Khamis, 2 Oktober 2008

Kajian Ilmiah: Bencana Alam

Fenomena Alam dan Usaha Membangunkan Persekitaran Mapan : Satu Penilaian Pasca Kemusnahan .

Melasutra Md Dali

Pensyarah

Pengajian Perbandaran dan Perancangan

Abstrak

Di sepanjang tahun lalu, kita telah melihat beberapa fenomena alam yang membawa kepada kemusnahan jiwa manusia dan kerosakan fizikal. Bencana yang terjadi di Malaysia atau Indonesia, tidak mengenal sebarang sempadan dan apabila ianya berlaku tidak kira sama ada, negara maju atau sedang maju, kedua-duanya telah bergelut untuk menangani kemusnahan dan kesan pemulihan kemusnahan. Ada yang merasakan proses pembangunan yang pesat dan tidak terkawal menyebabkan fenomena ini. Sesetengah pihak merasakan proses globalisasi juga menyumbang kepada kemusnahan dan bencana alam. Tidak setakat itu sahaja, malah kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi juga dilihat berperanan mempertingkatkan kesan-kesan global kemusnahan alam. Namun ada sesetangah pihak merasakan proses ini sebagai proses ’semulajadi’ yang telah membuat manusia lebih sedar dan prihatin terhadap kejadian yang berlaku. Ironisnya, peningkatan tahap sosioekonomi dan perkembangan teknologi telah menyumbang kepada peningkatan kesan bencana-bencana. Secara logikanya, kita akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengatasi atau setidak-tidaknya mengurangi kesan kemusnahan yang telah berlaku. Persoalannya bagaimana kita bertindakbalas dengan permasalahan ini dan adakah kita telah bertindabalas sewajarnya. Kertas kerja ini cuba menyelami perspektif pembaikan yang dilaksanakan, kesediaan terhadap bencana, dan tindakan pemulihan pasca bencana untuk mencapai kemapanan ekologi.

Sekilas pandang bencana yang berlaku

Di sepanjang peredaran tahun ini, kita telah menjadi saksi kepada kemusnahan daripada perbuatan manusia dan juga kekuasaan alam. Kita telah melihat yang kejadian malapetaka sedemikian yang tidak mengenal sebarang sempadan dan apabila ianya berlaku tidak kira sama ada, negara maju atau sedang maju, kedua-duanya telah bergelut untuk menangani kemusnahan dan kesan pemulihan kemusnahan.

Terima kasih kepada kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang telah membawa secara 'real time' gambaran-gambaran kemusnahan dan emosi mangsa-mangsa ke ruang-ruang tamu dan skrin komputer kita di rumah. Globalisasi membolehkan kita berkongsi maklumat penderitaan dan kemusnahan ini secara global. Namun begitu adakah cukup dengan reaksi simpati sahaja?

Kesedaran kita terhadap bencana turut dipertingkatkan oleh kesan-kesan global kemusnahan dan kehancuran yang dibuatnya. Paradoknya, peningkatan tahap sosioekonomi dan perkembangan teknologi juga telah menyumbang kepada peningkatan kesan bencana. Sebagai contoh, kemajuan dalam kejuruteraan dan teknologi membawa keburukan serta kebaikan, di mana bangunan-bangunan tunggal sekarang boleh menampung sebuah masyarakatnya yang tersendiri tetapi dalam masa yang sama boleh juga menambah kesan kemusnahan akibat dari bencana apabila ianya tidak direka untuk menampung kekuatan bencana alam. Semakin penduduk bertambah, terutamanya di kawasan bandar dan yang berdekatan bandar, lebih banyak orang akan terkena bencana daripada sebelumnya. Pencemaran industri di peringkat tinggi akan membawa kepada faktor alam sekitar seperti kenaikan suhu dunia secara menyeluruh, yang mana menyebabkan perubahan cuaca yang memainkan peranan utama dalam perubahan deras corak cuaca dan membawa kepada banjir, kenaikan paras laut serta kemusnahan teruk kepada masyarakat yang tinggal di kawasan berdekatan laut. Pemusnahan hutan dan pembalakan yang tidak terkawal telah menghilangkan pendinding semula jadi kepada tanah susur dan mengakibatkan banjir, tanah runtuh yang dahsyat dan lebih-lebih lagi kehilangan nyawa dan harta benda.

Kita jiga diketengahkan dengan masalah yang non-fizikal. Kita sekarang berhadapan dengan ancaman lebih besar daripada penyakit-penyakit seperti Selesema Burung dan SARS, selain HIV/AIDS yang semakin cepat meningkat dari menjadi epidemik kebangsaan kepada pandemik global. Ancaman ini turut diburukkan lagi dengan sistem pengangkutan global yang lebih baik di mana peningkatan pergerakan manusia juga membantu mempercepatkan penyebaran penyakit-penyakit berjangkit di antara pelbagai rantau benua.

Menariknya bila dilihat dari perspektif fizikal, dunia adalah suatu tempat kaku dan tetap. Sekilas pandang bumi yang keras ini, sebenarnya mempunyai teras dalam yang terdiri dari unsur-unsur yang lebur. Sudah tentu kita tidak ingin memanjang-lebarkan hal ini disini, yang tidak dapat dilihat, 'teras yang merah menyala'. Di bumi juga terdapat, atmosfera yang mengelilingi bumi, yang merupakan satu penapis ancaman-ancaman luaran, tetapi tiada bahagian dunia ini yang terlepas dari ancaman atmosferik seperti kilat, guruh atau petir. Bencana-bencana alam seperti ini boleh menyerang pada bila-bila masa. Malapetaka ini boleh menyebabkan kemusnahan jiwa dan harta benda yang besar. Secara umumnya, istilah bencana alam 'semulajadi' merujuk kepada gempa bumi, kilat, banjir besar, kebakaran hutan global, hujan asid, dan gelombang tsunami dengan kekuatan dan kesan yang berbeza-beza. Kesan yang biasa ditinggalkan oleh malapetaka ini yang biasa dilihat mampu memusnahkan sebuah bandar dan seluruh penduduknya sekali. Yang menarik dan penting untuk difahami, tiada seorangpun manusia yang mampu memerangi atau menghalang bencana ini.

Beberapa fakta Bencana Alam di dua Negara

Peristiwa Banjir

Beberapa negeri di selatan Malaysia terutamanya Johor telah dilanda banjir besar mulai 18 Disember 2006 dan pada 12 Januari 2007, akibat hujan lebat yang mencurah-curah. Banjir ini merupakan yang paling teruk di Malaysia pada abad ini. Banjir ini turut dirasai di negeri-negeri jiran seperti Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. Banjir ini berlaku ketika musim tengkujuh di Kelantan dan Terengganu. Taufan Utor dikatakan merupakan punca hujan luar biasa ini. Fenomena banjir ini turut menimpa negara jiran Singapura dan utara Sumatera dan Indonesia. Jadual menunjukkan angka penduduk yang terlibat akibat banjir untuk beberapa kawasan terpilih.

Jadual 1: Penduduk terlibat akibat banjir

Kawasan banjir

Jumlah penduduk

Jakarta

220,000

Melaka

3,193

Johor

109,831

Sumber : Bahagian Majlis Keselamatan Negara

Bagi negara Malaysia , Johor merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir ini. Daerah-daerah Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Muar, Pontian dan Segamat telah dilanda banjir. Hubungan ke Kota Tinggi dan Segamat telah terputus terus. Antara sehingga 90,000 orang telah dipindahkan dan bekalan makanan di pusat pemindahan dilaporkan terhad. Sesetengah sekolah turut dibanjiri, namun musim persekolahan 2007 telah berjalan seperti biasa dan Kerajaan Malaysia telah mendermakan uniform sekolah kepada mereka yang terlibat. Kebanyakan mangsa telah tidak mendapat air besih dan elektrik. Mengikut Kementerian Kesihatan, kes-kes penyakit yang disebarkan akibat bermain air banjir meningkat. Di sesetengah tempat, kecurian dilaporkan berlaku selepas air bah telah surut.

Setelah keadaan mula surut, banjir kedua berlaku pada 12 Januari 2007, ketika orang ramai mula berpindah balik ke rumah selepas banjir pertama yang lalu. Seramai 109,831 orang dari 24,765 keluarga telah berpindah ke 344 pusat pemindahan banjir yang telah dibuka semula. Banjir kali ini lebih serius dari banjir pertama sehingga terdapat khabar angin darurat telah diisytiharkan di Johor, namun ia tidak benar. Dua pusat pemindahan turut dinaiki air dan 1,793 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke tempat lain. Di Pahang, sejumlah 2,638 orang telah berpindah ke pusat bantuan..

Sekali lagi, Johor menjadi negeri yang paling teruk terjejas. Kejadian banjir yang melanda di Negeri Johor adalah disebabkan curahan hujan yang berebihan dan luar biasa yang berlaku pada keseluruhan tempat di Negeri Johor. Puncanya adalah dipercayai akibat daripada limpahan sungai yang tidak mampu menampung lebihan air berikut hujan yang berterusan. Di samping itu paras air mengambil masa yang lama untuk surut disebabkan keadaan topografi yang rendah dan landai serta pelepasan air daripada Empangan Sembrong dan Empangan Bekok.

Lanjutan daripada bencana tersebut, Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM1.1 bilion bagi tujuan pemulihan infrastruktur yang untuk dilaksanakan oleh Kementerian/Jabatan berkenaan persekitaran kawasan yang terlibat akan dapat dipulihkan dan kembali seperti sediakala. Ini adalah satu junlah yang besar yang perlu disediakan oleh pihak kerajaan, selain daripada Dana Ehsan ( Tabung Kecemasan) dan bantuan dari pihak swasta, NGO dan individu lain.

Peristiwa Tsunami

Tiada siapa yang boleh menduga pada 26 Disember 2004 lalu berlaku satu kejadian yang sangat dahsyat dalam sejarah manusia moden. Gempa bumi yang berlaku di dasar lautan Hindi telah menyebabkan ombak yang sangat besar atau Tsunami yang melanda Asia Tenggara khususnya Indonesia, Thailand, Malaysia, India dan Sri Lanka malah telah sampai ke benua Afrika dan menyebabkan gegaran hingga ke Alaska. Gelombang Tsunami melonjak setinggi sehingga 100 kaki akibat daripada gempa bumi yangdikatakan kedua tertinggi dalam sejarah manusia iaitu 9.3 pada sekala Richter,. Tsunamimengakibatkan 230 ribu orang mati, termasuk 43 ribu orang yang masih hilang. 1.1 juta lagi penduduk hilang tempat tinggal. Di negara Malaysia, tsunami mengakibatkan kehilangan 68 nyawa, berlakunya kerosakan harta benda, tempat kediaman dan penempatan serta hilang punca pendapatan

Jadual 2 dibawah menunjukkan angka yang terkorban dalam peristiwa itu dan jumlah yang terkesan dengan peristiwa itu adalah 3 kali ganda daripada yang terkorban. Ini merupakan bilangan yang amat besar yang memerlukan keprihatinan, bantuan dan kelansungan pembangunan dan pemulihan untuk meneruskan kehidupan mereka. Walaupun dikatakan kesan Tsunami kepada alam sekitar dan persekitaran akan mengambil masa berabad-abad untuk dipulihkan tetapi kepada mangsa Tsunami, mereka terpaksa kembali kepada kehidupan asal, dan cuba melupakan apa yang telah berlaku dalam sejarah hidup mereka.

Jadual 2 : Mangsa Tsunami

Negara

Maut

Cedera

Hilang

Hilang
kediaman

Disahkan

Dikhuatiri

Indonesia

127,420

220,000

~100,000

94,574

617,159

Sri Lanka

38,195

38,000+

15,686

5,637

~573,000

India

10,799

16,413

5,614

380,000

Thailand

5,395

11,000

8,457

2,932

29,000+

Somalia

298

298

5,000

Maldives

82

108

26

12,000-22,000

Malaysia

68

74

299

5

5,000

Myanmar

59

600

45

200

3,200+

Tanzania

10

10+

Seychelles

3

3

Afrika Selatan

2

2

Bangladesh

2

2

Kenya

1

2

2

Yaman

1

1

Madagascar

0

1,000+

Jumlah

182,340

~ 286,000

~ 125,000

~108,000

1.5-2 juta







*Angka sebenar korban mungkin tidak dapat diketahui

Selain daripada dua peristiwa di atas, banyak lagi peristiwa lain yang telah dan sedang berlaku yang mencemaskan kebanyakan penduduk di kedua-dua negara. Keadaan cuaca panas sering dialami oleh rakyat Malaysia dan Indonesia, diikuti oleh masalah jerebu dan pernafasan. Peningkatan suhu sekitar 5 darjah celcius juga dialami secara global. Penggondolan hutan mengurangkan kadar oksigen dan menghilangkan kemampuan untuk menyerap karbon dioksida. Berbagai lagi masalah kemorosotan persekitaran yang memberi impak terus keatas kualiti hidup manusia dan masyarakat amnya.

Beberapa reaksi / tindakbalas kepada fenomena alam ini

1 Kemusnahan besar-besaran ini berlaku untuk diwaris kepada yang tinggal di atas mukabumi ini. Ada yang berpandangan menerima hakikat proses ini sebagai proses 'keseimbangan semulajadi', ’proses pembersihan alam - natural cleansing’, yang merupakan perlindungan yang penting di bumi dan semua makhluk hidupan termasuk manusia. Ini adalah proses yang berlaku secara alamiyyah – dunia semakin tua. Kebarangkalian terjadinya bencana alam yang memusnahkan ini terselindung dan tidak dihalangi oleh perlindungan ini.

Idea ‘carrying capacity’ mendasari perbincangan pemikiran ini. Apabila keupayaan sesebuah kawasan itu tidak mampu lagi ditanggung olehnya, secara semulajadi ia akan menyebabkan ketidakseimbangan sistem ekologi atau persekitaran kehidupan manusia..

2 Ada juga yang berpandangan bahawa ia berlaku dari sebab dan diakibatkan oleh perbuatan tangan manusia. Dunia harus mengambil peluang ini untuk melihat dengan teliti apa yang telah mereka buat untuk melindungi alam sekitar kerana tsunami dan kesan selepas peristiwa itu menunjukkan bahawa bukan sahaja luar biasanya kekuasaan alam tetapi juga rapuhnya sistem kewujudan manusia.. Kejadian bencana ini adalah sebagai peringatan kepada manusia sejagat bahawa sebenarnya manusia tidak mempunyai apa-apa kuasa mentadbir alam ini. Tambahan lagi, setiap bencana ini adalah sebagai maksud untuk memaklumkan mengenai kelemahan semulajadi manusia, beberapa amaran untuk orang yang tidak mahu merenung pengertian di sebalik semua kejadian ini dan mengambil pengajaran dari musibah orang lain.

Apakah pengajaran yang harus diambil oleh manusia dari benana sebegini? Bumi diciptakan khusus untuk manusia. Persekitaran hidup adalah ruang yang didiami oleh manusia bersama semua jenis makhluk lain, haiwan dan tumbuhan, dan tentunya setiap elemen ini tidak dapat berdiri sendiri dalam proses kehidupan, saling bergantungan dan memerlukan diantara satu sama lain. Proses simbiosis berlaku dengan interaksi dan pergantungan secara teratur didalam ekosistemnya: ia menunjukkan elemen yang hidup sebagai satu kesatuan yang tidak boleh dilihat dan dibincang secara partial. Persekitaran hidup harus dipandang secara holistik dan mempunyai sistem yang teratur yang setiap satu elemen memainkan peranan yang setara.

Pengajaran penting diambil dari peristiwa ini ialah bahawa manusia yang menganggap dirinya hebat di muka bumi ini perlu menyedari bahawa ia sangat lemah dan sebenarnya tidak mempunyai kekuatan untuk mengendalikan semua ini, yang terjadi sekelip mata. Tercetus daripada pengajaran ini beberapa pemerhatian lain untuk difikirkan bersama.

Pemerhatian kearah persekitaran dan pembangunan masyarakat mapan

Manusia tidak dapat menahan bencana tetapi manusia boleh mengurangkan kesan bencana alam melalui ilmu pengetahuan, pengurusan bencana dan persediaan yang sesuai sebelum, semasa menghadapi bencana dan dan selepas bencana.

Akibat dari fenomena alam ini, kita perlu bertindak secara reaktif - pembangunan yang mensasar kepada keperluan melindungi sumber yang masih ada: Kita melaksanakan proses pemulihan dan peredaan berhasrat untuk memelihara persekitaran dan sumber yang ada dan melakukan pembaikan untuk meredakan masalah bencana sekiranya berulang.

Usaha menggubal undang-undang yang setimpal dengan bentuk kemusnahan adalah tindakan yang amat wajar dilakukan. Undang-undang alam sekitar yang sedang diamalkan dikatakan tidak lagi begitu berkesan untuk mencegah mereka yang terbabit dalam jenayah itu. Penguatkuasaan yang dijalankan dengan rapi sekalipun, tetapi oleh kerana akta-akta itu sendiri longgar dan dendanya tidak berkesan, maka ia tidaklah mengundang apa-apa kesan yang baik. Sebagaimana yang disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataannya 7 Mac lalu di Utusan Malaysia berkata, kerajaan bersetuju meminda undang-undang lapuk sebagai respon kepada usul Majlis Peguam untuk tubuhkan Suruhanjaya Memperbaharui Undang-undang. Namun begitu terdapat pula sesetengah pihak yang petah menterbalikkan situasi ini. Mereka dengan mudah mengambil kesempatan di atas kelemahan sistem penguatkuasaan sediaada, walaupun telah wujud peraturaan perundangan yang efesien dan efektif, undang –undang yang ada hanya menjadi peraturan bertulis tanpa dapat diamal.

Perkara yang lebih penting ialah menyedari dan memahami bahawa proses bencana alam ini bukan isu local walaupun terjadi dalam satu lokaliti yang mempunyai sistem atau imuniti yang rendah terhadap gejala alam yang berlaku. Proses ini berlaku pada peringkat global apabila faktor seperti perubahan cuaca, perubahan suhu berlaku dalam di negara- negara lain yang membawa akibat kepada wilayah lain .Oleh kerana itu pentingnya persoalan keadilan persejagatan difahami dan dihayati bersama dalam dimensi antarabangsa tadbir urus biodiversiti menerusi prinsip kesamarataan dan perkongsian untung (ABS) daripada sumber biologi yang amat terhad.

Pendekatan ini akan dapat direalisasikan melalui kesedaran berkaitan hak asasi manusia untuk hidup dengan selamat seperti yang telah dipersetujui dan dipersepakati dalam banyak konvensyen, deklarasi dan perjanjian pada peringkat antrabangsa dan negara.

Banyak negara telah menandatangani berbagai konvensyen, deklarasi dan perjanjian yang berkaitan dengan Hak Asasi Manusia untuk terus hidup selamat dan selesa, antara contohnya seperti dibawah:

· The Universal Declaration of Human Rights 1948 (UHDR)

· The Rio Declaration on Environment and Development (1992)

· International Convention on Economic, Social and Cultural Rights.

· United Nations Framework Convention on Climate Change (1992)

· United Nations Convention on Biological Diversity( 1994)

Perkara 22 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UHDR) menjelaskan bahawa :

Setiap orang, sebagai anggota masyarakat, adalah berhak kepada keselamatan sosial dan berhak menjadikan suatu kenyataan, melalui usaha negara dan kerjasama antara-bangsa dan menurut organisi dan sumber-sumber dalam negara masing-masing, hak-hak ekonomi, sosial dan kebudayaan yang termesti bagi kemuliaannya dan perkembangan bebas keperibadiannya.

Universal Declaration of Human Rights merupakan satu piagam atau dokumen antarabangsa pertama yang mengenengahkan prinsip menghormati dan menjamin hak asasi paling fundamental, mempamerkan kepentingan yang dikaitkan dengan komuniti antarabangsa untuk menganjurkan hak asasi manusia dan kebebasan asas. Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam Piagamnya telah sekali lagi menegaskan kepercayaan mereka terhadap hak asasi manusia, terhadap kemuliaan serta nilaidiri manusia dan terhadap hak samarata lelaki dan perempuan dan telah menetapkan keazaman untuk memajukan perkembangan sosial dan taraf hidup yang lebih sempurna dalam suasana kebebasan yang lebih luas. Negara-Negara anggota pula yang menerima pakai piagam ini telah berikrar untuk masing-masing mencapai, dengan kerjasama Bangsa-Bangsa Bersatu, mengutarakan kehormatan sejagat terhadap, serta pematuhan, hak asasi manusia dan kebebasan asasi.

Perbincangan dan deklrasi yang berkaitan dengan persekitaran dan pembangunan mapan juga telah dibentuk secara khusus untuk memastikan bahwa semua negara memelihara persekitaran meraka dan pada masa yang sama mencapai pembangunan yang mereka ingini secara saksama dan adil. Antara perjanjian atau dokumen penting yang mendasari prinsip pembangunan mapan ialah:

· The Brundtland Commisison (1987)

· Agenda 21

· Local Agenda 21

· Johannnesburg Declaration on Sustainable Development (2003)

· Kyoto Protocol (2005)

Pada peringkat ASEAN juga telah banyak perjanjian dibuat untuk memastikan persekitaran kehidupan dan pembangunan antara negara dikawal dan diselia dengan sewajarnya. Antara perjanjian yang telah dimeterai:

  • Jakarta Declaration on Environment and Development (1997)
  • Bandar Sri Begawan Resolution on Environment and Development
  • ( 1994)
  • Singapore Resolution on Environment and Development (1992)
  • The Kuala Lumpur Accord on Environment and Development (1990)

Namun realitinya, persekitaran kehidupan masih terus-menerus memperlihatkan kemorosotan akibat persekitaran dan sumber alam terus menerus dieksploitasi . Peristiwa bencana yang telah berlaku sepanjang dua tahun lepas dan sedang berlaku sekarang cukup membuktikan bahawa penjagaan persekitaran masih belum dilaksanakan secara maksimum dan keprihatinan /sensitiviti ini masih belum dirasai secara optimal.

Makna kata lain kesedaran mengenai hak asasi setiap individu untuk hidup dengan aman dan selesa secara politik masih belum diakui secara fundamentalnya. Mengapakah instrumen sejagat seperti di atas masih tidak dapat mengurangi fenomena alam ini? Banyak jawapan untuk satu persoalan di atas.

Apa yang ingin diketengah dalam perbincangan ini ialah hakikat ketidakupayaan kita melihat sistem kehidupan kita, proses modernisasi dan pembangunan, sebagai suatu subjek yang perlu diterjemahkan dengan begitu teliti kerana subjek persekitaran, sumber alam dan kehidupan berkualiti adalah satu sistem yang amat kompleks, Perspektif biasa sering melihat sumber alam dan persekitaran sebagai objek yang terangkum didalamnya elemen komoditi yang boleh diniagakan dan dieksploitasi untuk tujuan pembangunan.

Kita perlu berbalik kepada hakikat bahawa sumber alam dan persekitaran adalah sebuah sistem kecil dalam sistem dan hukum alam yang lebih besar yang telah ditakdirkan. Penerusan sistem ini akan hanya berlaku jika kualiti komponen setiap sistem berjalan dengan stabil.

Penegasan yang ingin dibuat disini ialah usaha pemulihan bukan struktur (pemulihan sistem manusia) perlu diberi perhatian yang lebih untuk masyarakat memulih dan memelihara budaya dan kefahaman mengenai hak dan keadilan manusia sejagat untuk terus kekal dalam keadaan yang aman dan selesa. Persoalan ini juga perlu dilihat secara global kerana usaha memulih dan memelihara persekitaran peringkat lokal tidak akan dapat pergi jauh.

Seiring dengan itu, tindakan polisi, ukuran perundangan, pembiayaan dan perbelanjaan dan pengurusan sumber alam perlu dilihat dengan lebih mendalam dari perspektif sosial yang lebih luas dan perlu ditanggani secara kolektif. Walaupun kita memberi penekanan yang amat tinggi kepada aspek ekonomi untuk pembangunan sesebuah negara, kita perlu sedar bahawa bencana alam yang telah dialami telah menjadi masalah sosial yang kesan dan akibatnya membantutkan pembangunan dan ekonomi negara.

Konvensyen atau deklarasi antrabangsa, wilayah atau lokal perlu dihayati dan dilaksanakan oleh semua negara sejajar dengan sumbangan dan keupayaan mereka dalam hal tersebut.

Persoalan kepada pembangunan mapan dan masyarakat mapan ialah apabila semua elemen yang berkaitan dengan kemapanan ini perlu mapan: ekonomi mapan, sosial mapan, polisi mapan, strategi mapan dan politik mapan, sumber manusia mapan, institusi mapan, kewangan mapan : integrasi semua ini akan mampu menghasilkan produk mapan. Kesemua ini bermula dengan keprihatinan bahawa manusia perlu menjadi agen perubah yang mapan: minda dan kepercayaan. Dalam persekitaran yang begitu pragmatik tentunya penyelesaian ini menjadi tidak realistik. Tetapi berbalik kepada premis perbincangan apakah manusia tidak mahu memperbaiki keadaan kehidupan mereka dan mereka tidak boleh membiarkan keadaan berlalu begitu sahaja.

Sebagaimana pandangan Marxism memperjelaskan bahawa ekonomi dan dimensi sejarah masyarakat adalah penyebab kepada masalah antara manusia dan masyarakat. Disokong oleh Barrett (1963) “Modern life has departmentalized, specialized and thereby fragmented the being of man. We now face the problem of putting the fragments together into a whole’ (pg 89).

Inilah cabaran utama semua negara dan pemerintah untuk mencari formula mencapai pembangunan, kemajuan ekonomi dan sosial tanpa menghakis modal semula jadi dan sistem yang merangkuminya.

Kesimpulan

Penulisan ini berhasrat dapat memanjang senarai individu yang menyedari bahawa hanya dengan pendekatan pembangunan kemanusiaan yang mapan, persekitaran dan pembangunan dapat diseimbangkan . Pemikiran, pembangunan fizikal dan spritual yang dilaksanakan dalam persekitaran yang saling menghormati hak asasi individu dan hak asasi persekitaran mampu memastikan kemapanan kehidupan dan persekitaran yang berlanjutan. Tindakan ini wajar semata-mata untuk memantapkan usaha memulih dan memelihara persekitaran alam semulajadi dan membangun kembali tamadun manusia. Dalam ertikata lain kita bertanggungjawab kepada apa yang berlaku dan pertanggungjawaban ini adalah mutlak keatas setiap individu manusia dan manusia perlu merasakan dan melaksanakan tanggungjawab ini. Inilah pemikiran dan paradigma yang perlu disantuni dan disambungkan kepada generasi seterusnya.

Rujukan

  1. Tapan Biswal(2006), Human Rights, Gender and Environment, Viva Books Private Limited, New Delhi.
  2. Barret, W. ( 1963), Irrational Man, Doubleday, New York .
  3. The Human Sustainable City. Challenges and Perspective for the Habitat Agenda. (2003) Lugi Fusco Girard, Bruno Forte et.al (ed) , Ashgate Publishing Limited. England.
  4. http://www.earthrights.org/international
  5. Edisi Ringkas (2006) Pelan Intergriti Nasional, Institut Integriti Malaysia .

Tiada ulasan: