Ahad, 19 Oktober 2008

Bahan berikut diambil dari blog:
http://agy7500.blogspot.com

Adakah anda telah menguasai laras bahasa istana? Jika sudah, sila bina ayat yang terdapat dalam soalan yang di bawah ini:

Soalan Pilihan 1
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) keberangkatan
(ii) singgahsana
(iii) pertabalan
(iv) dirgahayu
(v) menjunjung kasih
(vi) mencemar duli

Soalan Pilihan 2
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) patik
(ii) beta
(iii) baginda
(iv) hamba
(v) tuanku
(vi) tuan hamba

Soalan Pilihan 3
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) singgahsana
(ii) istana
(iii) derhaka
(iv) mahligai
(v) peterana
(vi) dirgahayu


Soalan Pilihan 4
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) murka
(ii) derhaka
(iii) darjat
(iv) gering
(v) santap
(vi) tulah

Soalan Pilihan 5
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) berangkat
(ii) beradu
(iii) bersemayam
(iv) bersiram
(v) bertitah
(vi) berkenan

Bahan Bacaan: Hari Keluarga

Ucapan YAB Datuk Seri Abdullah B Ahmad Badawi

SAMBUTAN HARI KELUARGA KEBANGSAAN”

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita dapat berhimpun di sini pada pagi ini bagi memeriahkan lagi Majlis Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada tahun ini.

2. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga kerana telah memberi penghormatan kepada saya untuk melancarkan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan .


3. Marilah kita melafazkan kesyukuran kerana kita terus berada di dalam sebuah negara yang rukun dan damai, bebas dan berdaulat; dilimpahi dengan pelbagai rahmat, di mana rakyat dapat hidup dengan harmoni dan bersatu padu. Marilah kita bersyukur kerana iklim ekonomi negara terus pulih. Marilah kita bersyukur kerana kita dapat mengadakan pelbagai acara dan sambutan. Ini mencerminkan bahawa kita ialah sebuah bangsa yang cintakan keamanan dan kesejahteraan. Pada hari ini, kita bernasib baik kerana berpeluang menyambut satu hari yang khususnya ditujukan kepada semua ahli keluarga. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa walaupun kita telah maju dan berjaya, kita tidak lupa kepada aspek-aspek sosial, terutamanya nilai dan adat hidup berkeluarga.

4. Sistem keluarga sebagai institusi asas masyarakat perlu terus diperkukuhkan. Kerajaan sedar bahawa keluarga ialah penerima dan penyumbang kepada pembangunan negara. Kekuatan dan keutuhan sesebuah keluarga dapat mempengaruhi dan menjamin kestabilan masyarakat dan negara. Rosak keluarga, maka pincanglah masyarakat. Runtuh keluarga, maka musnahlah negara.

5. Aliran yang berlaku kebelakangan ini benar-benar mengejutkan dan membimbangkan kita. Ketika kita mengecapi pelbagai corak kemajuan, banyak gejala sosial dan penyakit masyarakat yang telah berlaku. Gejala-gejala ini boleh mengganggu gugat keamanan masyarakat, menjejaskan perpaduan bangsa, dan membantutkan perkembangan negara. Sesungguhnya, kejadian amuk, bunuh, rogol, menagih dadah, sumbang mahram, penderaan ke atas ahli-ahli keluarga, pemujaan syaitan, ajaran sesat, remaja lari dari rumah, salahlaku pelajar, menonton video lucah serta pelbagai keganasan dan jenayah rumah tangga menjadi semakin berat.

6. Saya mendedahkan perkara ini bukan untuk menakut-nakutkan rakyat, tetapi ia berasaskan kajian, tanggapan dan statistik yang diperoleh oleh pihak berkuasa. Umpamanya, perbuatan remaja lari dari rumah bertambah serius. Mengikut statistik Bahagian Hal Ehwal Awam, Bukit Aman, ada terdapat 265 gadis bawah umur lari mengikut kekasih. Sementara itu, dalam tempoh 20 tahun sehingga , jumlah penagih dadah menjangkau sebanyak 400,000. Kes juvana pula semakin membimbangkan. Dalam tempoh 10 tahun, kadar jenayah yang membabitkan remaja lelaki meningkat sebanyak 35 peratus, manakala remaja perempuan meningkat sebanyak 25 peratus.

7. Yang terbaru ialah penglibatan sebilangan remaja dalam kumpulan penyembah syaitan black metal. Ada antara mereka yang terlibat dalam kumpulan ini memakai tudung dan berjubah tetapi memakai salib yang diterbalikkan. Jelas bahawa mereka sudah terjebak dalam kegiatan sesat dan bertentangan dengan agama. Saya amat sedih kerana perbuatan yang amat buruk ini dilakukan oleh sesetengah remaja kita masa kini.

8. Fenomena sebegini perlu ditangani dan dibendung secara bersama oleh semua pihak, sebelum ia dapat bertapak di Malaysia dan seterusnya menggugat kejituan institusi keluarga, yang selama ini dipupuk dengan nilai-nilai tradisional yang kaya dengan sopan santun dan tali persaudaraan, serta nilai-nilai keagamaan yang teguh.

9. Sekali imbas kita tentu mengagak bahawa masalah-masalah ini timbul akibat kelonggaran jalinan dan ikatan kasih sayang dalam keluarga.

10. Sebenarnya, kasih sayang adalah pengikat keluarga. Kasih sayang boleh diibaratkan sebagai `gam' yang menyatupadukan keluarga sejahtera. Ia dilahirkan melalui perasaan, dan ditunjukkan dengan perbuatan. Dengan adanya perasaan kasih sayang, maka tercetuslah
perasaan hormat menghormati, prihatin, mengambil berat, memberi sokongan serta perlindungan, dan lain-lain lagi.

11. Justeru, pemilihan tema `kasih keluarga' sebagai tema Hari Keluarga Kebangsaan ini amatlah tepat dan sesuai sekali. Kasih sayang ibu bapa adalah ibarat `asas kehidupan' anak-anak. Keluarga yang dibina dengan penuh kasih sayang akan dapat melahirkan insan yang
prihatin dan bersifat penyayang.

12. Ingatlah bahawa anak adalah amanah daripada Allah. Kita perlu jaga amanah ini dengan betul dan cermat supaya ia tidak mendatangkan sebarang mudarat. Allah swt telah berfirman dalam surah Luqman, ayat 13, bermaksud; "dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: `wahai anak kesayanganku, janganlah engkau
mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah kezaliman yang besar".

13. Begitulah Al-Quran menjelaskan bagaimana ibu bapa mesti memastikan anak-anaknya sentiasa berada di jalan yang benar dan mencapai kejayaan. Kita perlu sedar bahawa anak-anak kita adalah pewaris yang bakal menerajui negara. Oleh itu, mereka perlu mempunyai akhlak yang luhur dan tingkah laku yang terpuji.

14. Sebenarnya, ibu bapa juga harus dididik supaya memberi perhatian kepada perkembangan pendidikan dan akhlak anak-anak mereka, agar pengawasan yang mencukupi dapat diberikan. Anak-anak tidak patut merasa terabai oleh ibu bapa. Bakal ibu dan bapa hendaklah dilatih
supaya mempunyai kemahiran mendidik anak-anak. Jangan fikirkan ilmu keibubapaan ("parenting skills") ini datang secara automatik. Ilmu ini perlu dipelajari dan didalami oleh setiap pasangan ibu bapa. Ini amat penting bagi menghasilkan generasi muda yang bertanggungjawab,
berwawasan serta berdisiplin. Justeru, program kemahiran keibubapaan harus diberi keutamaan dan diajar di institusi-institusi pendidikan, pusat-pusat komuniti serta tempat-tempat kerja. Saya kira ini satu program yang amat penting untuk diadakan. Menerusi program seumpama ini, kita dapat melahirkan generasi ibu bapa yang lebih bertanggungjawab dan berdedikasi.

15. Kita mengadakan sambutan hari keluarga kebangsaan ini untuk mengingatkan diri kita betapa pentingnya keluarga sebagai satu unit dan institusi dalam masyarkat. Maka sebab itu kerajaan sentiasa menekankan pembinaan keluarga yang kuat, stabil dan harmoni, berlandaskan nilai-nilai murni, dalam setiap rancangan pembangunannya.

16. Memang benar kita mahu mengejar kemajuan sama seperti negara-negara maju di dunia. Kita mahu maju kerana kita ingin meningkatkan lagi taraf hidup kita. Apabila kita maju, kita akan dihormati dan kita tidak akan ditindas. Apabila kita maju, kita ada kekuatan. Apabila kita maju, kita mesti ada kekuatan dari segi mental dan pegangan keagamaan. Namun, kita tidak boleh meniru sesetengah negara maju, apabila ia menjadi semakin maju, maka institusi keluarganya pula turut runtuh. Kehidupan mereka amat pincang, bebas melakukan apa sahaja dan menjadi masyarakat yang sukar dikawal. Di malaysia, kita tidak mahu terperangkap dalam
mengejar pembangunan sehingga mengorbankan keluarga sebagai satu institusi sosial yang terpenting. Kerajaan mahu mewujudkan keseimbangan antara membawa kemajuan kepada negara dan mempertahankan sistem sosial kita dari terjejas.

17. Dalam hal ini, tumpuan kita terhadap institusi keluarga juga tidak terhad kepada talian kekeluargaan melalui proses beranak cucu sahaja. Di Malaysia kita hidup dalam masyarakat yang lebih besar, iaitu masyarakat yang berbilang kaum yang juga merupakan keluarga kita. Walaupun talian kekeluargaan masyarakat tidak setebal talian keluarga biasa, ia tidak kurang
pentingnya dalam menentukan keamanan dan kestabilan negara. Bak kata pepatah, masyarakat kita hidup `bagai aur dengan tebing'. Justeru itu, amatlah penting bagi kita menjalin hubungan yang rapat dalam keluarga masyarakat Malaysia.

18. Kerajaan akan meneruskan agenda menyemai nilai-nilai positif pada setiap lapisan masyarakat. Sistem nilai yang baik akan terus dibentuk menerusi penekanan kepada aspek agama, tradisi dan nilai sivik, khususnya melalui sistem pendidikan. Nilai-nilai kemasyarakatan
yang luhur seperti taat setia, kewarganegaraan yang baik, keadilan sosial dan sikap toleransi akan terus dipertingkatkan. Sesungguhnya, penyemaian nilai-nilai tersebut akan mempercepatkan lagi pembentukan sebuah Bangsa Malaysia yang bersatupadu dan berjaya.

19. Maka dengan harapan yang tinggi dan doa yang berterusan itu, saya dengan lafaz bismillahir
rahmanirrahim melancarkan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan .
Terima kasih.

Belajar melukis!!!

1000 pictures for teachers!!! Klik link di bawah:

1000 pictures for teachers

Belajar membuat peta minda

Ingin belajar cara-cara membuat peta minda?
Ikutilah link berikut:

Mind mapping

Bahan bacaan untuk warga pendidik_Blue Ocean Strategy

Kepada warga pendidik yang dihormati,
Anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang Blue Ocean Strategy? Klik link di bawah. Selamat membaca!!!
Blue Ocean Strategy

Rabu, 8 Oktober 2008

Karangan: Semangat kejiranan

Manusia kini tidak mementingkan semangat kejiranan, mereka bersifat ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Bincangkan

Peribahasa ‘bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’ sesuai menggambarkan sikap masyarakat kita pada masa ini. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakt kita, terutamanya warga kota, disifatkan sebagai enau dalam pepatah tersebut kerana hanya mementingkan diri sendiri dan bersikap individualistik. Natijahnya, kita lebih suka hidup menyendiri dan semangat kejiranan yang dulunya menjadi teras masyarakat kita, sudah kian pudar dan luntur. Hakikat ini amat membimbangkan kerana semnagat kejiranan, yakni semangat yang dipunyai oleh ahli-ahli masyarakat untuk menjaga kebajikan dan kepentingan anggota
masyarakat yang lain, sangat diperlukan untuk menjamin perpaduan masyarakat.

Oleh yang demikian, kita perlu meneliti faktor-faktor yang telah menyebabkan perubahan sikap masyarakat kita. Dalam pada itu, pendidikan memainkan peranan yang penting. Peluang pendidikan yang semakin meluas telah pun berjaya menghapuskan buta huruf dan meningkatkan daya pemikirana serta pengetahuan masyarakat kita. Namun demikian, pada masa yang sama, pendidikan juga telah mengakibatkan masyarakat mula berubah perspektif terhadap kehidupan, terutamanya generasi muda. Contohnya, melalui pendidikan, golongan belia mula memperolehi jawatan tinggi dan berpendapatan tinggi. Oleh itu, mereka berasa mereka dapat berdikari dan
tidak lagi memerlukan orang lain. Mereka pula hanya mementingkan kebahagiaan dan kepentingan sendiri. Maka, mereka menumpukan semua masa mereka untuk mencari kepuasan diri dan melupakan tanggungjawab sosial mereka terhadap kebajikan masyarakat secara keseluruhan.

Selain itu, perkembangan masyarakat kota melalui penghijrahan kampung dan proses urbanisasi juga merupakan satu faktor yang lain. Kehidupan di kota amat berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan di kampung. Masyarakat desa yang mementingkan semangat kejiranan dan kerjasama mula pupus dengan perkembangan bandar-bandar yang mempunyau pelbagai kemudahan dan peluang pekerjaan. Sebagai contoh, kita seringkali melihat penduudk kampung bergotong-royong unuk membina jambatan, membersihkan kawasan sekeliling dan sebagainya. Sikap sebegini tidak langsung wujud di kalangan warga kota kerana mereka terlalu sibuk dan hidup dalam suasana persaingan yang amat snegit.

Justeru, perbezaan sikap masyarakat juga telah disebabkan oleh pengaruh norma-norma kebaratan. Kita sedia maklum bahawa pengaruh barat meresap ke dalam kehidupan dan kebudayaan kita melalui perkembangan media massa. Kebudayaan dan cara hidup Barat yang mengagung-agungkan kebebasan individu, sikap materialistik dan mementingkan hak peribadi sentiasa dipaparkan dalam rancangan televisyen dan radio. Masyarakat tempatan pula terlalu ingin mengikuti cara hidup barat yang liberal supaya dipandang sama taraf
dari segi kemajuan sosial. Malangnya, ini telah menyebabkan kita menggadaikan nilai-nilai tradisional yang menyeru supaya kita mempertimbangkan kepentingan masyarakt dalam melakukan sesuatu perkara.

Teknologi juga telah menjadi satu lagi faktor yang menyebabkan kita kurang menghiraukan semangat kejiranan. Ini disebabkan, dengan perkembangan teknologi yang canggih, kita semakin kurang berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli masyarakat yang lain. Melalui penggunaan telefon, faksmili dan Internet, kita tidak lagi perlu bertemu secara berseorangan untuk berhubungan. Ekoran daripada itu, kita hilang kemahiran untuk berkomunikasi dan sikap ramah tamah. Sebaliknya, kita menjadi kera sumbang dan hanya mampu berkomunikasi dengan orang lain dengan bantuan teknologi. Jelas bahawa semangat kejiranan akan pudar kerana semangat
ini tidak dapat dipupuk jika ahli-ahli masyarakat tidak boleh berhubung antara satu sama lain dengan baik.

Struktut perumahan moden juga menyukarkan pemupukan semangat kejiranan di kalangan masyarakat kita. Kebayakan rumah dan pangsapuri moden dibina dengan tembok yang tinggi dan pagar-pagar. Hai ini jauh berbeza dengan rumah-rumah di kampung yang tidak mempunyai sempadan untuk membezakan rumah seorang jiran daripada rumah jiran yang lain.

Kesimpulannya, kita tidak dapat menafikan bahawa semangat kejiranan semakin pudar dan luntur di kalangan masyarakat kerana pelbagai faktor. Dengan itu, kita harus menyedari hakikat ini dan menggembleng tenaga untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini kerana semangat kejiranan menjadi teras perpaduan masyarakat. Perlu ingatlah bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Karangan - Ulasan Drama

TUMPUAN : KARANGAN – ULASAN DRAMA

SOALAN :
Pihak sekolah telah menganjurkan satu pertandingan mengulas drama berdasarkan drama yang anda tonton atau baca . Anda berminat untuk menyertainya. Sediakan ulasan drama tersebut dengan selengkapnya.

Tajuk Drama : Serunai Malam.
Nama Penulis : Usman Awang.
Sumber : Antologi Anak Laut (2000)
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pengulas : Mastura binti Salleh.

Drama “Serunai Malam” karya penulis prolifik yang juga seorang Sasterawan Negara , iaitu Datuk Dr. Usman Awang ini sarat dengan pelbagai persoalan yang menarik. Apa yang jelas, Datuk Dr. Usman Awang cuba mengajak audiens atau khalayak pembaca meneliti mentaliti masyarakat kita, iaitu berhubung dengan perbezaan pandangan tentang kerjaya kerana perbezaan latar belakang sosial dan pendidikan.

Drama ini bermula dengan penampilan watak seorang ibu, iaitu Limah dan anaknya, Safiah. Digambarkan Safiah sedang resah menanti kedatangan Umar, iaitu tunangnya. Umar berjanji akan sampai ke rumah Safiah pada pukul 10.00 pagi. Namun begitu, sehingga pukul 11.00 pagi Umar belum juga tiba. Sebenarnya, Umar lambat sampai kerana sibuk dengan persiapan terakhir bagi majlis konvokesyen di universitinya yang akan berlangsung
pada pukul 2.30 petang itu. Setelah Umar tiba di rumah Safiah, masing-masing bertukar pendapat berhubung dengan kerjaya Umar, iaitu sama ada menjadi guru atau pegawai MSC atau Foreign Service.

Pada hari yang sama ayah dan ibu Umar dijangka akan sampai dari kampung. Namun, hanya ayah Umar, iaitu Majid yang datang ke rumah Saifiah kerana ibu Umar sibuk dengan majlis potong jambul di rumah anak buah mereka di kampung. Majid turut membawa buah-buahan dari kampung dan disambut mesra oleh Safiah dan ibunya. Ketika Majid sampai, Umar tidak ada di rumah kerana ada urusan berkaitan dengan konvokesyennya.
Tidak lama kemudian, Umar pulang ke rumah tersebut, dan perbincangan berhubung dengan soal pemilihan kerjaya diteruskan semula antara Safiah dengan Umar. Safiah mahu bakal suaminya itu menjadi pegawai MSC supaya dia berpeluang tinggal di luar negeri. Umar pula bertegas mahu menjadi guru. Mereka bertelingkah sehingga menyebabkan Safiah menangis. Umar cuba memujuk Safiah dengan bijaksana dan berjaya mempengaruhi pemikirannya Umar membangkitkan kisah manis mereka ketika bertemu di Selat Tebrau. Masing-masing tersenyum dan bertambah mesra dan kelihatan bahagia. Ibu Safiah muncul dan ikut tersenyum mengerti. Lagu ‘Serunai Malam’ turut mengalun seolah-olah mengerti akan kehadiran dua jiwa yang sedang memadu kasih.

Drama “Serunai Malam” ini cuba mengungkapkan pelbagai persoalan menarik. Antaranya ialah perbezaan pandangan antara orang kota dengan orang bandar. Umar dan Safiah datang daripada latar belakang sosial yang beza. Umar berasal dari desa, manakala Safiah berasal dari kota. Oleh itu, tidak hairanlah jika Safiah lebih suka jika Umar menjadi pegawai MSC , sedangkan Umar pula lebih suka menjadi guru. Dengan menjadi guru,
dapatlah dia mencurahkan bakti kepada anak desa. Dalam hal ini, sudah tentu sebagai warga kota , Safiah tidak suka tinggal di desa dan dia lebih suka menetap di bandar atau luar negara. Perbezaan pandangan antara generasi muda dengan generasi tua juga cuba disingkapkan dalam drama ini. Ayah Umar yang amat mementingkan waktu solat terus solat apabila tiba waktu sembahyang. Umar dan Safiah pula asyik meneruskan perbincangan atau
berbual-bual sedangkan mereka tahu bahawa waktu sembahyang atau solat telah pun tiba. Begitulah perbezaan antara generasi tua dengan generasi muda dalam soal keagamaan. Generasi tua lebih mementingkan soal keagamaan berbanding dengan generasi muda. Pakaian yang dipakai oleh Safiah dianggap kurang manis oleh ayah Umar, iaitu Pak Majid. Bagi Umar, dia tidak pun berasa aneh dengan pakaian Safiah. Mungkin pendedahan hidup di kota dan akibat pengaruh modenisasi telah turut memodenkan pemikiran Umar berhubung dengan pakaian.

Kerangka karangan: Keracunan makanan_Laporan

Tajuk: Laporan Punca-punca Keracunan Makanan di Kalangan Penghuni Asrama dan Langkah-langkah mengatasinya.


1.0 Pendahuluan


Pada masa ini jumlah kejadian keracunan makanan di kalangan penghuni asrama semakin meningkat. Kejadian ini bukan sahaja menyebabkan kesihatan mereka terjejas malah sekiranya kritikal boleh mendatang maut. Suatu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengkaji punca-punca kejadian tersebut berlaku, di samping menyediakan cadangan untuk mengatasinya.


2.0 Senarai nama ahli jawatankuasa


(Dianggotai oleh pengerusi dan ahli jawatankuasa)


3.0 Punca-punca kejadian keracunan makanan.


3.1 Sikap negatif pengusaha kafeteria asrama dan pembekal makanan.


Pengusaha kafeteria asrama dan pembekal makanan tidak mengambil berat aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang dibekalkan. Makanan dibiarkan terdedah kepada lalat, tidak menggunakan air masak untuk menyediakan minuman, makanan dalam tin telah tamat tarikh luput, bahan-bahan mentah yang tidak bermutu, sayuran yang mengandungi bahan kumia tidak dibersihkan dengan betul.


3.2 Sikap negatif tukang masak.


Kebanyakan tukang masak tidak memastikan kebersihan bahan mentah yang disediakan oleh mereka. Mereka membersihkan bahan mentah seperti daging, ayam dan sayuran dengan secara ala kadar. Alat memasak tidak bersih. Ada juga tukang masak yang menyimpan kuku panjang dan tidak mencuci tangan sebelum masak.


3.3 Sikap pelajar


Pelajar-pelajar harus memeriksa kandungan keadaan makanan sebelum di makan. Sekiranya makanan berbau basi, ikan berbau hanyir , laporkan kepada penyelia asrama. Mereka juga boleh melihat secara rambang keadaan dapur asrama dan pekerjanya semasa mengambil makanan. Sekiranya keadaan dapur kotor , sudah tentulah makanan yang dimakan tidak selamat.


4.0 Langkah-langkah mengatasi.


4.1 Pihak pentadbir dan Jabatan Kesihatan boleh memantau penyediaan makanan yang disediakan di dapur asrama secara mengejut.


4.2 Syarat pemberian kontrak kepada pembekal mesti diketatkan. Antaranya penyediaan makanan yang bermutu dan selamat dimakan. Sekiranya mereka melanggar syarat kontrak mereka akan ditarik balik.


4.3 Kempen tentang kepentingan aspek kebersihan dalam memproses makanan yang bermutu dan selamat dimakan hendaklah sentiasa diadakan. Melalui kempen dan ceramah penghuni-penghuni asrama dapat memastikan makanan yang dibeli berada dalam keadaan yang selamat.


5.0 Kesimpulan


Masalah keracunan makanan tidak boleh diambil mudah kerana melibatkan nyawa dan kesihatan . Oleh itu, cadangan-cadangan yang dinyatakan tadi hendaklah dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini. Semua pihak harus memberikan kerjasama dan komitmen padu untuk menangani masalah ini.



Laporan disediakan oleh,

……………………………..

Nama:

Setiausaha

Jawatankuasa Mengkaji Punca-punca Keracunan Makanan

Sumber: Portal Pendidikan Utusan

Tatabahasa

Monday, September 22, 2008

Dan atau dengan, dalam atau untuk?

Tuan Munsyi,
Apakah yang tidak kena dengan ayat yang di bawah ini?

1. Kerjasama antara guru dan murid amat penting dalam membentuk generasi yang cemerlang.

Nik

Jawaban:
Ayat tersebut salah kerana penggunaan kata hubung gabungan dan tidak tepat. Yang tepatnya ialah kata sendi nama dengan. Kata sendi nama antara hendaklah berpasangan dengan kata sendi nama dengan untuk menunjukkan kosnsep perbandingan. Selain itu, kata kerja membentuk juga tidak tepat penggunaannya. Kata kerja membentuk hendaklah didahului dengan kata hubung untuk. Dalam bahasa Melayu, kata sendi nama hendaklah diikuti oleh kata nama seperti dalam pembentukan. Seterusnya, penggunaan kata sendi nama dalam juga tidak tepat. Kata yang sepatutnya ialah kata hubung untuk yang membawa maksud tujuan. Oleh hal yang demikian, ayat yang betul ialah:

1(b) Kerjasama antara guru dengan murid amat penting dalam pembentukan generasi yang cemerlang.
1(c) Kerjasama antara guru dengan murid amat penting untuk membentuk generasi yang cemerlang.


Drp:
Cikgu Ghalib

agy75000 comments


Saturday, September 20, 2008

Ribuan dan Jutaan Terima kasih

Banyak pengguna bahasa yang tidak menyedari bahawa gaya bahasa kreatif sering digunakan oleh penulis. Oleh sebab tidak menyedari perkara ini, ada pihak tertentu yang menyatakan bahawa penggunaan perkataan ribuan , jutaan dan sebagainya dalam ayat di bawah ini sebagai kelewahan bahasa.

1. Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pihak tuan.
2. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak tuan.
3. Saya memohon ribuan ampun dan maaf atas segala kesilapan yang telah saya lakukan.
4.Walaupun seribu tahun, saya tetap akan menunggu kepulanganmu.
5. Jika hukuman yang dikenakan terlalu berat, setiap pengguna jalan raya akan berfikir seribu kali sama ada untuk mematuhi atau melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, terdapat banyak contoh ayat yang menggunakan perkataan `ribuan’ seperti yang di bawah ini:

6.Kepada Datuk Haji Hassan Ahmad, tidak lupa kami catatkan ribuan penghargaan kerana minat dan perhatian berat yang telah ditunjukkan terhadap projek ini.(Hal. 1)
7. Kepada kedua-dua Setiausaha Kerja kami, Sdr. Ainon Muhamad dan Sdr. Zaiton Abdul Rahman serta pembantunya, Sdr. Esah Haji Rahmat dan Sdr. Latifah Othman, kami ucapkan ribuan terima kasih. (Hal.li)

Dengan berdasarkan contoh perkataan ribuan yang terdapat dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga ini, penggunaan perkataan ribuan, jutaan dan seribu dalam ayat (1) hingga (5) di atas gramatis.

Dalam hal ini, semua pengguna bahasa perlu faham bahawa penggunaan gaya bahasa kreatif dalam penulisan tidak terhad dalam penulisan sastera sahaja. Gaya bahasa seperti simile, metafora, hiperbola, personifikasi, inversi, dan sebagainya dapat digunakan dengan cara yang menarik dalam penulisan bukan kreatif. Lihat ayat contoh yang di bawah ini:

8.Selain itu, agama merupakan benteng kehidupan yang menghalang seseorang daripada terjebak dalam kegiatan negatif yang akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan negara. (Gaya Bahasa Metafora)
9.Untuk membentuk individu yang dapat mengelakkan dirinya daripada sebarang gejala negatif ini, setiap rakyat mestilah mempunyai pegangan agama dan moral yang kuat. (Gaya Bahasa Inversi)
10. Oleh itu, mereka yang sering terlibat dalam kegiatan rasuah ini akan berfikir seribu kali untuk melakukannya kerana sekali kena dua kali jalan tahu. (Gaya Bahasa Hiperbola)
11. Dalam hal ini, marilah kita beramai-ramai memainkan peranan masing-masing untuk membasmi gejala rasuah di negara kita yang tercinta ini kerana rasuah mampu menghancurkan negara. (Gaya bahasa personifikasi)
12. Oleh itu, kita perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi menangani gejala ini untuk memastikan hasrat negara kita untuk mencapai wawasan 2020 tercapai. (Gaya Bahasa simile)


Kesimpulannya, penggunaan gaya bahasa kreatif bukan sahaja terhad dalam karya sastera sahaja, malahan gaya bahasa kreatif juga boleh dimanfaatkan dalam penulisan karya yang berbentuk umum seperti karangan perbincangan, fakta, dan sebagainya. Oleh itu, pengguna bahasa perlulah membezakan penggunaan bahasa yang lewah dengan bahasa yang kreatif. Jika pengguna bahasa menganggap penggunaan bahasa yang kreatif itu sebagai bahasa yang lewah, bahasa Melayu tidak lagi bersifat kenyal, malah semakin kaku dan tidak berkembang.

agy75000 comments

Menyerahi atau menyerahkan

Erti menyerahi ialah menyebabkan seseorang menerima sesuatu atau tanggungjawab

Ayat contoh:
1. Saya telah menyerahi beliau tugas yang berat untuk mengetuai misi itu.

Erti menyerahkan ialah memberikan sesuatu kepada seseorang.

Ayat Contoh:
2. Saya telah menyerahkan tugas yang berat untuk mengetuai misi itu kepada beliau.

Kesimpulannya, perkataan menyerahi menerima objek yang tidak bergerak, manakala perkataan menyerahkan menerima objek yang bergerak.

agy75000 comments

Tuesday, September 16, 2008

Gramatis atau tidak gramatis?

Soalan:
Gramatiskah ayat 1 dan 2 di bawah ini? Jika tidak gramatis, mengapa?

1. Kita semua berharap agar negara kita terus maju dalam semua bidang.
2. Borang permohonan untuk mengikuti lawatan itu boleh didapati di pejabat itu.
Jawaban:
Ayat 1 gramatis.
Ayat 2 tidak gramatis. Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut:
2(a) Borang permohonan untuk mengikuti lawatan itu boleh didapati oleh mereka di pejabat.(Ayat pasif)
2(b) Mereka boleh mendapati borang permohonan untuk mengikuti lawatan itu di pejabat itu. (Ayat aktif)

Ayat yang betul ialah:
2(c) Mereka boleh mengambil borang permohonan untuk mengikuti lawatan itu di pejabat itu. (Ayat aktif)
2(d) Borang permohonan untuk mengikuti lawatan itu boleh diambil oleh mereka di pejabat itu.
(Ayat pasif)

agy75002 comments

Thursday, September 11, 2008

di peringkat atau pada peringkat

Dalam bahasa Melayu, penggunaan frasa sendi nama di peringkat didapati leluasa. Lihatlah ayat-ayat yang di bawah ini:

1. Pemain badminton perseorangan negara kita telah berjaya mengalahkan pemain dari negara China di peringkat separuh akhir.
2.Kadar elaun khas yang kini di peringkat akhir perincian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu bagaimanapun akan bergantung pada jarak serta kemudahan asas di sesuatu kawasan terbabit.

Untuk menentukan penggunaan frasa sendi nama di peringkat dalam ayat (1) dan (2) di atas sama ada betul atau salah, marilah kita melihat penggunaan kata sendi nama di dan pada dalam ayat.

Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama di tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa atau zaman.

Kata sendi nama pada pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada+pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu.

Dengan berdasarkan penggunaan kata sendi nama di dan pada seperti yang dinyatakan di atas, didapati bahawa penggunaan kata sendi di dan pada dalam frasa di peringkat dan pada peringkat tidak jelas. Persoalannya ialah adakah peringkat menunjukkan konsep tempat atau keterangan waktu dan tempat? Yang jelas ialah peringkat bukan menerangkan tempat. Oleh sebab itu, penggunaan frasa sendi nama di peringkat tidak tepat. Peringkat bermaksud kedudukan mengikut tarafnya atau tingkatannya. Oleh hal yang demikian, frasa yang tepat ialah pada peringkat. Hal ini diperkukuh apabila penyusun Kamus Dewan Edisi Ketiga mengemukakan ayat contoh seperti yang berikut:

3, Rundingan mengenai pertahanan Asia Tenggara pada peringkat menteri akan diadakan tidak lama lagi.

Kesimpulannya, frasa sendi nama pada peringkat lebih tepat berbanding dengan frasa sendi nama di peringkat.

agy75002 comments

Tuesday, September 9, 2008

Terjebak dalam dadah atau terjebak dengan dadah

Adakah anda pernah terjebak dengan dadah? Soalan ini sudah tentu akan memeranjatkan anda. Usahlah anda terperanjat kerana perkara yang ingin dilontarkan di sini ialah frasa manakah yang gramatis, terjebak dalam dadah atau terjebak dengan dadah? Pengguna bahasa sering menggunakan perkataan dalam dan perkataan dengan secara bertukar ganti mengikut keselesaan masing-masing. Untuk menentukan penggunaan perkataan tersebut sama ada betul atau salah, marilah kita melihat makna perkataan terjebak. Seperti yang dinyatakan dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, terjebak bermaksud termasuk dalam perangkap atau tercebur dalam sesuatu keadaan yang tidak baik, keji, mengongkong, dan sebagainya. Dengan berdasarkan maksud perkataan tersebut, perkataan yang sesuai selepas perkataan terjebak ialah perkataan dalam. Perkataan dengan bermaksud 1. berserta, bersama, disertai, ditemani. 2. kata yang digunakan untuk menunjukkan cara sesuatu itu dilakukan atau alat yang digunakan. 3. melawan, menentang. 4. kata yang menunjukkan atau menyatakan keadaan. 5. oleh, kerana, atas. 6. kata untuk menyatakan hubungan kesesuaian. 7. kata yang menjelaskan sesuatu perolehan atau pencapaian. 8. Kata yang menunjukkan tumpuan sesuatu perbuatan atau sikap.

Ayat contoh:
1.Penduduk yang miskin terus bertambah kerana terjebak dalam situasi yang tidak memungkinkan bagi mereka untuk maju.
2. Sering kali orang terjebak dalam mimpinya.
3. Kita janganlah terjebak dalam perangkap budaya politik perkauman yang diamalkan oleh pihak tertentu.
4. Sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat akan menyebabkan anak-anak terjebak dalam gejala sosial kerana tidak mempunyai pegangan agama yang kuat.

Kesimpulannya, frasa yang tepat ialah terjebak dalam dadah.

agy75000 comments


Monday, September 8, 2008

Sejak atau semenjak

Soalan:
Apakah perbezaan antara semenjak dengan sejak dan contoh penggunaannya.Terima kasih.

Drp:
Cik Khairiah, KB.
Jawapan:
Sejak ialah perkataan lain bagi semenjak. Kedua-dua perkataan ini mendukung makna yang sama.Pengguna bahasa boleh menggunakan mana-mana perkataan tersebut yang disukai.

Ayat contoh:
1.Dia tinggal bersama neneknya sejak kecil lagi.
2. Dia kelihatan bingung sejak dua tiga hari yang lalu
3. Mereka tinggal di kampung ini semenjak beberapa tahun yang lalu.
4. Ia tidak pernah datang-datang lagi semenjak lamarannya dahulu ditolak.

Thursday, September 4, 2008

rasmi atau resmi

Dalam bahasa Melayu, terdapat banyak perkataan yang hampir sama ejaan dan

sebutannya, tetapi mempunyai makna yang berbeza. Antaranya temasuklah perkataan resmi dan rasmi.

Resmi bermaksud sifat semula jadi bagi sesuatu. Ayat contohnya ialah “ Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk.

Rasmi pula bermaksud formal. Selain itu, rasmi juga bermaksud disahkan oleh kerajaan atau yang berkuasa, yang diisytiharkan, ditentukan, disahkan oleh kerajaan atau jabatan dan lain-lain seperti bahasa rasmi, ejaan rasmi, kenyataan rasmi, pakaian rasmi, resit rasmi, tugas rasmi, upacara rasmi, dan sebagainya.

Dari segi pembentukan perkataan pula, daripada perkataan rasmi, wujud pula perkataan merasmikan, rasmi-rasmian, kerasmian, dan perasmian.

Perkataan merasmikan bermaksud mengisytiharkan, melantik, menentukan, menetapkan, atau mengesahkan sesuatu dengan rasminya.

Perkataan rasmi-rasmian pula bermaksud bersifat rasmi, manakala kerasmian bermaksud perihal rasmi.

Perkataan perasmian pula bermaksud pengisytiharan (pelantikan, penentuan, penetapan, pengangkatan, pengumuman, dll) yang rasmi.

Dari segi perkembangan bahasa pula, terdapat dua proses yang berlaku, iaitu sama ada dari segi evolusi atau revolusi. Dari segi evolusi, bahasa berkembang dalam bahasa itu sendiri. Dari segi revolusi pula, bahasa Melayu terpaksa menghadapi perkembangan yang secara mendadak dari seluruh dunia. Sebagai akibatnya, banyak perkataan baharu yang terpaksa dipinjam atau dimelayukan daripada bahasa lain. Begitu jugalah halnya dengan perkembangan bahasa dari segi evolusi. Banyak perkataan baharu yang dicipta oleh pengguna bahasa Melayu. Sebagai contohnya, perkataan cenderahati diilhamkan oleh Sasterawan Negara A.Samad Said pada suatu masa dahulu yang menjadi polemik dalam kalangan pengguna bahasa. Perkembangan ini harus diterima oleh masyarakat Melayu dengan hati dan fikiran yang terbuka.


Dalam beberapa tahun belakangan ini pula, banyak pihak yang menggunakan perkataan ”perasmi” yang merujuk kepada ”Tokoh atau orang kenamaan yang akan merasmikan sesuatu majlis”. Walaupun Kamus Dewan Edisi Keempat tidak memasukkan perkataan ini sebagai salah satu entrinya, pembentukan ini didapati tepat. Lihat pembentukan beberapa perkataan yang terbentuk di bawah ini:

1.perasmi = tokoh atau orang yang akan merasmikan atau mengistiharkan sesuatu majlis.
2.perusuh = orang atau kumpulan yang merusuh
3.peragut = orang yang meragut
4.perampas= orang yang merampas
5.peronda = orang yang meronda.

Dengan berdasarkan pembentukan perkataan 1 hingga 5 di atas, pembentukan perkataan perasmi menepati proses morfologi bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, penggunaan perkataan perasmi seperti yang terdapat dalam ayat yang di bawah ini perlulah diterima:

6. Perasmi bagi Majlis Anugerah Kecemerlangan sekolah itu nanti ialah Tuan Hj. Talib b. Hj. Hamid, Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Langat.

Dengan penjelasan ini, diharapkan semua pihak atau pengguna bahasa Melayu dapat menerima penggunaan perkataan tersebut. Jika perkataan ini digunakan secara meluas, saya yakin bahawa pihak penyusun Kamus Dewan akan memasukkan perkataan itu dalam penerbitan Kamus Dewan yang akan datang. Sebelum terbitnya Kamus Dewan Edisi Keempat, saya telah menggunakan perkataan pelibatan, pelihatan dan jawaban. Banyak pengguna yang mengatakan bahawa perkataan itu salah dengan alasan ketiga-tiga perkataan itu tiada dalam kamus. Oleh sebab perkataan itu terbentuk berdasarkan proses pembentukan kata yang betul, maka perkataan itu diterima dan dimasukkan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Sebagai pengguna bahasa yang berminda kelas pertama, kita wajarlah menerima proses evolusi yang berlaku dalam bahasa Melayu. Diharapkan pada suatu hari nanti, bahasa Melayu menjadi lengkap dan sempurna setanding dengan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis yang telah maju dalam marcapada ini.

agy75000 comments

Wednesday, September 3, 2008

Bersama dan bersama-sama

Dalam bahasa Melayu, pengguna perlulah membezakan penggunaan perkataan bersama dengan bersama-sama.

Bersama-sama bermaksud berserta, bergandingan dgn, serentak dgn:

Ayat contoh:1. Pada hari semalam, Pak Cik Samad datang menziarahi kami sekeluarga bersama-sama besannya.2. Bersama-sama surat ini, saya sertakan wang sebanyak RM100.00 sebagai bayaran pendaftaran seminar tersebut.

Bersama pula mempunyai beberapa maksud.
1. Melakukan hubungan jenis atau bersetubuh. Ayat contoh: 1. Walaupun telah enam bulan berkahwin, kami belum pernah bersama.
2. Semuanya sekali atau seluruhnya. Ayat contoh: Pemilihan tempat itu mestilah disetujui bersama oleh kedua-dua belah pihak.

3. Untuk sesamanya atau untuk sekaliannya. Ayat contoh: Usaha kerajaan untuk mewujudkan perpaduan dan keamanan adalah untuk faedah bersama.

4. Bersama-sama. Dalam hal ini, maksud bersama adalah sama dengan bersama-sama. Namun demikian, pengguna bahasa digalakkan supaya membezakan penggunaan bersama dengan bersama-sama kerana makna bersama lebih luas. Perbezaannya yang jelas adalah dari segi bentuk, iaitu perkataan bersama-sama dalam bentuk penggandaan, manakala perkataan bersama tidak digandakan.

agy75002 comments

Kata bantu boleh dan dapat

Kata bantu boleh dan dapat sering digunakan secara bertukar ganti oleh pengguna bahasa. Kesalahan yang sering ditemukan ialah pengguna menggunakan kata bantu boleh pada tempat kata bantu dapat atau menggunakan kata bantu dapat pada tempat kata bantu boleh. Sebenarnya, terdapat peraturan yang membezakan penggunaan kata bantu tersebut. Lihatlah peraturan tersebut seperti yang di bawah ini:

· KB boleh digunakan untuk maksud keizinan
· KB dapat digunakan untuk maksud keupayaan


Ayat contoh:
(i) Ayat aktif boleh dipasifkan melalui penjudulan objek.[Salah]
(ii) Adik sudah boleh menunggang basikal itu.[Salah]
(iii) Ayah masih tidak boleh melakukan kerja-kerja yang berat kerana badannya masih lemah.[salah]
(iv) Mereka tidak dapat memasuki kawasan itu kerana berbahaya.[salah]
(v) Kamu dapat pergi ke tandas jika semua latihan telah disiapkan.[salah]
Ayat yang betul ialah:
(i) Ayat aktif dapat dipasifkan melalui penjudulan objek.[Betul]
(ii) Adik sudah dapat menunggang basikal itu.[ Betul]
(iii) Ayah masih tidak dapat melakukan kerja-kerja yang berat kerana badannya masih lemah.[ Betul]
(iv) Mereka tidak boleh memasuki kawasan itu kerana berbahaya.[ Betul]
(v) Kamu boleh pergi ke tandas jika semua latihan telah disiapkan.[
Betul]

agy75003 comments

Tuesday, September 2, 2008

Bharu, Bahru, baru dan baharu

Kata Bharu dan Bahru digunakan sebagai kata nama khas. Kata baharu bermaksud tidak buruk, kelihatan cantik, kerana belum pernah atau belum lama dipakai atau kerana terpelihara dengan baik. Kata baru pula merujuk kepada masa atau waktu, iaitu belum berapa lama lagi, sesudah, tidak lama sebelum ini, dan sebagainya.

Kesimpulannya:
Kata baru digunakan untuk maksud masa. Kata baharu digunakan untuk maksud sifat atau adjektif. Kata Bharu dan Bahru pula digunakan sebagai nama khas.
Ayat Contoh:
(i) Beliau baru tiba dari Sabah pada petang tadi.
(ii) Sempena hari raya pada tahun ini, ayah membeli pakaian baharu untuk kami semua.
(iii) Kereta yang baru dibeli oleh ayah semalam telah dicuri orang.
(iv) Pekerja baharu di pejabat itu sangat rajin.
(v) Dia baru sahaja bertolak ke Johor Bahru sebentar tadi.
(vi) Saya tinggal di Kota Bharu, Kelantan.
(vii) Kumpulan itu akan membuat persembahan di Johor Bahru.

agy75001 comments

Sumber :

Bahan dipetik dari blog Cikgu Abdul Ghalib Yunus ( Munsyi Dewan )

Terima kasih!!!!