Khamis, 2 Oktober 2008

Teks Ucapan: Sekolah Penyayang


Hari ini saya ingin menulis mengenai sekolah penyayang. Barangkali ramai di kalangan guru dan para pelajar yang pernah mendengar perkataan ini, tetapi bagaimana pula dengan apa yang kita faham mengenai konsep sekolah penyayang ini. Sekolah penyayang ialah sekolah yang baik.

Bagaimana untuk menentukan sekolah itu baik atau tidak? Sekolah yang baik akan memiliki budaya suka belajar, tidak kira murid, guru atau pentadbir. Kenapa murid-murid suka belajar? Kerana mereka tahu kenapa mereka harus belajar. Guru-guru sudah memupuk, mendedahkan mereka mengenai soal-soal masa depan.
Guru-guru prihatin dengan kebolehan dan keunikan setiap orang pelajar di sekolah tersebut. Guru-guru sentiasa belajar dan mahu belajar untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam mendidik anak-anak murid mereka. Pihak pentadbir pula sentiasa berusaha untuk memahami keadaan dan kekurangan yang wujud di sekolahnya, dan berusaha untuk memperbaiki setiap kelemahan yang wujud di sekolah dengan segera, rasional dan beretika.
Sekolah yang baik mampu melahirkan ramai pemimpin negara. Ini kerana didikan yang diberikan kepada para pelajar adalah didikan yang berkualiti dan selaras dengan matlamat pembangunan insan. Apabila murid-murid sedar peranan mereka, secara tidak langsung mereka akan menjadi manusia yang bertanggungjawab. Manusia yang bertanggungjawab adalah manusia yang berdaya untuk memimpin. Mereka perlu dibekalkan dengan asas-asas kepimpinan kerana mereka cenderung untuk bertanggungjawab.
Sekolah yang baik memiliki kualiti hubungan kemanusiaan yang tinggi. Hubungan antara guru dengan ibu bapa, guru dengan guru, guru dengan murid, guru dengan pentadbir. Guru-guru, ibu bapa dan murid-murid bekerjasama untuk mewujudkan suasana persekolahan yang memiliki budaya bermotifkan pembangunan insan yang sempurna dari segi rohani, jasmani, intelektual dan emosi. Pihak sekolah dan ibu bapa sentiasa berhubung antara satu sama lain, berkaitan soal anak-anak mereka. Tidak berahsia atau berdiam diri dalam hal-hal tertentu, terutamanya soal akademik dan tingkah laku anak-anak.
Sekolah yang baik akan mempunyai pertalian atau hubungan dengan ramai sukarelawan. Sukarelawan ini boleh jadi ibu bapa, pelajar-pelajar universiti atau masyarakat setempat. Wujudnya aktiviti yang berbentuk intelektual dan kemanusiaan yang dijalankan bersama.
Sekolah yang baik wujud tanpa tekanan. Ini kerana semua pihak berasa gembira belajar di sekolah tersebut. Setiap orang sedar peranan masing-masing. Sistem pentadbiran, pembelajaran dan peraturan yang diwujudkan di sekolah itu selaras dengan sifat-sifat kemanusiaan. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum peraturan digubal.
Ada sekolah yang memperkenalkan sistem yang tidak begitu praktikal atau munasabah. Contohnya, ada sebuah sekolah berasrama yang meminta para pelajar memakai kasut untuk ke surau. Saya rasa ini tidak praktikal. Begitu juga dengan sekolah berasrama yang melarang pelajar menggunakan telefon bimbit, pada masa yang sama kemudahan telefon awam di sekolah tersebut tidak memuaskan. Telefon awam rosak, tidak ada perkhidmatan tukar syiling atau kad dan sebagainya. Apatah lagi apabila pelajar-pelajarnya tinggal berjauhan. Seberang laut. Sekolah yang penyayang akan menimbangkan faktor-faktor ini. Hubungan ibu bapa dengan anak-anak harus dipereratkan.
Mungkin para pelajar boleh digalakkan untuk menulis surat seperti zaman dahulu?
Perlu diingatkan, peraturan yang digubal tanpa mengambil kira faktor-faktor kemanusiaan akan mendatangkan kesan negatif terhadap pelbagai pihak.
Kunci sesebuah sekolah penyayang terletak pada sistem pentadbiran dan peraturan-peraturannya. Jangan buat sesuatu yang membebankan. Setiap peraturan yang digubal perlu memiliki hujah-hujahnya. Malah, adalah bagus jika ibu bapa terlibat sama dalam menggubal undang-undang.
Saya meneliti konsep sekolah kluster. Konsep sekolah kluster jika dilaksanakan dengan betul, dan apabila para guru mengambil peluang ini untuk mendekatkan diri dengan pelbagai pihak dengan motif pendidikan, maka tindakan ini akan menghampiri konsep sekolah penyayang. Ini kerana pihak sekolah telah diberikan peluang mendekati dengan masyarakatnya. Pihak sekolah boleh membina hubungan dengan masyarakat setempat tanpa terikat dengan pihak atasan.
Untuk memahami satu-satu keluarga, kita harus tinggal dengan keluarga tersebut. Dalam konteks ini, sekolah adalah seperti satu organisasi yang tinggal dengan masyarakat setempat. Mereka perlu lebih rapat, mesra dan banyak berinteraksi dengan masyarakat setempat.
Dalam usaha untuk mencapai matlamat sekolah penyayang, saya sangat senang hati sekiranya populasi pelajar di sesebuah sekolah disusun semula.
Sekolah harus menjadi pusat dalam satu-satu kawasan kediaman atau penempatan. Ini akan memudahkan ibu bapa dan guru saling berhubung selain terikat dengan urusan-urusan yang lain. Ada banyak kes, di mana para pelajar tidak dapat belajar di sekolah terdekat, sebaliknya harus pergi ke sekolah yang lebih jauh. Masalah itu perlu cuba diatasi. Namun sekiranya tidak dapat di atasi, maka sudah sampai masanya bidang pendidikan dijadikan sebagai satu sistem major dalam kehidupan masyarakat.
Dalam erti kata lain, dunia pada masa akan datang harus berpaksikan pendidikan. Pendidikan akan menjadi satu keutamaan. Ibu bapa akan dibenarkan untuk terkecuali dalam soal pekerjaan apabila perlu melibatkan diri dalam urusan berkaitan dengan pendidikan anak-anak. Perubahan sistem secara menyeluruh perlu dibuat, kerana konsep sekolah penyayang akan mencapai tahap kecemerlangan tertinggi apabila dunia menjadi pendidikan sebagai paksi dalam sistem kemanusiaan.
Masyarakat dunia terdiri daripada pelbagai agama dan budaya, namun pendidikan harus dijadikan paksi untuk menyatupadukan semua agama dan budaya. Di sinilah, akan wujudnya peranan besar sekolah. Pendidikan adalah bidang yang memproses sifat-sifat kemanusiaan. Apabila manusia mengutamakan pendidikan dari segi definisi yang menyeluruh, maka segala bentuk bahasa, budaya dan pemikiran akan dapat diselaraskan.
Apabila menbicarakan soal pendidikan, ini akan melibatkan terlalu banyak aspek dan faktor yang perlu dipertimbangkan. Di sini saya cuma dapat meringkaskan sahaja, walau pun masih tidak sempurna dan terlalu banyak kekurangan.
Apa pun saya berpendapat, sekolah penyayang akan dapat diwujudkan, apabila pihak sekolah dan ibu bapa bekerjasama dalam menggubal peraturan. Namun kuasa penentu harus diberikan kepada pihak sekolah selain mengambil kira pandangan majoriti ibu bapa.
Kesilapan manusia hari ini, adalah apabila mencipta undang-undang, kemanusiaan diabaikan. Kepakaran dan kemahiran diberi penekanan, tetapi soal-soal kemanusiaan tidak dititikberatkan. Kesilapan ini akan terus berulang dan berulang, sehingga satu tamadun sesuatu bangsa itu dijahanamkan oleh bangsa itu sendiri.

Siapa lagi yang patut mengubahnya? Revolusi itu perlu. Para guru perlu menggunakan peluang yang diberikan kerajaan, untuk membentuk hubungan yang erat antara pihak sekolah dengan masyarakat setempat.
PEJABAT KETUA PENGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Tiada ulasan: