Oleh itu, jika tidak disemaikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat kita, kita akan ketinggalan dan menjadi masyarakat seperti katak di bawah tempurung. Bertepatan dengan  bulan Oktober iaitu Bulan Membaca Negara,  marilah sama-sama kita menyemai budaya membaca supaya cabaran Wawasan 2020 yang keenam iaitu ”mewujudkan masyarakat yang maju dan progresif”  bukan fatamorgana semata-mata.  
            Sebelum mengakhiri syarahan saya izinkan saya untuk membaca serangkap pantun buat penutup bicara.
                                                Cantik sungguh si bunga kejora,
Buat hiasan di hari raya;
Marilah sahut seruan negara,
Bangsa membaca bangsa berjaya.

Kalau ada sumur di bendang,
                                                            Dapat kita menumpang mandi;
                                                Kalau ada umur panjang,
                                                            Dapat kita berjumpa lagi.

Sekian, terima kasih.


Contoh soalan:
1. Peranan ibu bapa dalam memupuk budaya membaca.
2. Peranan pelbagai pihak dalam memupuk budaya membaca.
3. Peranan pihak sekolah dalam membudayakan amalan membaca.
4. Sebagai Pengawas Perpustakaan, jelaskan faedah membaca untuk diri anda.

15. Kesan Kenaikan Harga Barang / Kesan inflasi

Dalam suasana ekonomi dunia yang berubah-ubah dan tidak menentu, golongan peniaga dan pengguna di seluruh negara merasai kesan kemelesetan ekonomi global dan kenaikan harga barang-barang keperluan harian yang sedang berlaku. Kesan dan kadar inflasi yang tinggi ini memberikan impak negatif kepada pengguna di Malaysia terutamanya apabila masalah inflasi ini menyumbang kepada kenaikan harga barang-barang keperluan harian seperti gula, minyak masak, dan tepung.

Inflasi banyak memberi kesan negatif kepada ekonomi dan penduduk sesebuah negara. Kadar inflasi yang tinggi akan meningkatkan kos hidup rakyat dan ini akan mengurangkan taraf hidup mereka. Agihan faktor-faktor pengeluaran juga tidak cekap dan akan merugikan ekonomi berkenaan. Bagi individu, inflasi akan mengurangkan pendapatan benar mereka. Keadaan ini menjadi serius jika kadar kenaikan harga atau kadar inflasi jauh lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan wang individu berkenaan. Pengurangan pendapatan benar akan berlaku dengan ketara kepada pekerja-pekerja yang berpendapatan tetap.

Sewaktu ekonomi menghadapi inflasi, kesan agihan amat dirasai. Bagi mereka yang menabung, yang menerima pencen, yang memiliki bon dan polisi insuran, nilai sebenar (dalarn ertikata kuasabeli wang) merosot. Hal ini berlaku kerana sewaktu inflasi, kadar faedah benar adalah rendah dan mungkin negatif berbanding dengan keadaan tanpa inflasi. Bagi mereka yang berhutang dan yang memberi hutang, agihan semula pendapatan juga akan berlaku. Bagi yang berhutang, mereka beruntung kerana nilai benar wang bayaran hutang yang dijelaskan sudah menurun berbanding keadaan sebelumnya. Yang memberi hutang pula akan rugi kerana nilai benar bayaran hutang yang diterima menjadi rendah daripada keadaan tanpa inflasi.

Inflasi juga akan memberi kesan kepada pelaburan dalam negara. Dengan meningkatnya paras harga, pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang dieksport boleh kehilangan daya saing. Dengan kehilangan daya saing ini, pendapatan eksport akan menurun dan ini akan mengurangkan pelaburan dalam industri-industri berkenaan. Syarikat-syarikat luar negara yang mempunyai pasaran yang lebih luas serta memiliki teknologi terkini yang mampu mengeluarkan barangan dengan harga yang lebih rendah akan menguasai pasaran dunia. Lantas, syarikat-syarikat tempatan yang menglaami inflasi akan hilang daya saing dengan syarikat-syarikat luar negara. Jelaslah bahawa inflasi akan memberi tamparan yang hebat kepada usahawan tempatan.


Rantaian kenaikan berkenaan menjadikan harga barang-barang keperluan turut naik yang mana menjadi bahan tunjang dalam menggerakkan aktiviti ekonomi. Hal ini termasuklah yang melibatkan kos pembuatan dan pemprosesan. Dijangkakan juga beberapa bulan terdekat ini harga utiliti seperti elektrik pula akan naik. Sekiranya ini benar berlaku, keadaan yang meruncing dan mendadak ini akan menyebabkan rakyat yang kurang bersedia untuk menghadapinya terbeban terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah seperti petani, buruh dan pengusaha kecil. Fenomena ini akan dianggap suatu yang amat membebankan. Selain daripada kenaikan harga bahan keperluan yang membebankan masyarakat, terdapat kesan kenaikan harga lain kerana melibatkan sumber bahan bakar ini. Antaranya ialah industri perumahan yang mana mengalami kesan tinggi terhadap kenaikan minyak. Bebanan kos perkhidmatan juga akan bertambah seperti tambang bas dan teksi kerana keperluan terhadap bahan bakar ini. Kesannya, tekanan harga yang tinggi ini terpaksa dihadapi oleh pengguna. Kehidupan masyarakat juga bertambah sukar. Dalam keadaan sekarang, masyarakat perlu mengambil pendekatan berhemah untuk menguruskan kewangan mereka.

Sebagaimana  yang kita lihat sekarang, peningkatan harga minyak yang tinggi tersebut akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang, terutama harga barang makanan. Bahan makanan, sama ada dalam bentuk mentah, separa proses atau siap diproses perlu diangkut dari tempat pengeluaran atau pemprosesan kepada tempat pemasaran. Kenaikan kos pengangkutan dan kos pemprosesan tentunya akan dipindahkan kepada pengguna dengan menaikkan harga barang yang diangkut. Memang kerajaan boleh campur tangan dengan mengumumkan dasar kawalan harga barangan, tetapi dari segi ekonomi, dasar campur tangan tersebut akan membawa kepada herotan ekonomi dan memberi lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Sememangnya, kenaikan harga barang memberikan impak yang sangat besar kepada kuasa beli masyarakat. Masyarakat kini perlu lebih berhati-hati apabila ingin berbelanja dan perlu mengambil langkah-langkah untuk mengatasi peningkatan harga barang. Dalam hal ini, semua pihak perlu bekerjasama untuk membendung masalah ini. Maklumlah tepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Diubahsuaikan daripada rencana http://www.talkjanz.com

16. USAHA PELBAGAI PIHAK UNTUK  
      MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

            Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

            Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.

            Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.


            Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.


            Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.

Dipetik daripada blok Cikgu Analyza. Terima kasih.