Ahad, 19 Oktober 2008

Bahan Bacaan: Hari Keluarga

Ucapan YAB Datuk Seri Abdullah B Ahmad Badawi

SAMBUTAN HARI KELUARGA KEBANGSAAN”

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita dapat berhimpun di sini pada pagi ini bagi memeriahkan lagi Majlis Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada tahun ini.

2. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga kerana telah memberi penghormatan kepada saya untuk melancarkan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan .


3. Marilah kita melafazkan kesyukuran kerana kita terus berada di dalam sebuah negara yang rukun dan damai, bebas dan berdaulat; dilimpahi dengan pelbagai rahmat, di mana rakyat dapat hidup dengan harmoni dan bersatu padu. Marilah kita bersyukur kerana iklim ekonomi negara terus pulih. Marilah kita bersyukur kerana kita dapat mengadakan pelbagai acara dan sambutan. Ini mencerminkan bahawa kita ialah sebuah bangsa yang cintakan keamanan dan kesejahteraan. Pada hari ini, kita bernasib baik kerana berpeluang menyambut satu hari yang khususnya ditujukan kepada semua ahli keluarga. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa walaupun kita telah maju dan berjaya, kita tidak lupa kepada aspek-aspek sosial, terutamanya nilai dan adat hidup berkeluarga.

4. Sistem keluarga sebagai institusi asas masyarakat perlu terus diperkukuhkan. Kerajaan sedar bahawa keluarga ialah penerima dan penyumbang kepada pembangunan negara. Kekuatan dan keutuhan sesebuah keluarga dapat mempengaruhi dan menjamin kestabilan masyarakat dan negara. Rosak keluarga, maka pincanglah masyarakat. Runtuh keluarga, maka musnahlah negara.

5. Aliran yang berlaku kebelakangan ini benar-benar mengejutkan dan membimbangkan kita. Ketika kita mengecapi pelbagai corak kemajuan, banyak gejala sosial dan penyakit masyarakat yang telah berlaku. Gejala-gejala ini boleh mengganggu gugat keamanan masyarakat, menjejaskan perpaduan bangsa, dan membantutkan perkembangan negara. Sesungguhnya, kejadian amuk, bunuh, rogol, menagih dadah, sumbang mahram, penderaan ke atas ahli-ahli keluarga, pemujaan syaitan, ajaran sesat, remaja lari dari rumah, salahlaku pelajar, menonton video lucah serta pelbagai keganasan dan jenayah rumah tangga menjadi semakin berat.

6. Saya mendedahkan perkara ini bukan untuk menakut-nakutkan rakyat, tetapi ia berasaskan kajian, tanggapan dan statistik yang diperoleh oleh pihak berkuasa. Umpamanya, perbuatan remaja lari dari rumah bertambah serius. Mengikut statistik Bahagian Hal Ehwal Awam, Bukit Aman, ada terdapat 265 gadis bawah umur lari mengikut kekasih. Sementara itu, dalam tempoh 20 tahun sehingga , jumlah penagih dadah menjangkau sebanyak 400,000. Kes juvana pula semakin membimbangkan. Dalam tempoh 10 tahun, kadar jenayah yang membabitkan remaja lelaki meningkat sebanyak 35 peratus, manakala remaja perempuan meningkat sebanyak 25 peratus.

7. Yang terbaru ialah penglibatan sebilangan remaja dalam kumpulan penyembah syaitan black metal. Ada antara mereka yang terlibat dalam kumpulan ini memakai tudung dan berjubah tetapi memakai salib yang diterbalikkan. Jelas bahawa mereka sudah terjebak dalam kegiatan sesat dan bertentangan dengan agama. Saya amat sedih kerana perbuatan yang amat buruk ini dilakukan oleh sesetengah remaja kita masa kini.

8. Fenomena sebegini perlu ditangani dan dibendung secara bersama oleh semua pihak, sebelum ia dapat bertapak di Malaysia dan seterusnya menggugat kejituan institusi keluarga, yang selama ini dipupuk dengan nilai-nilai tradisional yang kaya dengan sopan santun dan tali persaudaraan, serta nilai-nilai keagamaan yang teguh.

9. Sekali imbas kita tentu mengagak bahawa masalah-masalah ini timbul akibat kelonggaran jalinan dan ikatan kasih sayang dalam keluarga.

10. Sebenarnya, kasih sayang adalah pengikat keluarga. Kasih sayang boleh diibaratkan sebagai `gam' yang menyatupadukan keluarga sejahtera. Ia dilahirkan melalui perasaan, dan ditunjukkan dengan perbuatan. Dengan adanya perasaan kasih sayang, maka tercetuslah
perasaan hormat menghormati, prihatin, mengambil berat, memberi sokongan serta perlindungan, dan lain-lain lagi.

11. Justeru, pemilihan tema `kasih keluarga' sebagai tema Hari Keluarga Kebangsaan ini amatlah tepat dan sesuai sekali. Kasih sayang ibu bapa adalah ibarat `asas kehidupan' anak-anak. Keluarga yang dibina dengan penuh kasih sayang akan dapat melahirkan insan yang
prihatin dan bersifat penyayang.

12. Ingatlah bahawa anak adalah amanah daripada Allah. Kita perlu jaga amanah ini dengan betul dan cermat supaya ia tidak mendatangkan sebarang mudarat. Allah swt telah berfirman dalam surah Luqman, ayat 13, bermaksud; "dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: `wahai anak kesayanganku, janganlah engkau
mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah kezaliman yang besar".

13. Begitulah Al-Quran menjelaskan bagaimana ibu bapa mesti memastikan anak-anaknya sentiasa berada di jalan yang benar dan mencapai kejayaan. Kita perlu sedar bahawa anak-anak kita adalah pewaris yang bakal menerajui negara. Oleh itu, mereka perlu mempunyai akhlak yang luhur dan tingkah laku yang terpuji.

14. Sebenarnya, ibu bapa juga harus dididik supaya memberi perhatian kepada perkembangan pendidikan dan akhlak anak-anak mereka, agar pengawasan yang mencukupi dapat diberikan. Anak-anak tidak patut merasa terabai oleh ibu bapa. Bakal ibu dan bapa hendaklah dilatih
supaya mempunyai kemahiran mendidik anak-anak. Jangan fikirkan ilmu keibubapaan ("parenting skills") ini datang secara automatik. Ilmu ini perlu dipelajari dan didalami oleh setiap pasangan ibu bapa. Ini amat penting bagi menghasilkan generasi muda yang bertanggungjawab,
berwawasan serta berdisiplin. Justeru, program kemahiran keibubapaan harus diberi keutamaan dan diajar di institusi-institusi pendidikan, pusat-pusat komuniti serta tempat-tempat kerja. Saya kira ini satu program yang amat penting untuk diadakan. Menerusi program seumpama ini, kita dapat melahirkan generasi ibu bapa yang lebih bertanggungjawab dan berdedikasi.

15. Kita mengadakan sambutan hari keluarga kebangsaan ini untuk mengingatkan diri kita betapa pentingnya keluarga sebagai satu unit dan institusi dalam masyarkat. Maka sebab itu kerajaan sentiasa menekankan pembinaan keluarga yang kuat, stabil dan harmoni, berlandaskan nilai-nilai murni, dalam setiap rancangan pembangunannya.

16. Memang benar kita mahu mengejar kemajuan sama seperti negara-negara maju di dunia. Kita mahu maju kerana kita ingin meningkatkan lagi taraf hidup kita. Apabila kita maju, kita akan dihormati dan kita tidak akan ditindas. Apabila kita maju, kita ada kekuatan. Apabila kita maju, kita mesti ada kekuatan dari segi mental dan pegangan keagamaan. Namun, kita tidak boleh meniru sesetengah negara maju, apabila ia menjadi semakin maju, maka institusi keluarganya pula turut runtuh. Kehidupan mereka amat pincang, bebas melakukan apa sahaja dan menjadi masyarakat yang sukar dikawal. Di malaysia, kita tidak mahu terperangkap dalam
mengejar pembangunan sehingga mengorbankan keluarga sebagai satu institusi sosial yang terpenting. Kerajaan mahu mewujudkan keseimbangan antara membawa kemajuan kepada negara dan mempertahankan sistem sosial kita dari terjejas.

17. Dalam hal ini, tumpuan kita terhadap institusi keluarga juga tidak terhad kepada talian kekeluargaan melalui proses beranak cucu sahaja. Di Malaysia kita hidup dalam masyarakat yang lebih besar, iaitu masyarakat yang berbilang kaum yang juga merupakan keluarga kita. Walaupun talian kekeluargaan masyarakat tidak setebal talian keluarga biasa, ia tidak kurang
pentingnya dalam menentukan keamanan dan kestabilan negara. Bak kata pepatah, masyarakat kita hidup `bagai aur dengan tebing'. Justeru itu, amatlah penting bagi kita menjalin hubungan yang rapat dalam keluarga masyarakat Malaysia.

18. Kerajaan akan meneruskan agenda menyemai nilai-nilai positif pada setiap lapisan masyarakat. Sistem nilai yang baik akan terus dibentuk menerusi penekanan kepada aspek agama, tradisi dan nilai sivik, khususnya melalui sistem pendidikan. Nilai-nilai kemasyarakatan
yang luhur seperti taat setia, kewarganegaraan yang baik, keadilan sosial dan sikap toleransi akan terus dipertingkatkan. Sesungguhnya, penyemaian nilai-nilai tersebut akan mempercepatkan lagi pembentukan sebuah Bangsa Malaysia yang bersatupadu dan berjaya.

19. Maka dengan harapan yang tinggi dan doa yang berterusan itu, saya dengan lafaz bismillahir
rahmanirrahim melancarkan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan .
Terima kasih.

Tiada ulasan: