Khamis, 25 Februari 2016


Masalah sosial dalam kalangan remaja berpunca daripada kecuaian ibu bapa. Sejauh manakah anda bersetuju dengan pernyataan ini?

Ahad, 21 Februari 2016

LATIHAN MENUKAR CAKAP AJUK KE CAKAP PINDAH

Kepada anak-anak didik di 5ICT, berikut ialah latihan tatabahasa – cakap ajuk cakap pindah  pada hari Isnin 22.2.2016. Sila sediakan jawapan dan kita bincang jawapannya pada hari Isnin.
Tukar cakap ajuk ke cakap pindah.
1.“Awak sudah makan?” Tanya Nur kepada Ahmad.
…………………………………………………………………………………………
2.“Awak nak pergi ke mana?” Tanya Lai kepada Mei Mei.
…………………………………………………………………………………………
3.“Muthu, kenapa awak tak hadir sekolah semalam?” Tanya Pn.Maslina.
…………………………………………………………………………………………
4.“Semua murid kelas 5ICT turun ke padang sekarang juga,” kata En.Farid.
…………………………………………………………………………………………
5.“Hai, Ani! Mengapa termenung?” Tanya Natasya.
…………………………………………………………………………………………
6.“Siti, boleh kautolong aku?” Tanya Mellisa. 
…………………………………………………………………………………………
7.“ Bagaimana dengan rancangan awak ? “ tanya Salleh kepada Selvam.
…………………………………………………………………………………………
8.Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah

Hassan
Hai, Shiela! Tahniah!
Shiela
Tahniah? Mengapa? Aku belum tahu hujung pangkal percakapan kamu.
Hassan
Tahniah kerana awaklah pelajar cemerlang SPM sekolah kita. 
Shiela
Siapa yang memberitahu kamu? Aku sendiri pun belum tahu lagi.
Hassan
Cikgu Halimah yang memberitahu aku semasa aku ambil slip keputusan peperiksaan tadi.
Shiela
Nantilah, aku ke sekolah dulu.  Aku perlu pastikan dulu benar tidaknya kata-kata kamu itu.
Hassan
Percayalah cakap aku. Aku serius.
Shiela
Aku kena hati-hati dengan kamu, dulu aku pernah terkena sekali.
Hassan
Kali ini aku tak tipu lagi.
Shiela
Lain kali jangan biasa berbuat sesuatu yang orang tak percaya.  Berita betul sekalipun orang masih sangsi.

Latihan rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah membaca dan cara-cara menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan.
Percambahan idea baharu dalam bentuk yang lebih tersusun dan jelas diperoleh melalui amalan membaca. Oleh sebab itulah dikatakan bahawa amalan membaca sebagai jambatan ilmu. Amalan yang baik ini dapat mengasah fikiran supaya lebih bercapah, di samping menyuburkan perkembangan jiwa seseorang. Sehubungan dengan itu, orang yang kurang membaca akan ketinggalan dalam segala bidang. Orang yang banyak membaca akan mempunyai imaginasi yang tinggi berdasarkan buku yang dibacanya. Namun begitu, berapa ramaikah rakyat negara kita ini yang mengamalkannya? Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa amalan membaca hanya dapat dilihat di institusi pengajian tinggi, di perpustakaan dan di sekolah sahaja.
Berdasarkan Laporan Kajian Tabiat Membaca Rakyat Malaysia, kadar literasi atau celik huruf di negara ini ialah 93 peratus. Walau bagaimanapun, kajian itu mendapati bahawa rakyat Malaysia kini hanya membaca dua bush buku setahun. Keadaan ini masih tidak memaaskan walaupun tabiat membaca rakyat Malaysia telah bertambah baik. Satu dekad yang lalu, rakyat Malaysia hanya membaca satu halaman buku setahun.
Terdapat beberapa faktor yang menjejaskan proses pembudayaan amalan membaca di negara ini. Antaranya, harga buku yang mahal, khususnya buku ilmiah yang diimport. Hal ini menyebabkan pembeli berfikir berkali-kali sebelum membeli buku. Keadaan ini banyak berlaku dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi. Selain itu, sikap rakyat yang tidak menitikberatkan aktiviti keilmuan juga menjadi penyumbang kepada kadar pembacaan yang rendah. Persepsi orang ramai bahawa membaca hanya berlaku semasa proses menuntut ilmu harus dikikis. Untuk menangani persepsi yang salah itu, beberapa tindakan waj ar diambil secara berperingkat-peringkat dan berterusan. Oleh hal yang demikian, usaha ini akan menimbulkan kesedaran bahawa orang yang membaca akan memperoleh ilmu yang berguna sepanjang hayatnya dan akan sentiasa dihormati oleh orang lain.

Amalan membaca ialah usaha yang dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri individu berkenaan. Menerusi amalan membaca, seseorang individu dapat meningkatkan penguasaan bahasanya dan membolehkan seseorang itu maju dalam kehidupannya. Amalan membaca harus dipupuk supaya usaha memartabatkan ilmu itu tidak didukung oleh sesetengah pihak sahaja. Setiap lapisan masyarakat perlu menggembleng tenaga untuk memastikan bahawa amalan membaca dapat dibudayakan. Tambahan pula, kini segala ilmu dan maklumat lebih mudah diperoleh melalui Internet. Oleh itu, hasrat kita untuk menjadi bangsa yang maju dan bermaklumat akan dapat dicapai sekiranya kita tahu menghargai dan memartabatkan ilmu melalui pembacaan.

CARA-CARA MEMUPUK BUDAYA MEMBACA DALAM KALANGAN                                     MASYARKAT.

1. Ibu bapa perlu menyediakan perpustakaan mini di rumah.
2. Ibu bapa harus memberi hadiah kepada anak-anak dalam bentuk buku.
3. Ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak mereka dengan mengamalkan budaya                     membaca.
4. Pihak sekolah hendaklah melaksanakan program NILAM dengan bersungguh-sungguh.
5. Kerajaan hendaklah melaksanakan kempen membaca sepanjang tahun.
6. Kerajaan harus menghapuskan cukai ke atas kertas yang diimport.
7. Kerajaan harus memberi subsidi agar harga buku di pasaran rendah.
8. Kerajaan hendaklah mengadakan perpustakaan bergerak ke kawasan luar bandar.

Khamis, 18 Februari 2016

LATIHAN 1

Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah.

Norhayati:    Syikin, mengapa Syikin tidak datang ke sekolah semalam?
Norasyikin:  Syikin minta maaflah. Semalam Syikin ada hal di rumah.
Norhayati:    Apa halnya? Ceritakanlah kepada Yati. Andainya susah, sama-samalah kita tanggung.              
                   Bukankah kita sudah lama berkawan?
Norasyikin:   Sebenarnya ibu Syikin sakit.

Jawapan:

Norhayati bertanya kepada Norasyikin sebab-sebab dia tidak datang ke sekolah pada hari semalamnya. Norasyikin terlebih dahulu memohon maaf kepada Norhayati. Seterusnya dia memberitahu Norhayati bahawa dia tidak datang ke sekolah kerana ada hal di rumah. Norhayati pula tetap ingin mengetahui hal berkenaan dengan alasan bahawa mereka boleh menanggungnya bersama-sama kerana mereka sudah lama berkawan. Norasyikin memberitahu Norhayati hal sebenar iaitu ibunya jatuh sakit.


LATIHAN 2

Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah

MAWI  :  Wah, sedap betul mi ini. Apa namanya ?
FELIX  :  Mi Pedas.
MAWI  :  Yalah , minya pedas.Memang pedas......... tapi apa namanya ?
FELIX   : Mi pedas. Si Dolah tu kata namanya Mi Pedas.
MAWI   : Oh begitu, jadi kau masuk ke kedai ini sengaja nak makan Mi Pedaslah?
FELIX   : Yalah. Kan aku dah janji nak belanja kau dulu. Inilah dia.

Jawapan:
Mawi  berasa teruja sambil mengatakan kepada Felix bahawa mi yang dimakannya itu sedap. Seterusnya dia ingin mengetahui nama mi itu daripada Felix. Felix menjawab bahawa nama mi itu ialah Mi Pedas. Mawi mengiayakan bahawa sememangnya mi itu pedas. Sekali lagi dia bertanya kepada Felix nama mi itu. Felix menegaskan bahawa nama mi itu ialah Mi Pedas. Seterunya dia menerangkan kepada Mawi bahawa menurut Dolah, nama mi itu ialah Mi Pedas. Baru Mawi menyedari  bahawa nama mi itu Mi Pedas. Seterusnya dia bertanya kepada Felix sama ada dia sengaja datang ke kedai itu untuk makan Mi Pedas. Felix mengiayakan kata-kata Mawi sambil mengingatkan  Mawi bahawa dahulu dia telah berjanji untuk membelanjainya Mi Pedas.

Rabu, 17 Februari 2016

Bab 1 - 5 Novel Bima Sakti Menari

Sila isi tempat kosong dengan perkataan yang sesuai berdasarkan sinopsis novel Bima Sakti Menari.

Bab 1

Dalam bab Janji Srikandi, penulis bercerita tentang Nurul Hafsa yang melalui hari pertamanya bekerja sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor. Sekumpulan pengunjung yang terdiri daripada kumpulan murid dan guru pengiring dari Sekolah Rendah Kichihimahigashi, _______hadir ke balai cerap tersebut untuk melihat buruj ____ atau buruj Belantik dengan mata kasar, tanpa sebarang bantuan alat pencerap. Malangnya, Nurul Hafsa telah menghadapi masalah di luar jangkaannya apabila langit pada malam tersebut  yang sepatutnya telah benar-benar gelap tetap _____. Nurul Hafsa yang pada mulanya runsing dengan situasi tersebut akhirnya telah mengambil langkah bijak bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan mengemukakan hujah yang dapat diterima oleh kumpulan pengunjung tersebut. Dia dengan berani telah mengakui kekurangan yang berlaku pada malam tersebut berpunca daripada kesan negatif akibat pembangunan pesat yang berlaku di _________. Pada malam tersebut, Nurul Hafsa telah menanam azam dalam jiwa seterusnya berjanji kepada para pengunjung bahawa dia akan memulihkan keadaan yang berlaku dengan sedaya upayanya. Pada mulanya, Puan Wickham mempersoalkan kemampuan manusia untuk menggerakkan bintang kembali ke kawasan pencerapan. Namun, Nurul Hafsa dengan hujah bijaknya menyatakan bahawa bintang-bintang sememangnya sedia ada di langit, hanya mata manusia sahaja yang tidak dapat melihat. Sedikit cahaya akan membuka deria manusia, manakala banyak cahaya pula akan menutup deria kita. Dia memaklumkan bahawa Tuhan menciptakan deria manusia dengan penuh keterhadan agar kita tidak ____ dengan sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh deria.

Bab 2

Dalam bab ini, penulis mendedahkan bahawa Puan _____ yang hadir sebagai pengiring kumpulan pelajar dari Hiroshima, Jepun merupakan ibu kepada salah seorang Pegawai Cerap Sultan Salahuddin yang bernama Muhammad _____. Muhammad Taufik berasa kesal dengan janji yang dibuat oleh Nurul Hafsa terhadap pengunjung tersebut kerana dia benar-benar kenal dengan ibunya, Puan Wickham yang akan datang lagi bersama kumpulan pengunjung tersebut untuk menuntut janji yang dilafazkan oleh Nurul Hafsa. Walaupun Puan Wickham dan anaknya, Muhammad taufik tinggal berjauhan namun kekerapan mereka berkomunikasi melalui rangkaian ______ menyebabkan mereka tidak _____ untuk berbual setiap kali bersua muka. Mereka mempunyai minat dalam bidang yang sama. Pada malam tersebut Muhammad Taufik menjemput ibunya untuk bermalam di rumah ______ Ikhtiar TeknoAlam yang diusahakan olehnya. Hal ini bagi membolehkan Puan Wickham memberikan pendapat beliau tentang projek pembinaan rumah mesra alam komersial yang sedang diusahakan oleh anaknya, Muhamad Taufik. Muhammad Taufik bersyukur atas kepulangan ibunya walaupun dia tahu apabila subuh menjelang, ibunya akan pergi kembali meneruskan tugas beliau.

Bab 3

Nurul Hafsa memutuskan untuk melakukan kajian terlebih dahulu tentang kebenaran kata-kata kumpulan pengunjung dari Hiroshima yang kecewa kerana tidak dapat melihat ______ di Kuala Selangor sebelum dia bertanyakan hal tersebut kepada abangnya, Budiman. Nurul Hafsa telah pergi ke tempat orang melihat kelip-kelip dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayahnya, _________. Sesampai di sana, Haji Yassir tidak berminat untuk bersama-sama Nurul Hafsa menaiki bot untuk melihat kelip-kelip. Hal ini disebabkan seumur hidupnya Haji Yassir tinggal di Kampung Kuantan dan tidak pernah ke mana-mana selain ke Tanah Suci Mekah. Dalam imaginasi Nurul Hafsa, dia nampak kelip-kelip terbang dalam satu __________ dengan jumlah berjuta-juta ekor dan melakukan kerlipan secara serentak. Malangnya, pemandangan hebat tersebut hanyalah khayalan semata-mata. Realitinya, menunggu kehadiran serangga tersebut bagaikan mereka menunggu kehadiran tetamu yang sangat ________. Akhirnya, Nurul Hafsa menerima kanyataan bahawa perkara inilah yang dialami oleh kumpulan pengunjung dari Jepun yang terbang beribu-ribu batu jauhnya tetapi hanya dapat menyaksikan kelip-kelip yang cahayanya separuh mati kerana bilangannya yang ______. Nurul Hafsa turut mengajak pengemudi bot yang dinaikinya untuk melalui suatu kawasan cabang sungai milik persendirian yang dikatakan menjadi tempat kumpulan kelip-kelip berkelip serentak seperti lampu-lampu hiasan. Namun demikian, dia begitu kecewa kerana kawasan persendirian tersebut tidak dapat dilalui oleh mereka. Sepanjang perjalanan pulang, Nurul hafsa ________ perasaan sambil memikirkan sudut hujahan yang bakal dibentangkan dalam satu persidangan kemuncak fantasi. Kuala Selangor yang berubah menjadi bandar pelancongan telah dicemari oleh pencemaran ___________ dengan senyap.

Bab 4

Budiman kembali ke rumah dengan menaiki sebuah kereta jenis hibrid seperti yang diimpikan oleh Nurul Hafsa. Budiman dan adiknya makan tengah hari bersama ayah mereka, Haji Yassir. ________ solat Zohor berjemaah, Budiman bertanyakan khabar Nurul Hafsah tentang hari pertama dia bekerja di balai cerap. Setelah mendapat jawapan yang mengecewakan daripada adiknya, Budiman yang merupakan seorang guru Sains di Sekolah Menengah Kebangsaaan _______________ sejak tiga tahun yang lalu membaca laporan menggunakan Skala Langit Gelap Bortle yang ditaip adiknya, Nurul Hafsah. Skala ini dicipta oleh __________ untuk membantu peminat-peminat kaji falak amatur membandingkan tahap kegelapan langit di sesuatu tempat pencerapan dengan tempat pencerapan lain. Berdasarkan skala ini, Kuala Selangor yang pernah diklasifikasikan sebagai kelas 1 sebelum ini, kini berada di kelas 8, iaitu langit ______ dengan warna putih atau oren disebabkan cahaya lampu. Nurul Hafsah mengeluh apabila Kuala Selangor yang baru empat tahun ditinggalkannya telah berubah. Budiman mengakui penduduk Kuala Selangor belum menyedari bahawa pembangunan dan kemudahan yang dinikmati jika tidak _______dengan teliti akan membawa kesan buruk terhadap alam sekitar. Nurul Hafsa terkejut namun gembira  apabila menyedari bahawa Budiman turut menyokong usahanya untuk menyelamatkan Kuala Selangor daripada terus tercemar akibat pembangunan yang tidak terancang. 

Bab 5


Tan Sri Muhaimin mengambil tempat pemandunya yang keletihan menunggu kepulangan beliau di lapangan terbang dan memandu laju ke sebuah kawasan kampung tempat projek rumah Ikhtiar TeknoAlam yang didiami anaknya Muhammad Taufik. Sepanjang pemanduannya, beliau mengimbas _______ kenangan perpisahan antara beliau dengan isterinya Maryam Wickham Abdullah kerana Muhammad Taufik telah menghantar pesanan ringkas tentang kehadiran bekas isterinya untuk bermalam di situ. Beliau berasa puas dapat membuktikan kepada ________ isterinya bahawa beliau telah melakukan yang terbaik untuk anak mereka. Sesampai beliau di rumah Muhamamad Taufik, air muka beliau berubah apabila dimaklumkan anaknya bahawa Puan Maryam telah _______. Beliau tetap bertanyakan khabar Puan Maryam kepada anaknya ketika mereka bersama dengan pemandunya Sobirin menghadap hidangan yang dimasak Puan Maryam sebelum bekas isterinya itu pergi. Walaupun Tan Sri Muhaimin terpaksa melepaskan isterinya kerana perbezaan ________ dan membawa haluan masing-masing, namun mereka tidak pernah bermusuh dan zuriat menjadi penyambung __________ mereka berdua.

Selasa, 16 Februari 2016

LATIHAN

KEPADA ANAK-ANAK DIDIK 5ICT, SILA SIAPKAN DUA LATIHAN BERIKUT DAN HANTAR KEPADA SAYA SELEWAT-LEWATNYA  PADA 19.2.2016 (JUMAAT) . SELAMAT MENCUBA.

LATIHAN 1

Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah.

Norhayati:    Syikin, mengapa Syikin tidak datang ke sekolah semalam?
Norasyikin:   Syikin minta maaflah. Semalam Syikin ada hal di rumah.
Norhayati:     Apa halnya? Ceritakanlah kepada Yati. Andainya susah, sama-samalah kita tanggung. Bukankah kita sudah lama berkawan?

Norsyikin:     Sebenarnya ibu Syikin sakit.


LATIHAN 2

Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah

MAWI  :  Wah, sedap betul mi ini. Apa namanya ?
FELIX  :  Mi Pedas.
MAWI  : Yalah , minya pedas.Memang pedas......... tapi apa namanya ?
FELIX   : Mi pedas. Si Dolah tu kata namanya Mi Pedas.
MAWI   : Oh begitu, jadi kau masuk ke kedai ini sengaja nak makan Mi Pedaslah?
FELIX    : Yalah. Kan aku dah janji nak belanja kau dulu. Inilah dia.
PANDUAN MENUKARKAN CAKAP AJUK KE CAKAP PINDAH
 


Cakap Ajuk
Cakap Pindah
Saya, aku, hamba, patik
Dia, ia, nya
beta
baginda
Kita, kami
mereka
Kamu, awak, anda, engkau
Saya, kami, dia, mereka, nya
dia
dia
mereka
mereka
ini
itu
itu
itu
sini
sana
sana
situ
situ
situ
begini
begitu
begitu
begitu
sekarang
Pada masa itu / ketika itu
tadi
Tadinya itu
Malam tadi
Malam yang lepas, malam dahulu
semalam
Hari semalamnya
esok
Esoknya itu
kelmarin
kelmarinnya
ya
Mengeyakan/ mengiakan
tidak
Menafikan / menidakkan
bukan
menolak
Cis!
Dengan marahnya
Amboi!
Dengan perasaan terkejut
Hore!
Dengan hati yang gembira
Aduh!
Sambil mengerang kesakitan
Eh!
Dengan nada hairan
Hai!
memanggil
Ya?
Berasa hairan, tidak percaya

Ahad, 7 Februari 2016

NOVEL BIMA SAKTI MENARI

NOVEL BIMA SAKTI MENARI (Sri Rahayu Mohd Yusop)
SINOPSIS BAB
Bab
Sinopsis
Bab 1 :
Janji Srikandi

Dalam bab Janji Srikandi, penulis bercerita tentang Nurul Hafsa yang melalui hari pertamanya bekerja sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor. Sekumpulan pengunjung yang terdiri daripada kumpulan murid dan guru pengiring dari Sekolah Rendah Kichihimahigashi, Hiroshima hadir ke balai cerap tersebut untuk melihat buruj Orion atau buruj Belantik dengan mata kasar, tanpa sebarang bantuan alat pencerap. Malangnya, Nurul Hafsa telah menghadapi masalah di luar jangkaannya apabila langit pada malam tersebut  yang sepatutnya telah benar-benar gelap tetap cerah. Nurul Hafsa yang pada mulanya runsing dengan situasi tersebut akhirnya telah mengambil langkah bijak bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan mengemukakan hujah yang dapat diterima oleh kumpulan pengunjung tersebut. Dia dengan berani telah mengakui kekurangan yang berlaku pada malam tersebut berpunca daripada kesan negatif akibat pembangunan pesat yang berlaku di Kuala Selangor. Pada malam tersebut, Nurul Hafsa telah menanam azam dalam jiwa seterusnya berjanji kepada para pengunjung bahawa dia akan memulihkan keadaan yang berlaku dengan sedaya upayanya. Pada mulanya, Puan Wickham mempersoalkan kemampuan manusia untuk menggerakkan bintang kembali ke kawasan pencerapan. Namun, Nurul Hafsa dengan hujah bijaknya menyatakan bahawa bintang-bintang sememangnya sedia ada di langit, hanya mata manusia sahaja yang tidak dapat melihat. Sedikit cahaya akan membuka deria manusia, manakala banyak cahaya pula akan menutup deria kita. Dia memaklumkan bahawa tuhan menciptakan deria manusia dengan penuh keterhadan agar kita tidak leka dengan sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh deria.



Bab 2:
Wicham

Dalam bab ini, penulis mendedahkan bahawa Puan Wickham yang hadir sebagai pengiring kumpulan pelajar dari Hiroshima, Jepun merupakan ibu kepada salah seorang Pegawai Cerap Sultan Salahuddin yang bernama Muhammad Taufik. Muhammad Taufik berasa kesal dengan janji yang dibuat oleh Nurul Hafsa terhadap pengunjung tersebut kerana dia benar-benar kenal dengan ibunya, Puan Wickham yang akan datang lagi bersama kumpulan pengunjung tersebut untuk menuntut janji yang dilafazkan oleh Nurul Hafsa. Walaupun Puan Wickham dan anaknya, Muhammad taufik tinggal berjauhan namun kekerapan mereka berkomunikasi melalui rangkaian sosial menyebabkan mereka tidak kekok untuk berbual setiap kali bersua muka. Mereka mempunyai minat dalam bidang yang sama. Pada malam tersebut Muhammad Taufik menjemput ibunya untuk bermalam di rumah prototaip Ikhtiar TeknoAlam yang diusahakan olehnya. Hal ini bagi membolehkan Puan Wickham memberikan pendapat beliau tentang projek pembinaan rumah mesra alam komersial yang sedang diusahakan oleh anaknya, Muhamad Taufik. Muhammad Taufik bersyukur atas kepulangan ibunya walaupun dia tahu apabila subuh menjelang, ibunya akan pergi kembali meneruskan tugas beliau.



Bab 3:
Sungai Rahsia






Nurul Hafsa memutuskan untuk melakukan kajian terlebih dahulu tentang kebenaran kata-kata kumpulan pengunjung dari Hiroshima yang kecewa kerana tidak dapat melihat kelip-kelip di Kuala Selangor sebelum dia bertanyakan hal tersebut kepada abangnya, Budiman. Nurul Hafsa telah pergi ke tempat orang melihat kelip-kelip dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayahnya, Haji Yassir. Sesampai di sana, Haji Yassir tidak berminat untuk bersama-sama Nurul Hafsa menaiki bot untuk melihat kelip-kelip. Hal ini disebabkan seumur hidupnya Haji Yassir tinggal di Kampung Kuantan dan tidak pernah ke mana-mana selain ke Tanah Suci Mekah. Dalam imaginasi Nurul Hafsa, dia nampak kelip-kelip terbang dalam satu gerombolan dengan jumlah berjuta-juta ekor dan melakukan kerlipan secara serentak. Malangnya, pemandangan hebat tersebut hanyalah khayalan semata-mata. Realitinya, menunggu kehadiran serangga tersebut bagaikan mereka menunggu kehadiran tetamu yang sangat pemalu. Akhirnya, Nurul Hafsa menerima kanyataan bahawa perkara inilah yang dialami oleh kumpulan pengunjung dari Jepun yang terbang beribu-ribu batu jauhnya tetapi hanya dapat menyaksikan kelip-kelip yang cahayanya separuh mati kerana bilangannya yang sedikit. Nurul Hafsa turut mengajak pengemudi bot yang dinaikinya untuk melalui suatu kawasan cabang sungai milik persendirian yang dikatakan menjadi tempat kumpulan kelip-kelip berkelip serentak seperti lampu-lampu hiasan. Namun demikian, dia begitu kecewa kerana kawasan persendirian tersebut tidak dapat dilalui oleh mereka. Sepanjang perjalanan pulang, Nurul hafsa melayan perasaan sambil memikirkan sudut hujahan yang bakal dibentangkan dalam satu persidangan kemuncak fantasi. Kuala Selangor yang berubah menjadi bandar pelancongan telah dicemari oleh pencemaran cahaya dengan senyap.




Bab 4:
Budiman



Budiman kembali ke rumah dengan menaiki sebuah kereta jenis hibrid seperti yang diimpikan oleh Nurul Hafsa. Budiman dan adiknya makan tengah hari bersama ayah mereka, Haji Yassir. Seusai solat Zohor berjemaah, Budiman bertanyakan khabar Nurul Hafsah tentang hari pertama dia bekerja di balai cerap. Setelah mendapat jawapan yang mengecewakan daripada adiknya, Budiman yang merupakan seorang guru Sains di Sekolah Menengah Kebangsaaan Tanjung Keramat sejak tiga tahun yang lalu membaca laporan menggunakan Skala Langit Gelap Bortle yang ditaip adiknya, Nurul Hafsah. Skala ini dicipta oleh John E Bortle untuk membantu peminat-peminat kaji falak amatur membandingkan tahap kegelapan langit di sesuatu tempat pencerapan dengan tempat pencerapan lain. Berdasarkan skala ini, Kuala Selangor yang pernah diklasifikasikan sebagai kelas 1 sebelum ini, kini berada di kelas 8, iaitu langit terbias dengan warna putih atau oren disebabkan cahaya lampu. Nurul Hafsah mengeluh apabila Kuala Selangor yang baru empat tahun ditinggalkannya telah berubah. Budiman mengakui penduduk Kuala Selangor belum menyedari bahawa pembangunan dan kemudahan yang dinikmati jika tidak dirancang dengan teliti akan membawa kesan buruk terhadap alam sekitar. Nurul Hafsa terkejut namun gembira  apabila menyedari bahawa Budiman turut menyokong usahanya untuk menyelamatkan Kuala Selangor daripada terus tercemar akibat pembangunan yang tidak terancang. 

Bab 5:
Jiwa ayahanda


Tan Sri Muhaimin mengambil tempat pemandunya yang keletihan menunggu kepulangan beliau di lapangan terbang dan memandu laju ke sebuah kawasan kampung tempat projek rumah Ikhtiar TeknoAlam yang didiami anaknya Muhammad Taufik. Sepanjang pemanduannya, beliau mengimbas kembali kenangan perpisahan antara beliau dengan isterinya Maryam Wickham Abdullah kerana Muhammad Taufik telah menghantar pesanan ringkas tentang kehadiran bekas isterinya untuk bermalam di situ. Beliau berasa puas dapat membuktikan kepada bekas isterinya bahawa beliau telah melakukan yang terbaik untuk anak mereka. Sesampai beliau di rumah Muhamamad Taufik, air muka beliau berubah apabila dimaklumkan anaknya bahawa Puan Maryam telah pulang. Beliau tetap bertanyakan khabar Puan Maryam kepada anaknya ketika mereka bersama dengan pemandunya Sobirin menghadap hidangan yang dimasak Puan Maryam sebelum bekas isterinya itu pergi. Walaupun Tan Sri Muhaimin terpaksa melepaskan isterinya kerana perbezaan pendapat dan membawa haluan masing-masing, namun mereka tidak pernah bermusuh dan zuriat menjadi penyambung silaturahim mereka berdua.

Bab 6:
Cita-cita







Nurul Hafsa membuat keputusan untuk bercakap dengan Puan Foziah, Pegawai Atasan Pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor berkaitan dengan laporan tentang tahap kecerahan langit Kuala Selangor yang telah dihantarnya. Namun demikian, Nurul Hafsa hanya dinasihati agar tidak mengharapkan sebarang tindkan diambil kerana Puan Foziah memaklumkan tiada undang-undang alam sekitar yang telah dilanggar di Kuala Selangor. Namun demikian, Nurul hafsah tetap mengingati janjinya terhadap kumpulan pengunjung kanak-kanak dari Jepun yang ingin melihat bintang di Kuala Selangor dan impiannya yang sejak dulu hingga kini adalah untuk menjadikan Kuala Selangor, Bukit Melawati dan Balai Cerap Sultan Salahuddin tempat tumpuan peminat-peminat langit seluruh dunia melihat bintang. Dalam masa yang sama, Nurul Hafsah bertanyakan abangnya Budiman sama ada dirinya telah hilang akal dan bimbang tentang hal yang remeh-temeh. Budiman menasihati Nurul Hasfa agar bertenang dan beristighfar serta mendengar kata hati. Akhirnya, dia bertekad tidak akan membiarkan masalah pencemaran di Kuala Selangor daripada terus berlaku. Mereka sedar perkara ini tidak boleh dilakukan tanpa bantuan orang lain. Budiman bersedia untuk membawa adiknya berjumpa dengan ‘ lelaki kelip-kelip’. Lelaki tersebut merupakan individu yang memagar sungai kecil di kawasan orang melihat kelip-kelip dan dialah juga yang menghantar Budiman pulang ke rumah dengan kereta hibrid. Pada awalnya, Nurul Hafsa tidak senang dengan lelaki tersebut, namun Budiman menasihati adiknya agar tidak terburu-buru bersangka buruk terhadap orang lain.  Nurul Hafsa bersedia untuk berjumpa lelaki tersebut dengan folio yang dihasilkannya dengan tajuk Kuala Selangor: Kawasan Simpan Langit Gelap.



Bab 7:
Lelaki kelip-kelip





Nurul Hafsa menyiapkan dirinya untuk bertemu lelaki kelip-kelip dengan berhati-hati. Dia beranggapan bahawa dia akan bertemu dengan seorang lelaki berpangkat bapa dan berpengaruh seperti yang dikatakan oleh abangnya, Budiman. Setelah mereka berdua sampai di kawasan rumah lelaki kelip-kelip, Nurul Hafsa ternampak seorang lelaki muda sedang membuat kerja-kerja pertukangan yang melibatkan pembinaan sebuah peralatan pertanian kecil-kecilan. Apabila Nurul Hafsa melihat wajah lelaki tersebut, mindanya cuba mengingati kembali wajah-wajah yang pernah dia lihat sepanjang usianya. Akhirnya, Nurul Hafsa mengecam wajah lelaki tersebut. Budiman memanggil lelaki tersebut dengan nama Muhammad Taufik dan bertanyakan beliau sama ada masih mengingati adiknya, Nurul Hafsa. Rupa-rupanya Muhammad Taufik merupakan rakan sekolah abangnya ketika bersekolah di Tanjung Keramat. Budiman memaklumkan bahawa selepas tahun 6, dia belajar di Otago. Dalam masa yang sama, Nurul Hafsa menyindir perbuatan Muhammad Taufik yang memagar sebahagian daripada sungai Selangor. Muhammad Taufik menjelaskan bahawa dia yang meminta ayahnya membelikan tanah yang menyusuri tepi anak sungai di Kampung Kuantan, terus ke kampung Api-api yang berkeluasan 50 hektar. Semua ini dilakukannya apabila dia mendapati populasi kelip-kelip di Kampung Kuantan semakin berkurangan akibat kehadiran pelancong yang ramai dengan bunyi enjin motor bot, cahaya lampu di jeti, pencemaran air sungai, pemusnahan kawasan paya bakau, cahaya dari kawasan petempatan manusia dan cahaya roda ferris yang semuanya membawa ancaman kepada populasi kelip-kelip. Dia memagar anak sungai tersebut dengan harapan kelip-kelip mempunyai tempat untk bersembunyi dan akan meruntuhkan pagar itu apabila populasi kelip-kelip sudah pulih kembali. Nurul Hafsa yang mendengar penjelasan tersebut memohon maaf daripada En. Taufik kerana telah tersalah anggap terhadap pemuda tersebut.


Bab 8:
Bebas Grid
Budiman mencadangkan Muhammad Taufik menunjukkan projek yang sedang dilaksanakannya kepada Nurul Hafsa. Muhammad Taufik bersetuju lalu mengajak Budiman dan adiknya meneliti rumah tradisional Melayu yang mempunyai ciri-ciri berteknologi tinggi yang dibinanya. Setelah mendengar penjelasan Muhammad Taufik tentang sistem rumah tersebut, lalu Nurul Hafsa membuat kesimpulan bahawa Muhammad Taufik mencipta satu model tempat tinggal di luar grid. Muhammad Taufik mengakui bahawa dia hendak mendirikan rumah di atas tanah satu per lapan ekar untuk sebuah keluarga, yang dapat mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap grid utiliti yang sedia ada. Hasratnya adalah untuk menyampaikan mesej dan menanamkan kesedaran bahawa apabila manusia kembali bergantung kepada alam semula jadi secara terus, manusia akan menyedari betapa pentingnya alam sekitar. Hal ini disokong oleh Nurul Hafsa. Sepanjang pertemuan tersebut, Nurul Hafsa sering bersetuju dengan pendapat Muhammad Taufik menyebabkan abangnya, Budiman tersenyum melihat gelagat dua pencinta alam etrsebut. Namun begitu, dia sedar bahawa adiknya Nurul Hafsa dan sahabatnya Muhammad Taufik emmpunyai misi penting yang tidak boleh dilalaikan dengan emosi. Akhirnya, Muhammad Taufik mengingatkan Nurul Hafsa tentang tujuan asal mereka bertemu Muhammad Taufik menolongnya membawa kembali kegelapan ke Kuala Selangor.



Bab 9:
Zuriat



Bab ini menceritakan Muhammad Taufik meminta pertolongan ayahnya Tan Sri Muhaimin untuk menyokong rancangannya untuk menjadikan Kuala Selangor satu kawasan simpan langit gelap secara industri untuk tujuan kaji bintang amatur dan profisional dan untuk menghalang kepupusan kelip-kelip. Pertemuan Tan Sri Muhaimin dengan rakan lamanya Tan Sri Yahya telah membuka ruang kepada mereka untuk berbicara tentang zuriat masing-masing. Pada akhir perbualan, Tan Sri Muhaimin bertahmit apabila menyedari bahawa usaha-usaha anaknya selama ini merupakan gabungan ciri-ciri terbaik dua orang manusia bernama Muhaimin dan Maryam.  


Bab 10:
Sidang sejuta kelip-kelip


Muhammad Taufik tersinggung jika sering dikaitkan dengan kedudukan dan kemewahan ayahnya. Muhammad Taufik ketawa mengenangkan peristiwa dia selalu didampingi oleh perempuan-perempuan yang ingin mengambil kesempatan atas kemewahannya. Namun begitu, mereka akan meninggalkannya setelah mengenali Muhamad Taufik yang sebenarnya. Kini, dia berhadapan dengan seorang gadis yang terang-terangan tertarik oleh keistimewaan-keistimewaan yang ada pada dirinya. Muhammad Taufik dan Nurul Hafsa bertemu di dalam bilik tutorial di Perpustakaan Awam Sultan Syarafuddin, Kuala Selangor untuk berbincang tentang pembentangan tentang projek Kuala Selangor. Di situ mereka berbalas-balas hujah bagi memantapkan pembentangan yang akan dilaksanakan nanti. Budiman menemankan mereka berdua tetapi tidak mengganggu perbincangan mereka. Muhammad Taufik kagun akan kesetiaan Budiman sebagai saudara tua yang hadir untuk menjaga tatatertib perhubungan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Nurul Hafsa mengemukakan rasional pelaksanaan projek tersebut, iaitu untuk mengembalikan populasi kelip-kelip ke Kuala Selangor sebelum pupus sepenuhnya dan mengembalikan kegemilangan Kuala Selangor sebagai pusat kajian falak yang terkenal di peringkat antarabangsa. Selesai perbincangan, Muhammad Taufik mempelawa mereka berdua ke rumahnya malam tersebut untuk menebus kekecewaan Nurul Hafsa yang tidak dapat melihat kelip-kelip di jeti Kampung Kuantan tempoh hari.



Bab 11:
Lewat Satu Milenium


Muhammad Taufik memilih untuk menggerakkan sampan menggunakan pendayung, bukannnya dengan menggunakan enjin motobot elektrik untuk membawa Nurul Hafsa dan Budiman ke kawasan kelip-kelip. Mereka berhenti setelah sepuluh minit mendayung. Berdasarkan pandangan Nurul Hafsa, keadaan gelap di situ adalah pada skala dua. Sambil menantikan kelip-kelip yang mula hadir, Muhammad Taufik menerangkan kepada dua beradik itu tentang jenis kelip-kelip atau dalam bahasa saintifiknya pteroptyx tener.  Kemudian bilangan kelip-kelip menjadi semakin banyak lalu menjadi satu gerombolan kelip-kelip yang berkerlipan secara serentak bagaikan lingkaran Bimasakti. Pada malam itu Nurul Hafsa terkejut apabila dimaklumkan Muhammad Taufik bahawa Puan Wickham ialah ibunya. Nurul Hafsa bersetuju dengan permintaan Muhammad Taufik bahawa dia akan meneruskan pencerapan data populasi kelip-kelip andai sesuatu terjadi kepada Muhammad Taufik.


Bab 12:
Strategi

Muhammad Taufik akan mengambil masa seminggu untuk meminta bapanya menggunakan pengaruh beliau agar dia dan Nurul Hafsa dapat bertemu dengan pegawai daerah dan panel penasihatnya. Di hadapan dua insan penting tersebut, Nurul Hafsa memulakan pembentangan dengan membaca surah al-A,raaf, ayat 56.  Setelah dia dan Muhammad Taufik selesai membuat pembentangan dan menjelaskan segala kekeliruan Dato’ Haji Mustofa , pegawai daerah Kuala Selangor, mereka meminta Beliaumeneliti cadangan mereka untuk mewartakan Kuala Selangor sebagai kawasan simpan langit gelap yang pertama di negara ini.


Bab 13:
Dendam kembali mekar


Dalam bab ini, Dato’ Haji Mustafa telah mengunjungi individu bernama Johann Arlington- Majid. Beliau memaklumkan minat mendalam menteri besar terhadap idea projek Kawasan Simpan Langit Gelap. Johann marah dengan berita tersebut kerana hal itu bermakna dia tidak dapat meneruskan penguasaan tender membekalkan lampu-lampu daripada syarikat miliknya. Johann merupakan ahli perniagaan yang hanya mementingkan kekayaan. Diamerupakan  musuh lama Tan Sri Muhaimin apabila Marion Wickham wanita yang dicintainya memilih Tan Sri Muhaimin sebagai suami. Dato’ Mustafa memaklumkan bahawa Muhammad Taufik akan  membuat pembentangan terbuka tentang projek tersebut di hadapan menteri besar, ahli akademik, ahli perniagaan dan orang awam di  bangunan SUK Shah Alam. Beliau meminta Johann untuk belajar dan memberikan tempoh selama seminggu untuk berfikir bagi mendapatkan tender projek tersebut jika mahu. Namun Johann tetap berkeras dengan pendiriannya, dan rasa tamaknya.




Bab 14:
Gelap dalam terang

Johan Arlington-Majid tetap hadir dalam sesi pembentangan terbuka projek yang diusahakan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik. Namun kehadirannya bukan untuk memberi sokongan malah untuk mengganggu dan membuat kecoh pada hari itu.  Nurul Hafsa dengan ditemani Muhammad Haimin disisinya telah membentangkan projek tersebut kepada yang hadir. Segala sanggahan daripada Johann telah berjaya dibidas dan Menteri Besar sentiasa menyokong pandangan dan hujahannya. Pembentangan pada hari tersebut banyak berkisar tentang jenis penggunaan lampu dan pencahayaan yang sesuai. Menteri Besar turut menegur sikap buruk Johann dalam majlis tersebut. Pada akhir pembentangan Menteri Besar mengumumkan bahawa pihak kerajaan negeri akan mengiklankan tender dalam masa terdekat. Johann yang sentiasa bergelumang dengan dendam kesumat dalam diam mengatur rancangan  untuk mengupah tiga orang tonto bagi menyiasat pergeragan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik dan memastikan mereka tidak dapat melaksanakan projek tersebut.




Bab 15:
Khianat

Nurul Hafsa memerhatikan lampu-lampu jalan yang terdapat di lorong menuju ke rumahnya sambil memandu. Walaupun lorong tersebut sepi tetapi dia tidak pernah berasa terancam. Lorong ke rumahnya memang tiada berorang melainkan dua tiga hari kebelakangan terdapat tiga orang lelaki memotong rumput di tepi-tepi jalan. Namun demikian, dia hairan walaupun tiga orang pemotong rumput bekerja tetapi lalang masih meninggi. Ketika dia menghentikan kenderaannya di sisi motosikal Budiman, dia menerima berita Taufik ditimpa kemalangan. Mereka terus pergi mencari Taufik dan bertemu dengannya dalam rimbunan lalang dengan bajunya dibasahi darah di bahagian rusuk. Nurul Hafsa segera menelefon ambulans dan Taufik dibawa ke Hospital Besar Tanjung Karang. Menerut siasatan awal, polis memberitahu walaupun penyerang mengambil barang-barang berharga milik Taufik, namun mereka meninggalkan telefon bimbitnya sebagai suatu mesej peribadi penjenayah kepada mangsa. Pihak hospital memaklumkan bahawa Muhammad Taufik berada dalam keadaan stabil.

  
Bab
Sinopsis

Bab 16:
Dua kelip-kelip terakhir di dunia






Nurul Hafsa bersama dengan ayah dan abangnya menuju ke hospital untuk melawat Muhammad Taufik. Setibanya mereka di sana, Nurul Hafsa melihat ibu dan bapa Muhammad Taufik sedang berbual dan sedikit bertelagah tentang kejadian yang menimpa anak mereka. Nurul Hafsa meminta izain untuk berbual dengan mereka berdua dan menceritakan keazaman Muhammad Taufik. Selepas itu mereka solat subuh berjemaah di surau hospital. Kemudian, mereka mendapat khabar tentang keadaan Muhammad Taufik yang semakin baik walaupun belum sedar. Nurul Hafsa melawat Muhammad Taufik dua hari kemudian sambal ditemani abangnya, Budiman. Dia memohon maaf kepada rakan seperjuangannya itu atas segala yang terjadi. Dia bersedia jika Muhammad Taufik ingin mengundurkan diri. Namun begitu, temannya itu masih berkobar-kobar untuk meneruskan perjuang mereka bersama. Dalam pertemuan tersebut, Muhammad Taufik sempat bertanyakan Nurul Hafsa tentang sebab dia tidak memakai selendang hitam bermanik Kristal.




Bab 17:
Jalan yang ditinggalkan



Tan Sri Muhaimin memberitahu Muhammad Taufik ketika beliau dan bekas isterinya berada di hospital bersama Muhammad Taufik bahawa Ketua Inspektor Lim menasihati beliau agar memberitahu pihak media bahawa kejadian yang menimpa anaknya merupakan kejadian jenayah biasa bagi memudahkan pihak polis menjalankan siasatan. Namun begitu, Muhammad Taufik tidak bersetuju dan meminta ayahnya memberitahu perkara sebenar bahawa serangan tersebut bermotifkan khianat kerana dia yakin motif serangan tersebut adalah untuk membuktikan kegelapan sebagai punca jenayah seterusnya menghalang projek kawasan Simpanan Langit Gelap akan dihentikan. Setelah Menteri Besar berbincang dengan Tan Sri Muhaimin melalui perbualan telefon, keesokan harinya akhbar mengeluarkan berita bahawa Kuala Selangor Akan Diwartakan Sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap.

Bab
Sinopsis

Bab 18:
Kerasukan



Sejak Muhammad Taufik dimasukkan ke hospital, sudah hampir seminggu kerja mencerap populasi kelip-kelip terhenti. Sebagai menunaikan janji mereka terhadap Muhammad Taufik, Nurul Hafsa dan Budiman meneruskan kerja tersebut dengan menggunakan peralatan pencerapan yang telah disampaikan oleh Tan Sri Muhaimin kepada mereka berdua. Ketika meranduk semak samun untuk balik ke kereta mereka selepas melakukan aktiviti pencerapan, tiba-tiba Nurul Hafsa terdengar suatu bunyi dan ternampak Budiman tergelimpang di tanah. Sepantas kilat, dia dicapai oleh tangan-tangan ganas. Dia ternampak susuk tiga orang lelaki sebelum mulutnya dibalut dengan pita pelekat bersaiz lebar dan kepalnya disarung dengan kain gelap.


Bab 19:
Selendang hitam manik kristal



Muhammad Taufik bersiap-siap untuk keluar dari Hospital dan mengikut ibunya pulang ke Otago apabila dia kejutkan dengan jambangan bunga berbalut selendang hitam bermanik kristal. Dia menjumpai sekeping nota dalam jambangan tersebut yang memintanya berada di stesen petronas pada jam 8.30 pagi hari tersebut. Hatinya bertambah bibang apabila melihat kerongsang yang yakininya milik Nurul Hafsa. Muhammad Taufik meminta Tan Sri Muhaimin menghentikan kereta di stesen petronas ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang dengan alasan ingin ke tandas. Tanpa disedari kedua-dua orang tuanya, dia pergi ke tempat van putih seperti yang tercatat dalam nota yang diterimanya. Ketika itu, dia diarahkan masuk ke dalam van tersebut sebelum disarung sebelumnya tangannya diikat dan dimasukkan ke dalam but kereta. Kepanya disarung dengan kain hitam sepanjang perjalanan. Muhammad Taufik dibawa ke lokasi yang sama dengan tempat Nurul Hafsa ditahan. Menyedari situasi tersebut, dia cuba menenagkan Nurul Hafsa walaupun tidak dapat melihat apa-apa sebelum dia dipukul di rusuknya sehingga tidak sedarkan diri.




Bab 20:
Nyawa untuk nyawa





Nurul Hafsa telah dibebaskan oleh penculik. Dia bimbang dengan keadaan Muhammad Taufik yang belum dibebaskan. Dalam keadaan tersebut, Nurul Hafsa berasa bertuah kerana tidak dicederakan. Dia pasti bahawa perancang jenayah ini sebenarnya ingin mencapai sesuatu yang boleh diukur dengan wang. Jika rancangan tersebut gagal sekalipun, mereka masih boleh melepaskan diri daripada tuduhan mencederakan, merogol atau membunuh mangsa.  Dengan bantuan pemandu van sekolah yang ditahannya ketika dia berjalan seorang diri, dia telah membuat laporan polis. Haji Yassir dan Budiman bersyukur keran Nurul Hafsa selamat. Haji Yassir menenangkan Tan Sri Muhaimin dengan meminta beliau bersabar, berdoa dan menyerahkan segalnya kapada Allah. Kehilangan Muhammad Taufik disiarkan dalam berita setiap jam di semua stesen televisyen tempatan.


Bab 21:
Lagasi baju biru






Bab ini menceritakan kronologi penculikan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik. Dengan bantuan CCTV, pihak polis cuba mengecam van putih yang digunakan oleh penculik tersebut. Malangnya, nombor pendaftaran kenderaan tersebut sukar dikesan kerana kabur. Tan Sri Muhaimin telah memaklumkan kepada Ketua Inspektor Lim tentang pesanan ringkas yang dihantar ke telefon bimbitnya yang memintanya menarik balik sebut harga Dedaun Emas jika tidak mahu menerima padah. Berita tengah hari yang membawa khabar tentang penculikan sensasi etrsebut secara besar-besaran telah membuahkan hasil. Seorang penduduk tempatan telah membuat aduan tentang aktiviti bukan perladangan di sebuah ladang kelapa sawit yang terletak jauh di pedalaman Bestari Jaya. Pasukan Gerak Khas telah diarahkan ke lokasi tersebut untuk mengadakan serbuan dan tangkapan. Selepas berbalas tembakan, Muhammad taufik berjaya diselamatkan.





Bab 22:
Cinta pejuang


Nurul Hafsa, Haji Yassir dan Budiman berada di Masjid Jamik Sultan Ibrahim Kuala Selangor untuk menghadiri kenduri kesyukuran bagi meraikan pernikahan kali kedua Tan Sri Muhaimin dan bekas isterinya. Tan Sri Muhaimin menyampaikan ucapan ringkas menyatakan rasa syukur beliau ke hadrat Ilahi dengan kembalinya anak dan isteri ke pangkuan beliau. Musuh perniagaannya pula bakan menghadapi pengadilan. Dalam majlis tersebut, Muhammad Taufik meluahkan isi hatinya terhadap Nurul Hafsa. Dia telah mengembalikan selendang hitam manik kristal yang disimpannya semenjak hari pertama dia mengetahui Nurul Hafsa diculik.  Muhammad Taufik menyampaikan hasratnya untuk menghantar rombongan lamaran ke kediaman orang tau Nurul Hafsa. Dalam keadaan malu dan meminta diri untuk membantu mengemaskan kenduri yang baru selesai, dia menerima pesanan ringkas daripada Muhammad Taufik bertulis kita ialah dua kelip-kelip terakhir di dunia.


TEMA

-          Kegigihan anak muda dalam usaha melestarikan alam sekitar.
Nurul Hafsa, Muhammad Taufik dan Budiman telah bersatu hati dalam berjuang untuk melestarikan alam sekitar. Mereka cuba memulihkan populasi kelip-kelip dan mengembalikan kegelapan langit di Kuala Selangor sebagai kawasan mencerap bintang. Mereka telah berusaha mendapatkan sokongan pihak kerajaan terhadap projek Kawasan Simpan Langit Gelap yang pertama di Asia Tenggara. Dalam masa yang sama Muhammad Taufik sedang mengusahakan projek perumahan Ikhtiar TeknoAlam dengan membina rumah mesra alam.

PERSOALAN

1.    Persoalan kebijaksanaan dalam menangani masalah.
-   Nurul Hafsa mengemukakan hujah bijak yang dapat diterima oleh kumpulan pengunjung Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor pada malam bintang tidak dapat dicerap dengan mata kasar akibat langit tidak menjadi gelap pada waktu malam.

2.    Persoalan hubungan kasih sayang antara ibu dengan anak.
-   Puan Wickham tetap mengambil berat tentang projek Ikhtiar TeknoAlam yang diusahakan anaknya Muhammad Taufik walaupun mereka jarang-jarang dan sukar untuk bertemu.

3.    Persoalan cinta akan alam sekitar.
-    Budiman dan adiknya sama-sama prihatin terhadap pencemaran cahaya yang berlaku di Kuala Selangor dan berazam untuk menyelamatkan Kuala Selangor daripada pencemaran akibat pembangunan yang tidak terancang.

4.    Persoalan penceraian tidak menghalang kasih sayang antara ibu bapa dengan anak.
-         Puan Wickham dan Tan Sri Muhaimin tidak pernah bermusuh tentang penjagaan anak mereka Muhamad Taufik, malah sering memberikan sokongan kepadanya walaupun mereka telah bercerai.

5.    Persoalan ketaatan kepada ajaran agama
-       Budiman menemani Nurul Hafsa ketika berbincang dengan Muhammad Taufik di bilik tutorial di Perpustakaan Awam Sultan Syarafuddin, Kuala Selangor kerana mereka bukan mahram.

 Persoalan perasaan dendam yang tidak berkesudahan
-     Johan Arlington-Majid menaruh dendam yang tidak pernah padam terhadap Tan Sri Muhaimin berpunca daripada Maryam Wickham memilih Tan Sri Muhaimin sebagai suami sehingga membawa kepada kes penculikan anak mereka, iaitu Muhammad Taufik.