Rabu, 8 Oktober 2008

Karangan - Ulasan Drama

TUMPUAN : KARANGAN – ULASAN DRAMA

SOALAN :
Pihak sekolah telah menganjurkan satu pertandingan mengulas drama berdasarkan drama yang anda tonton atau baca . Anda berminat untuk menyertainya. Sediakan ulasan drama tersebut dengan selengkapnya.

Tajuk Drama : Serunai Malam.
Nama Penulis : Usman Awang.
Sumber : Antologi Anak Laut (2000)
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pengulas : Mastura binti Salleh.

Drama “Serunai Malam” karya penulis prolifik yang juga seorang Sasterawan Negara , iaitu Datuk Dr. Usman Awang ini sarat dengan pelbagai persoalan yang menarik. Apa yang jelas, Datuk Dr. Usman Awang cuba mengajak audiens atau khalayak pembaca meneliti mentaliti masyarakat kita, iaitu berhubung dengan perbezaan pandangan tentang kerjaya kerana perbezaan latar belakang sosial dan pendidikan.

Drama ini bermula dengan penampilan watak seorang ibu, iaitu Limah dan anaknya, Safiah. Digambarkan Safiah sedang resah menanti kedatangan Umar, iaitu tunangnya. Umar berjanji akan sampai ke rumah Safiah pada pukul 10.00 pagi. Namun begitu, sehingga pukul 11.00 pagi Umar belum juga tiba. Sebenarnya, Umar lambat sampai kerana sibuk dengan persiapan terakhir bagi majlis konvokesyen di universitinya yang akan berlangsung
pada pukul 2.30 petang itu. Setelah Umar tiba di rumah Safiah, masing-masing bertukar pendapat berhubung dengan kerjaya Umar, iaitu sama ada menjadi guru atau pegawai MSC atau Foreign Service.

Pada hari yang sama ayah dan ibu Umar dijangka akan sampai dari kampung. Namun, hanya ayah Umar, iaitu Majid yang datang ke rumah Saifiah kerana ibu Umar sibuk dengan majlis potong jambul di rumah anak buah mereka di kampung. Majid turut membawa buah-buahan dari kampung dan disambut mesra oleh Safiah dan ibunya. Ketika Majid sampai, Umar tidak ada di rumah kerana ada urusan berkaitan dengan konvokesyennya.
Tidak lama kemudian, Umar pulang ke rumah tersebut, dan perbincangan berhubung dengan soal pemilihan kerjaya diteruskan semula antara Safiah dengan Umar. Safiah mahu bakal suaminya itu menjadi pegawai MSC supaya dia berpeluang tinggal di luar negeri. Umar pula bertegas mahu menjadi guru. Mereka bertelingkah sehingga menyebabkan Safiah menangis. Umar cuba memujuk Safiah dengan bijaksana dan berjaya mempengaruhi pemikirannya Umar membangkitkan kisah manis mereka ketika bertemu di Selat Tebrau. Masing-masing tersenyum dan bertambah mesra dan kelihatan bahagia. Ibu Safiah muncul dan ikut tersenyum mengerti. Lagu ‘Serunai Malam’ turut mengalun seolah-olah mengerti akan kehadiran dua jiwa yang sedang memadu kasih.

Drama “Serunai Malam” ini cuba mengungkapkan pelbagai persoalan menarik. Antaranya ialah perbezaan pandangan antara orang kota dengan orang bandar. Umar dan Safiah datang daripada latar belakang sosial yang beza. Umar berasal dari desa, manakala Safiah berasal dari kota. Oleh itu, tidak hairanlah jika Safiah lebih suka jika Umar menjadi pegawai MSC , sedangkan Umar pula lebih suka menjadi guru. Dengan menjadi guru,
dapatlah dia mencurahkan bakti kepada anak desa. Dalam hal ini, sudah tentu sebagai warga kota , Safiah tidak suka tinggal di desa dan dia lebih suka menetap di bandar atau luar negara. Perbezaan pandangan antara generasi muda dengan generasi tua juga cuba disingkapkan dalam drama ini. Ayah Umar yang amat mementingkan waktu solat terus solat apabila tiba waktu sembahyang. Umar dan Safiah pula asyik meneruskan perbincangan atau
berbual-bual sedangkan mereka tahu bahawa waktu sembahyang atau solat telah pun tiba. Begitulah perbezaan antara generasi tua dengan generasi muda dalam soal keagamaan. Generasi tua lebih mementingkan soal keagamaan berbanding dengan generasi muda. Pakaian yang dipakai oleh Safiah dianggap kurang manis oleh ayah Umar, iaitu Pak Majid. Bagi Umar, dia tidak pun berasa aneh dengan pakaian Safiah. Mungkin pendedahan hidup di kota dan akibat pengaruh modenisasi telah turut memodenkan pemikiran Umar berhubung dengan pakaian.

Tiada ulasan: