Rabu, 8 Oktober 2008

Karangan: Semangat kejiranan

Manusia kini tidak mementingkan semangat kejiranan, mereka bersifat ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Bincangkan

Peribahasa ‘bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’ sesuai menggambarkan sikap masyarakat kita pada masa ini. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakt kita, terutamanya warga kota, disifatkan sebagai enau dalam pepatah tersebut kerana hanya mementingkan diri sendiri dan bersikap individualistik. Natijahnya, kita lebih suka hidup menyendiri dan semangat kejiranan yang dulunya menjadi teras masyarakat kita, sudah kian pudar dan luntur. Hakikat ini amat membimbangkan kerana semnagat kejiranan, yakni semangat yang dipunyai oleh ahli-ahli masyarakat untuk menjaga kebajikan dan kepentingan anggota
masyarakat yang lain, sangat diperlukan untuk menjamin perpaduan masyarakat.

Oleh yang demikian, kita perlu meneliti faktor-faktor yang telah menyebabkan perubahan sikap masyarakat kita. Dalam pada itu, pendidikan memainkan peranan yang penting. Peluang pendidikan yang semakin meluas telah pun berjaya menghapuskan buta huruf dan meningkatkan daya pemikirana serta pengetahuan masyarakat kita. Namun demikian, pada masa yang sama, pendidikan juga telah mengakibatkan masyarakat mula berubah perspektif terhadap kehidupan, terutamanya generasi muda. Contohnya, melalui pendidikan, golongan belia mula memperolehi jawatan tinggi dan berpendapatan tinggi. Oleh itu, mereka berasa mereka dapat berdikari dan
tidak lagi memerlukan orang lain. Mereka pula hanya mementingkan kebahagiaan dan kepentingan sendiri. Maka, mereka menumpukan semua masa mereka untuk mencari kepuasan diri dan melupakan tanggungjawab sosial mereka terhadap kebajikan masyarakat secara keseluruhan.

Selain itu, perkembangan masyarakat kota melalui penghijrahan kampung dan proses urbanisasi juga merupakan satu faktor yang lain. Kehidupan di kota amat berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan di kampung. Masyarakat desa yang mementingkan semangat kejiranan dan kerjasama mula pupus dengan perkembangan bandar-bandar yang mempunyau pelbagai kemudahan dan peluang pekerjaan. Sebagai contoh, kita seringkali melihat penduudk kampung bergotong-royong unuk membina jambatan, membersihkan kawasan sekeliling dan sebagainya. Sikap sebegini tidak langsung wujud di kalangan warga kota kerana mereka terlalu sibuk dan hidup dalam suasana persaingan yang amat snegit.

Justeru, perbezaan sikap masyarakat juga telah disebabkan oleh pengaruh norma-norma kebaratan. Kita sedia maklum bahawa pengaruh barat meresap ke dalam kehidupan dan kebudayaan kita melalui perkembangan media massa. Kebudayaan dan cara hidup Barat yang mengagung-agungkan kebebasan individu, sikap materialistik dan mementingkan hak peribadi sentiasa dipaparkan dalam rancangan televisyen dan radio. Masyarakat tempatan pula terlalu ingin mengikuti cara hidup barat yang liberal supaya dipandang sama taraf
dari segi kemajuan sosial. Malangnya, ini telah menyebabkan kita menggadaikan nilai-nilai tradisional yang menyeru supaya kita mempertimbangkan kepentingan masyarakt dalam melakukan sesuatu perkara.

Teknologi juga telah menjadi satu lagi faktor yang menyebabkan kita kurang menghiraukan semangat kejiranan. Ini disebabkan, dengan perkembangan teknologi yang canggih, kita semakin kurang berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli masyarakat yang lain. Melalui penggunaan telefon, faksmili dan Internet, kita tidak lagi perlu bertemu secara berseorangan untuk berhubungan. Ekoran daripada itu, kita hilang kemahiran untuk berkomunikasi dan sikap ramah tamah. Sebaliknya, kita menjadi kera sumbang dan hanya mampu berkomunikasi dengan orang lain dengan bantuan teknologi. Jelas bahawa semangat kejiranan akan pudar kerana semangat
ini tidak dapat dipupuk jika ahli-ahli masyarakat tidak boleh berhubung antara satu sama lain dengan baik.

Struktut perumahan moden juga menyukarkan pemupukan semangat kejiranan di kalangan masyarakat kita. Kebayakan rumah dan pangsapuri moden dibina dengan tembok yang tinggi dan pagar-pagar. Hai ini jauh berbeza dengan rumah-rumah di kampung yang tidak mempunyai sempadan untuk membezakan rumah seorang jiran daripada rumah jiran yang lain.

Kesimpulannya, kita tidak dapat menafikan bahawa semangat kejiranan semakin pudar dan luntur di kalangan masyarakat kerana pelbagai faktor. Dengan itu, kita harus menyedari hakikat ini dan menggembleng tenaga untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini kerana semangat kejiranan menjadi teras perpaduan masyarakat. Perlu ingatlah bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.